≡ Menu

Bolehkah Memakan Daging Yang Menjalankan Proses Penuaan (Ageing)?

SOALAN

Assalamualaikum.  Apakah status hukum daging melalui proses penyembelihan halal tetapi melalui proses “ageing meat”? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Daging yang melalui proses “ageing meat” (penuaan kering) hendaklah diteliti dari aspek kebersihan dan penyembelihan. Oleh itu, status halal daging tersebut sekiranya memenuhi syarat -syarat  berikut:

  • Penyembelihan mengikut hukum syarak.
  • Setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk tidak tercemar daripada bahan bernajis.
  • Hendaklah dipastikan dari sudut keselamatan penggunaannya tidak mendatangkan kemudaratan

Justeru, proses penuaan kering “ageing meat” yang dijalankan ke atas daging lembu tidak mengubah status halal selagi ia bebas daripada unsur haram serta memenuhi piawaian sembelihan mengikut kehendak syarak.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Proses “Ageing Meat”

Penghasilan daging “ageing meat” melalui proses penuaan sama ada penuaan kering atau penuaan lembap. Dalam proses penuaan daging ini dasarnya bertujuan untuk melembutkan daging dan memberi rasa lebih enak serta kelainan pada tekstur daging tersebut. Bahagian daging yang dipilih akan dipotong, kemudian dikeringkan selama tempoh tertentu dan pada suhu yang rendah serta dikawal kelembapan udara dalam kawasan tersebut. Tempoh, suhu dan kelembapan udara memberi kesan berbeza kepada daging yang melalui proses penuaan.[1]

Dalam proses penuaan, daging menjadi lembut apabila enzim yang berada dalam daging akan mencerna protein dan tisu daging. Proses ini juga menggalakkan pertumbuhan spesies kulat (acuan) tertentu pada permukaan luar daging. Spesies kulat ini melengkapkan enzim semula jadi dengan membantu melembutkan dalam daging lembu. Ini tidak menyebabkan kerosakan, sebaliknya membentuk ‘kerak’ luaran pada permukaan daging.[2]

Kerak ini kemudiannya dikeluarkan sebelum daging boleh disediakan dengan selamat dan dihidangkan kepada pelanggan.[3]

BACA:  Malaysia Boleh Dilanda Gelombang Ketiga Sekiranya Masih Lagi Culas Dalam Pelaksanaan SOP

Hujah dan Analisis

Dalam Islam, haiwan yang halal dimakan seperti lembu, kambing dan seumpamanya perlu melalui proses sembelihan yang disembelih dengan nama Allah. Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ ‎‏

Maksudnya: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya”

Surah al-An’am (118)

Sembelihan haiwan perlulah mengikut kehendak syarak seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ

Maksudnya: “(Sembelihlah haiwan) dengan alat yang boleh mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah, justeru makanlah haiwan itu. Tidaklah sembelih menggunakan kuku dan gigi (haiwan).”

Riwayat al-Bukhari (5498)

Oleh itu, alatan sembelihan itu hendaklah ditajamkan sebelum menyembelih haiwan dengan memotong urat halkum dan mari’ iaitu saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Imam al-Nawawi menyebut tentang kaedah sembelihan syar’ie:

ذَكَاةُ كُلِّ حَيَوَانٍ قُدِرَ عَلَيْهِ بِقَطْعِ كُلِّ الْحُلْقُومِ، وَهُوَ مَخْرَجُ النَّفَسِ وَالْمَرِيءِ وَهُوَ مَجْرَى الطَّعَامِ، وَيُسْتَحَبُّ قَطْعُ الْوَدَجَيْنِ، وَهُمَا عِرْقَانِ فِي صَفْحَتَيْ الْعُنُقِ

Maksudnya: Sembelih setiap haiwan itu dengan memotong kedua urat halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’ (saluran pemakanan). Dan disunatkan memotong al-wadajain iaitu dua urat di tengkuk (berdekatan dengan urat halkum).[4]

Justeru itu, sebarang daging yang disembelih mengikut kaedah syarak adalah halal walaupun selepas itu daging tersebut melalui proses-proses untuk mengekalkan ketahanan daging atau melembutkan daging seperti proses penuaan.

Seterusnya, menurut syarak, konsep makanan yang halal mestilah memenuhi kriteria baik lagi suci. Ini berpandukan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Surah al-Baqarah (168)

Imam al-Tobari menyatakan definisi toyyiban (baik) iaitu suci dan bersih dari najis dan halal.[5] Oleh itu, dapat difahami bahawa lafaz al-ṭoyyib iaitu suci sebagai sifat makanan yang halal.

Begitu juga, makanan tersebut hendaklah dipastikan dari sudut kesihatan dan keselamatan serta tidak mendatangkan kemudaratan. Hal ini juga merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menjaga nyawa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit RA, bahawa Nabi SAW memerintahkan bahawa:

BACA:  Taubat Nasuha. Apakah Tanda Tanda Taubat Diterima Allah SWT?

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

MaksudnyaTidak boleh mendatangkan kemudaratan dan memberi kemudaratan

Riwayat Ibnu Majah (2340)

Dalam proses penuaan, kulat yang tumbuh di atas permukaan daging terutamanya kulat jenis Thamnidium adalah kulat yang sangat diinginkan sepanjang proses. Walaupun kebiasaannya kulat sinonim dengan punca kerosakan, namun dalam proses penuaan, enzim daripada kulat ini akan membantu untuk melembutkan daging.[6] Bahkan permukaan daging yang keras dan berkulat akan dibuang sebelum daging dimasak.

Berdasarkan perkara tersebut, daging yang melalui proses penuaan adalah selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada pengguna namun perlu juga dipastikan daging tersebut tidak rosak semasa proses penuaan. Oleh yang demikian, jika daging tersebut tidak mencapai tujuan asal proses penuaan itu, maka adalah lebih baik untuk dielakkan kerana tidak lagi dianggap baik dan selamat.

 

Penutup  

Berdasarkan fakta pemprosesan daging penuaan kering yang hanya bertujuan sebagai kaedah pelembutan daging supaya rasanya lebih enak dimakan, maka tiada  proses yang melanggar syariah selagi tidak terjejas dengan najis mahupun tidak mengikuti cara penyembelihan mengikut kehendak syarak. Justeru itu, halal makan daging yang melalui  proses“ageing meat” selagi ia bebas daripada unsur haram.

Wallahu A’lam

 

Rujukan:

[1] Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review. J Anim Sci Technol 58, 20 (2016). https://doi.org/10.1186/s40781-016-0101-9

[2] https://www.australianbutchersguild.com.au/butchery/ageing-meat

[3] https://www.lambandbeef.com/foodservice/production/preparation/ageing

[4] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya Ad-Din. Minhaj al-Talibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, (Dar al-Fikr, 2005) hlm. 318)

[5]  Ibn Jarir al-Thabarir. Tafsir al-Thabari, Muasasah, (al-Risalah, 2002) 3/301.

“طيبًا” فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم

[6] Ibid. Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.