≡ Menu

Bolehkah Memanggil Orang Dengan Gelaran Greatest Of All Time (G.O.A.T)? Ketahui

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya ingin bertanya, apakah hukum kita menggelarkan kepada pemain bola sepak dengan panggilan GOAT? Adakah ia termasuk dalam perkara yang dilarang dalam agama? Mohon pencerahan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Memanggil atau menggelar seseorang atlet atau pemain bola sepak dengan panggilan GOAT tidak membawa maksud menyamakan GOAT itu dengan tuhan sebaliknya ia hanyalah gelaran sanjungan sebagai jaguh dalam sesuatu sukan. Namun begitu, seorang muslim hendaklah berpada-pada dalam menyanjungi seseorang idola supaya tidak terjebak dengan budaya taasub terhadap sesuatu individu.

Huraian Jawapan:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam dunia sukan, panggilan G.O.A.T dikenali sebagai Greatest Of All Times bukan perkara asing kerana ia membawa maksud terbaik sepanjang zaman.[1] Gelaran ini sering kali diberi kepada ahli-ahli sukan yang tidak dapat dinafikan kecemerlangan melalui pencapaian mereka di dalam sesuatu sukan dan gelaran GOAT ini tidak hanya dikhususkan kepada bintang bola sepak. Sebaliknya atlet sukan lain turut dinobatkan gelaran ini oleh peminat mereka tersendiri seperti jaguh sukan tenis iaitu Roger Federer dan jaguh tinju iaitu Muhammad Ali.[2]

Oleh yang demikian, tiada masalah penggunaan istilah atau gelaran GOAT kepada bintang sukan itu tidak membawa maksud  tuhan seperti perkataan ‘GOD’. Namun Begitu, dalam menyanjung serta mengagungkan tokoh-tokoh sukan, perlulah menjaga batasannya kerana terdapat sepotong hadis yang diriwayatkan

‌إِذَا ‌رَأَيْتُمُ ‌الْمَدَّاحِينَ، فَاحْثُوا فِي وُجُوهِهِمِ التُّرَابَ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat orang memuji, maka taburlah debu di wajah mereka”

Riwayat Muslim (3002)

Hadis di atas menjelaskan bahawa pujian atau sanjungan merupakan satu perkara yang keji melainkan dalam situasi untuk memperkenalkan diri dengan berkata “saya seorang syeikh”.[3] Sementara itu, Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan juga tentang larangan memuji sepertimana dalam riwayat daripada Mutarrif yang berbunyi:

BACA:  Pengajaran Dalam Mendidik Anak Yang Diajarkan Oleh Nabi Ibrahim Di Dalam Al-Quran

قَالَ أَبِي: انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا، فَقَالَ: «السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى» قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلًا وَأَعْظَمُنَا طَوْلًا، فَقَالَ: «قُولُوا بِقَوْلِكُمْ، أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ، وَلَا يَسْتَجْرِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ»

Maksudnya: “Ayahku (Abdullah bin al-Syikhir) berkata: Aku telah mengikuti rombongan Bani ‘Āmir menemui Rasulullah SAW. Lalu kami berkata: Engkau adalah sayyid (junjungan) kami. Lantas Baginda memotong: Sayyid (junjungan) yang sebenarnya adalah Allah SWT.  Maka kami berkata: Engkau adalah orang yang paling mulia dan agung dalam kalangan kami. Lalu Baginda bersabda: Ucapkan perkataan tersebut sahaja atau sebahagian daripada ungkapan kalian dan jangan sampai syaitan memerangkap kalian”.

Riwayat Abu Daud (4806)

Menurut Sheikh al-Sindi, pengajaran daripada hadis di atas ialah berkenaan larangan memuji supaya tidak dipergunakan oleh syaitan dalam memuji manusia melebihi batasnya. Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali telah menyatakan hikmah disebalik larangan memuji secara berlebihan adalah mendatangkan kemudaratan kepada si pemuji dan orang yang dipuji. Menurut beliau lagi, pujian yang berlebih-lebihan boleh menyebabkan:[4]

  • Si pemuji itu melampau-lampau dalam pujian sehingga boleh berakhir dengan pembohongan.
  • penzahiran sifat riyak dalam diri si pemuji.
  • pujian pada perkara yang tidak benar atau tidak diketahui keadaan sebenar orang yang dipuji.
  • pujian itu ditujukan kepada golongan yang zalim atau fasiq yang boleh membanggakan mereka melalui pujian tersebut.

