≡ Menu

Buah Nanas Ni Sebenarnya Banyak Manfaat Terhadap Kesihatan.

Apakah khasiat buah nanas kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah nanas, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Buah nanas adalah buah jenis tropika yang berasal dari Amerika Selatan dan Brazil. Tahukah anda bahawa buah nanas dibawa ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan Sepanyol pada abad ke-16. Pada awalnya, buah nanas ditanam secara komersial di Pekan Nanas, Johor dan bertindak sebagai pokok yang menghalang musuh di Bukit Nanas, Selangor.

Kini, negara kita telah menjadikan penanaman nanas sebagai salah satu tanaman komoditi dan merupakan penanaman ketiga tertinggi selepas buah pisang dan buah oren. Penanaman nanas mendapat permintaan yang tinggi kerana nanas mempunyai sebatian aroma yang menarik perhatian dan nilai nutrisi yang tinggi juga harga yang berpatutan.

Nanas telah ditanam secara perladangan dan dieksport ke luar negara dalam bentuk buah segar, nanas dalam tin dan jus nanas. Terdapat pelbagai jenis nanas yang ditanam di Malaysia kerana sesuai dengan cuaca dan jenis tanah di negara ini.

Buah nanas jenis Gandul, Josanin, Sarawak, Maspine, Moris,  N36 dan MD2 adalah antara jenis-jenis buah nanas yang ditanam secara komersial di Malaysia. Negeri Johor yang dikenali sebagai negeri jelapang nanas merupakan negeri utama pengeluar nanas. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Kementerian Pertanian Malaysia adalah lembaga yang diamanahkan untuk menyelia penanaman nanas sebagai sumber ekonomi negara.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kandungan nutrisi yang tinggi menarik perhatian para pengkaji untuk mengkaji khasiat yang terkandung dalam buah nanas. Buah nanas diklasifikasikan sebagai ‘functional food’ iaitu makanan yang berpotensi untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia. Oleh itu, artikel kali ini akan menghuraikan khasiat tersembunyi dalam buah nanas.

Kandungan Berkhasiat dalam Buah Nanas

Bromelain adalah sejenis enzim yang berfungsi untuk mencernakan protein (enzim proteolitik). Bromelain ini terkandung pada bahagian batang pokok nanas, dalam buah nanas dan juga jus nanas. Bromelain ini boleh diserap dengan baik oleh tubuh badan tanpa memberikan kesan sampingan yang berbahaya.

Pada awal kajian, para pengkaji berpendapat bahawa bromelain penting untuk proses pencernaan sahaja. Namun demikian, bromelain ini berpotensi untuk melembutkan daging dan mempercepatkan proses memasak. Selain itu, bromelain digunakan sebagai bahan dalam produk makanan tambahan dan dikelaskan sebagai selamat berdasarkan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA). Disebabkan itu bromelain boleh dijumpai dalam bentuk pil, tablet dan krim selain daripada dalam nanas.

Bromelain mengandungi kesan anti keradangan dan mengurangkan bengkak apabila berlakunya keradangan. Sebagai contoh apabila berlakunya resdung akut, sakit tekak, artritis dan gout. Bromelain juga mempercepatkan proses penyembuhan apabila berlakunya kecederaan dan pembedahan. Selain itu, enzim ini telah digunakan untuk merawat artritis reumatoid iaitu keradangan kronik pada bahagian sendi. Bromelain juga berupaya untuk mempercepatkan pembaikan dan pertumbuhan tisu baru yang disebabkan oleh kecederaan, ulser kencing manis dan pembedahan.

Di samping itu, nanas mengandungi asid malik yang merupakan sebatian organik. Asid malik ini memberikan rasa masam pada buah-buahan dan digunakan sebagai makanan tambahan. Asid malik membentuk 13% kandungan asid dalam nanas. Asid malik ini bermanfaat kepada kesihatan dengan meningkatkan tahap imunisasi, menjadikan kulit lembut dan anjal, mengekalkan kesihatan mulut dan mengurangkan risiko keracunan bahan logam.

Seterusnya, nanas mengandungi vitamin C dimana sebiji buah nanas yang masak ranum membekalkan 16.2% vitamin C yang diperlukan oleh tubuh badan. Vitamin C merupakan antioksidan yang larut dalam air, berupaya dalam melawan radikal bebas yang menyerang dan merosakkan sel-sel baik. Vitamin C membantu dalam penghasilan kolagen dalam tulang, saluran darah, tulang rawan dan otot. Vitamin C juga membantu penyerapan zat besi dengan lebih efisyen. Vitamin C akan merencatkan jangkitan pada saluran air kencing semasa mengandung serta mengurangkan risiko penyakit kanser.

