
Apakah itu teknik Pomodoro?
Ia merupakan salah satu teknik belajar yang efektif. Dalam artikel ini, kami akan menceritakan serba ringkas bagaimana untuk melakukan cara belajar seperti ini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sudah pun memasuki minggu yang ke-11. Penularan Covid-19 yang begitu cepat telah menyebabkan pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk melaksanakan PKP. Pelaksanaan PKP telah menyebabkan kebanyakan tempat-tempat awam seperti sekolah, universiti, kolej dan sebagainya terpaksa ditutup bagi mencegah Covid-19 daripada terus tersebar.
Namun begitu, banyak universiti dan kolej melaksanakan pembelajaran secara atas talian (online learning) bagi meneruskan sesi pembelajaran. Kebanyakan sesi pembelajaran ini dilakukan di rumah masing-masing (work from home).
Penulis melihat terdapat banyak rungutan daripada para pelajar apabila mereka mendapati sukar untuk mereka belajar di rumah. Antara faktor yang menjadi ketidakpuasan mereka ialah masalah rangkaian internet, kurangnya motivasi dan masalah keadaan di dalam rumah mereka sendiri.
Hal ini dapat difahami kerana sesi pembelajaran di kampus sangat berbeza dengan sesi pembelajaran di rumah. Pihak kampus menyediakan bahan bantu belajar yang lengkap di kampus selain motivasi untuk belajar sangatlah tinggi kerana terpaksa berpisah dengan keluarga dan mempunyai rakan-rakan yang dapat memberikan sokongan.
Bagi diri penulis yang juga seorang pelajar di universiti awam, penulis juga mendapati bahawa proses pembelajaran di rumah agak sukar kerana kurangnya motivasi untuk belajar atau menyiapkan tugasan yang diberikan selain daripada masalah internet. Namun demikian, penulis mengikuti satu teknik belajar yang sangat efektif yang dapat mendorong diri penulis untuk mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan tugasan.
PENGENALAN
Teknik Pomodoro merupakan satu teknik belajar yang sangat efektif bagi diri penulis. Teknik ini banyak membantu semasa penulis mempunyai motivasi yang rendah semasa belajar di rumah. Tambahan pula, teknik ini sangat fleksibel kerana kita dapat memilih untuk belajar pada waktu yang kita ingini.
Teknik Pomodoro adalah kaedah pengurusan masa yang dikembangkan oleh Francesco Cirillo pada akhir 1980-an. Teknik ini menggunakan pemasa untuk membahagikan sesuatu kerja menjadi satu set selang masa yang dipisahkan dengan waktu rehat. Setiap selang masa dikenali sebagai Pomodoro yang berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud tomato kerana pemasa yang digunakan Cirillo semasa belajar di universiti berbentuk tomato.
Kebiasannya teknik ini menggunakan formula “25 minit bekerja, 5 minit rehat” dan diulang sebanyak 4 kali yang mana jumlahnya adalah selama 2 jam. Teknik Pomodoro meningkatkan produktiviti dengan berehat berjadual pendek secara berkala. Bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan teknik ini, penulis membahagikan Pomodoro kepada tiga fasa: sebelum, semasa, selepas.
SEBELUM POMODORO
Sebelum memulakan sesi pembelajaran, penulis biasanya melakukan aktiviti-aktiviti seperti berikut:
- Membersihkan diri untuk memberikan kesegaran semasa belajar dan menumpukan sepenuh perhatian semasa teknik ini dipakai.
- Makan dan minum yang secukupnya kerana proses pembelajaran memerlukan tenaga yang banyak.
- Menyenaraikan senarai tugasan yang ingin dilakukan dan pastikan ia adalah spesifik seperti menyiapkan beberapa soalan daripada tugasan yang diberikan atau membaca beberapa topik dalam buku. Tuliskan beberapa perkara yang anda rasa realistik untuk dilakukan semasa Pomodoro. Jangan lakukan sesuatu yang tidak realistik seperti menyiapkan projek akhir tahun yang mengambil masa setahun hanya dalam satu sesi Pomodoro! Kebiasannya, penulis menulis senarai ini pada sekeping kertas bagi membolehkan penulis tidak tersasar daripada tujuan.