Manakala bagi orang yang dipuji pula, pujian boleh menyebabkan seseorang berasa ‘ujub(bangga diri) dan takbur yang boleh membinasakan dirinya. Selain itu, pujian boleh menyebabkan seseorang itu merasa cukup dan berpuas hati terhadap apa yang dimiliki.[5] Namun begitu, beliau turut menjelaskan jika sebarang bentuk pujian itu tidak mendatangkan kemudaratan baik kepada si pemuji atau orang yang dipuji maka ia dibenarkan oleh syarak.[6]

Selain itu, Imam al-Nawawi RA turut menyatakan bahawa harus untuk memuji seseorang secara berdepan selagimana perbuatan memuji itu tidak menimbulkan persaan riyak dan mendatangkan fitnah kepada orang yang dipuji.[7]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa memuji seseorang adalah harus selagi mana pujian itu tidak melampaui batas. Namun jika sebaliknya, ia adalah haram serta dilarang kerana boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam tipu daya syaitan.

Kesimpulan:

Memanggil atau menggelar seseorang atlit atau pemain bola sepak dengan panggilan GOAT tidak membawa maksud menyamakan GOAT itu dengan tuhan sebaliknya ia hanyalah gelaran yang disanjung sebagai jaguh dalam sesuatu sukan. Namun begitu, seorang muslim hnedaklah berpada-pada dalam menyanjungi seseorang idola supaya tidak terjebak dengan budaya taksub terhadap sesuatu individu.

Wallahu A’lam..

 

Rujukan:

[1] https://www.goal.com/en-my/news/what-is-a-goat-football-messi-vs-ronaldo-greatest-players-all-time/syv4k2m4g9dm1rqcy721sth0k diakses pada: 5/1/2023

[2] Ibid: diakses pada 5/1/2023

[3] Lasyin, Musa Syahin. (2002). Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. Cetakan: Dar al-Syuruq. Jld 10, hlm 612, no:6527. Teks asal:

مدح الإنسان نفسه مستقبح اللهم إلا إن كان للتعريف كقول الرجل أنا الشيخ فلان أو الأستاذ فلان

[4] Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. (T.T). Ihya’ ‘Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Makrifat. Jld 3 hlm 159-160.

وَالْمَدْحُ يَدْخُلُهُ سِتُّ آفَاتٍ أَرْبَعٌ في الْمَادِحِ وَاثْنَتَانِ فِي الْمَمْدُوحِ

فَأَمَّا الْمَادِحُ فَالْأُولَى أنه قد يفرط فينتهي به إلى الكذب

وَالثَّانِيَةُ أَنَّهُ قَدْ يَدْخُلُهُ الرِّيَاءُ

الثالثة أَنَّهُ قَدْ يَقُولُ مَا لَا يَتَحَقَّقُهُ وَلَا سبيل له إلى الإطلاع عليه

الرابعة أَنَّهُ قَدْ يَفْرَحُ الْمَمْدُوحُ وَهُوَ ظَالِمٌ أَوْ فاسق وذلك غير جائز

[5] Ibid: Jld 2 hlm 160

وَأَمَّا الْمَمْدُوحُ فَيَضُرُّهُ مِنْ وَجْهَيْنِ

أَحَدُهُمَا أَنَّهُ يحدث فيه كبراً وإعجاباً وهما مهلكان

الثاني هو أنه إذا أثنى عليه بالخير فرح به

[6] Ibid, jld 2 hlm 160

فَإِنْ سَلِمَ الْمَدْحُ مِنْ هَذِهِ الْآفَاتِ فِي حَقِّ الْمَادِحِ وَالْمَمْدُوحِ لَمْ يَكُنْ بِهِ بَأْسٌ بل

[7] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf. 1392H. Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim. Cetakan 2. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy. Jld 2 hlm 213.

وَفِيهِ جَوَازُ مَدْحِ الْإِنْسَانِ فِي وَجْهِهِ إِذَا أُمِنَ عَلَيْهِ الْإِعْجَابُ وَغَيْرُهُ مِنْ أَسْبَابِ الْفِتْنَةِ

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.