BACA:  Migrain Yang Terlalu Teruk? Cubalah Amalkan 5 Tips Ini. Insya'Allah, Sakitnya Akan Berkurangan

10 Khasiat Buah Nanas Kepada Kesihatan

1. Kesan Antioksidan

Nanas mengandungi vitamin C iaitu vitamin yang boleh larut dalam air. Vitamin C melindungi tubuh badan dengan melawan radikal bebas yang menyerang dan merosakkan sel-sel yang baik. Radikal bebas ini sangat berbahaya kerana berpotensi untuk menyebabkan pembentukan plak dalam dinding buluh arteri.

Radikal bebas ini turut menyebabkan penyakit jantung disebabkan oleh penyakit kencing manis. Kedua-dua penyakit ini menyebabkan laluan sistem pernafasan menjadi sempit dan merangsang berlakunya serangan asma.

Di samping itu, radikal bebas ini boleh menyebabkan kanser usus dengan menyerang sel baik dan menghasilkan sel kanser dalam usus. Oleh itu, pengambilan nanas yang tinggi dengan vitamin C mampu melindungi dan mengelakkan penyakit menjadi lebih kritikal.

2. Membekalkan Tenaga 

Nanas yang merupakan sumber terbaik mineral mangan. Mangan adalah faktor sampingan yang penting dalam enzim untuk menghasilkan tenaga dan perlindungan antioksidan. Sebagai contoh, enzim oksidatif memerlukan mineral mangan untuk menghalang penghasilan radikal bebas pada bahagian mitokondrian.

Mitokondria adalah bahagian dalam sel yang berperanan untuk menghasilkan tenaga. Selain daripada mangan, vitamin B1 iaitu tiamin bertindak sebagai faktor sampingan dalam enzim untuk menghasilkan tenaga.

3. Melindungi Daripada Kemerosotan Makula

Nanas adalah salah satu buah-buahan yang penting untuk kesihatan mata. Menurut kajian, pengambilan nanas sebanyak tiga sajian atau lebih setiap hari mampu mengurangkan risiko kemerosotan makula. Ini kerana nanas mengandungi vitamin A dan vitamin C yang bertindak sebagai kesan antioksidan.

Penyakit kemerosotan makula adalah penyakit mata yang boleh menjadi semakin kronik. Penyakit ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan terutamanya dalam golongan berusia 60 tahun ke atas. Ini kerana makula iaitu bahagian kecil di tengah retina menjadi menipis.

4. Membantu Dalam Sistem Pencernaan

Nanas mengandungi enzim pencernaan yang dikenali sebagai bromelain. Enzim ini berfungsi untuk menukarkan molekul protein kepada asid amino dan peptida. Apabila molekul protein ini dicernakan, ini akan memudahkan proses penyerapan melalui usus kecil. Ini akan membantu pesakit yang mempunyai enzim pankreas yang tidak mencukupi.

Ini akan menyebabkan makanan tidak dapat dicernakan dengan sepenuhnya. Satu kajian menunjukkan bahawa pengambilan nanas sebagai makanan tambahan untuk membantu pencernaan untuk berlaku lebih baik.

5. Mengurangkan Risiko Penyakit Kanser

Kanser adalah penyakit kronik disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Ini disebabkan oleh tekanan oksida dan keradangan yang kronik. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kandungan sebatian dalam nanas mengurangkan risiko penyakit kanser. Ini kerana sebatian tersebut meminimumkan tekanan oksidatid dan mengurangkan keradangan.

Bromelain, yang digunakan sebagai enzim untuk mencernakan protein, berupaya dalam melawan penyakit kanser. Satu kajian tabung uji telah menunjukkan bahawa bromelain menghalang pertumbuhan sel kanser payudara dan membunuh sel kanser.

Selain itu, kajian tabung uji dan kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa bromelain meningkatkan sistem imunisasi. Bromelain menghasilkan molekul yang penting untuk menjadikan sel darah putih lebih efektif dalam menghalang pertumbuhan sel kanser dan membunuh sel kanser.

6. Meningkatkan Sistem Imunisasi

Nanas menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional kerana kandungan vitamin, mineral dan enzim seperti bromelain meningkatkan sistem imunisasi. Satu kajian menunjukkan dua kumpulan dimana satu kumpulan (Kumpulan A), mengambil nanas sebanyak 140 g sehari manakala satu kumpulan yang lain (Kumpulan B) mengambil nanas sebanyak 280 g sehari.