- Pastikan bahan-bahan yang anda perlukan sudah pun tersedia. Contohnya, pastikan anda sudah memuat turun nota-nota yang anda perlukan semasa proses Pomodoro agar anda tidak membuang masa mencari atau memuat turun bahan-bahan diperlukan.
- Tetapkan panjang masa Pomodoro dan selang masa yang diperlukan. Walaupun Pomodoro pada asalnya “kerja 25 minit, rehat 5 minit”, anda boleh mengubah kepada masa yang anda inginkan. Sekiranya anda berasa 25 minit tidak cukup untuk anda belajar pada satu sesi, anda boleh menukarkannya kepada belajar selama 50 minit dan rehat selama 10 minit sebelum meneruskan sesi Pomodoro yang seterusnya.
- Sekiranya telefon pintar anda boleh mengganggu konsentrasi semasa sesi Pomodoro, anda digalakkan meletakkannya jauh dari tempat anda belajar. Sekiranya anda ingin menggunakan telefon pintar anda sebagai pemasa, anda boleh menetapkan nada dering yang hanya berbunyi apabila satu sesi Pomodoro tamat tetapi anda masih perlu meletakkannya jauh daripada anda.
SEMASA POMODORO
- Tumpukan sepenuh perhatian pada kerja atau pelajaran anda. Sekarang, anda sudah pun membuang segala gangguan, anda kini sudah boleh menumpukan perhatian pada kerja anda. Berhenti memikirkan perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan kerja atau pelajaran anda.
- Jangan menunggu masa Pomodoro untuk habis. Kesilapan yang biasa dilakukan ialah sering melihat waktu berbanding melakukan kerja. Hal ini menyebabkan sesi Pomodoro anda tidak efektif dan cuma membuang masa anda. Teruskan kerja anda dan berhenti apabila pemasa anda berbunyi.
- Cuba siapkan setiap tugasan yang anda senaraikan mengikut selang masa. Sebagai contoh, tugasan satu disiapkan pada selang masa satu dan seterusnya. Namun, jika anda memerlukan lebih masa, anda boleh menyambungnya pada sesi seterusnya.
SELEPAS POMODORO
- Semasa waktu rehat, tandakan tugasan yang telah anda siap untuk menunjukkan yang anda telah membuat kemajuan dalam tugasan anda. Walaupun sedikit, hasil anda tetap berbaloi seperti peribahasa, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
- Pastikan anda berehat tidak lebih daripada waktu yang telah ditetapkan. Elakkan daripada melayari media sosial semasa rehat bagi mengelakkan anda daripada berehat terlalu lama dan kehilangan motivasi untuk meneruskan sesi Pomodoro.
- Anda boleh minum atau makan sedikit bagi memberi tenaga semasa sesi Pomodoro.
- Apabila anda telah selesai keseluruhan sesi Pomodoro (yang mengambil masa kira-kira 2 jam), nilai semula apa yang telah anda lakukan sepanjang sesi Pomodoro anda. Adakah sesi Pomodoro anda efektif? Adakah anda berjaya menyelesaikan kesemua tugasan yang anda tetapkan? Sekiranya masih terdapat kekurangan, anda masih boleh perbaiki dalam sesi Pomodoro yang seterusnya. Pada mulanya, anda mungkin akan melakukan banyak kesilapan mungkin dari segi pengurusan masa dan sebagainya. Namun, apabila anda sudah biasa, semuanya akan menjadi mudah bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Kesimpulannya, teknik ini merupakan teknik belajar yang boleh diamalkan oleh para pelajar. Anda hanya perlukan pemasa, kertas, pensil dan tugasan anda. Teknik ini sangat membantu semasa anda ketiadaan motivasi atau menghadapi kesukaran dalam menyusun masa untuk belajar.
Apabila anda sudah biasa dengan teknik ini, anda akan berasa berbaloi dengan hasil yang anda dapat sepanjang sesi Pomodoro daripada belajar selama berjam-jam yang kurang mendatangkan hasil. Oleh itu, inilah masanya untuk anda bertukar kepada teknik Pomodoro! Selamat beramal.