BACA:  Kurang Vitamin D, Ini Yang Akan Berlaku Pada Tubuh Anda

Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan B mempunyai empat kali ganda sel darah putih yang penting untuk melawan penyakit berbanding kumpulan A.

7. Memberikan Kesan Anti Keradangan

Nanas mempunyai kesan anti keradangan kerana kandungan bromelain yang mengurangkan rasa sakit. Artritis, adalah satu satu penyakit disebabkan oleh keradangan kronik yang menyerang bahagian sendi di jejari tangan dan kaki. Pengambilan nanas yang mengandungi bromelain membantu untuk melegakan simptom penyakit artritis terutama simptom yang berlaku dalam jangka masa pendek.

Kebolehan nanas ini sama seperti keupayaan ubat artritis yang lain seperti diklofenak. Namun demikian, pengambilan nanas dalam merawat simptom artritis pada jangka masa panjang masih belum diketahui. Kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan sebelum menjadikan nanas sebagai makanan untuk merawat artritis.

8. Mempercepatkan Proses Pemulihan Selepas Pembedahan dan Senaman Berat

Pengambilan nanas dapat mempercepatkan proses pemulihan selepas pembedahan dan senaman berat. Ini kerana nanas mengandungi bromelain yang mempunyai kesan anti keradangan. Bromelain ini mampu mengurangkan keradangan, bengkak, lebam dan sakit yang berlaku selepas pembedahan.

Satu kajian menunjukkan bahawa seorang pesakit mengambil buah nanas sebelum menjalani pembedahan gigi. Pesakit ini mendapati dia berasa kurang sakit selepas tamat pembedahan. Senaman berat merosakkan tisu otot dan menyebabkan keradangan.

Otot yang terlibat akan membengkak sekurang-kurangnya dalam tiga hari. Bromelain dalam nanas berpotensi untuk mempercepatkan proses pemulihan selepas senaman berat dengan mengurangkan keradangan pada bahagian tisu otot yang rosak.

Satu kajian menunjukan bahawa responden yang mengambil nanas sebagai snek selepas bersenam selama 45 minit, kurang mengalami keradangan dan mempunyai lebih kekuatan walaupun selepas bersenam.

9. Menghalang Penyakit Jantung

Nanas membantu dalam menghalang penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, strok dan kegagalan jantung untuk berfungsi. Strok dan penyakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian dan mencatatkan 65% kematian.

Pengambilan nanas dapat memecahkan plak kolesterol, menghalang pengumpulan platelet darah, trombosis arteri dan embolisme. Kajian menunjukkan pengambilan ubat sakit jantung dan nanas dalam diet seharian mampu mengurangkan simptom tekanan darah tinggi, hiperkolesterolemia.

 

10. Meredakan Penyakit Cirit-Birit

Kajian menunjukkan bahawa nanas berupaya dalam meredakan penyakit cirit-birit kerana keupayaan dalam melawan melawan patogen seperti Vibrio cholera dan Escheria coli. Kedua-dua patogen ini ditemui dalam usus dan menyebabkan cirit-birit. Escheria coli yang merupakan enterotoksin menyebabkan cirit-birit pada haiwan.

Nanas memberikan kesan positif dalam melawan toksin ini. Ini kerana nanas mempunyai kesan lekatan yang menghalang Escheria coli daripada melekat pada reseptor glikoprotein tertentu yang berada pada mukosa usus.

Kesimpulan

Industri penanaman nanas menunjukkan potensi yang besar dalam kemajuan teknologi untuk perdagangan secara domestik dan antarabangsa. Penanaman nanas memberikan keuntungan yang lumayan kerana aromanya yang unik, tinggi dengan sebatian kimia yang baik untuk kesihatan dan nutrisi penting.

Artikel kali ini telah membincangkan komposisi nutrisi, kandungan berkhasiat dan kepentingan buah nanas terhadap kesihatan tubuh badan.

Oleh itu, diharap agar tanggapan terhadap buah nanas yang hanya dijadikan makanan dan bahan masak dapat dipertingkatkan lagi. Teknologi moden perlu diperbanyakkan untuk memperbesarkan lagi projek penanaman nanas agar dapat menampung permintaan ekonomi yang tinggi.

Semoga artikel khasiat buah nanas ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan khasiat nanas ini kepada para pembaca semua.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.