
Zulhijjah adalah bulan terakhir dan penutup bagi kalendar Qamariah atau Hijriah sebelum meraikan kehadiran tahun baharu. Zulhijjah termasuk dalam empat ‘bulan haram’.
Salah satu ibadah disyariatkan dan diwariskan semenjak zaman Nabi Ibrahim AS adalah amalan mengorbankan haiwan ternakan. Ia dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha sehingga sebelum terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah.
Lazimnya haiwan dikorbankan adalah binatang ternakan – unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Daging haiwan dikorbankan dibahagikan kepada pelbagai pihak terutama fakir miskin.
Walaupun tempoh melaksanakan ibadah korban sudah berakhir, namun tidak bermakna perancangan untuk melaksanakan ibadah sama pada tahun berikutnya diabaikan orang Islam.
Pada dasarnya, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakad bagi mereka yang berkemampuan. Dalam ibadah korban ini, Nabi Muhammad SAW mengorbankan sebanyak 100 ekor unta pada tahun ke-10 Hijrah.
Baginda menyembelih 63 haiwan korban dan bakinya diserahkan kepada Saidina Ali Abi Talib untuk disembelih. (HR Muslim)
Dalam hadis lain, Baginda menekankan keperluan melaksanakan ibadah korban setiap tahun. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa memiliki kelapangan, namun dia tidak berkorban, maka janganlah menghampiri ke masjid kami’. (HR Ahmad).
Dalam hadis itu, orang berkemampuan adalah mereka mampu membeli haiwan korban. Ia bermakna seseorang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan tanggungannya sama ada makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari tasyrik.
Larangan Nabi supaya tidak menghampiri masjid adalah sebagai gertakan bagi golongan bakhil. Hadis pertama dan kedua sepatutnya menjadi motivasi bagi umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban setiap tahun. Ia perlu dibudayakan dalam diri umat Islam.

Namun pada tahun ini, terdapat laporan mengatakan permintaan dan tempahan haiwan korban didapati menurun secara ketara. Situasi ini menunjukkan jumlah haiwan dikorbankan semakin berkurangan, sedangkan ibadah ini disyariatkan setahun sekali.
Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu mencari kaedah atau mekanisme terbaik bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun dengan sistematik.
Dapat dilihat, dalam melaksanakan ibadah korban, ada pihak mampu mengeluarkan perbelanjaan korban secara sekali gus, ada golongan perlu menyimpan dan menabung bagi mencukupkan perbelanjaan untuk membeli haiwan untuk dikorban.
Menabung untuk berkorban bukan perkara pelik kerana diamalkan kebanyakan orang sejak dahulu lagi. Malahan aktiviti menabung menjadi budaya sebahagian besar umat Islam.
Ramai menabung untuk membeli pelbagai barang seperti kenderaan, gajet, melancong, barangan mewah, membayar cukai jalan kenderaan dan sebagainya. Ini disebabkan jumlah wang besar mungkin sulit untuk dibayar sekali gus, tetapi dengan menabung, ia dapat membantu manusia untuk membeli barang disasarkan.
Maka, amalan menabung untuk ibadah korban ini sepatutnya dibudayakan dalam masyarakat Islam supaya ia menjadi tradisi keluarga. Jika tidak, ibadah korban ini akan menjadi amalan eksklusif kepada golongan kaya. Hakikatnya, setiap orang Islam amat digalakkan berkorban setiap tahun.
Tidak dinafikan, harga haiwan ternakan untuk dijadikan korban semakin meningkat setiap tahun, bergantung kepada saiz dan saiz haiwan. Secara puratanya, di Malaysia, satu bahagian korban bagi lembu sekitar RM700 hingga RM900, dan seekor kambing pula antara RM700 hingga RM1,000.
Jumlah wang diperlukan untuk membeli haiwan ternakan untuk dijadikan korban ini mungkin besar nilai bagi golongan fakir dan miskin tetapi bagi mereka yang berada di luar lingkaran itu, boleh menyimpan secara bulanan untuk memenuhi tuntutan ibadah korban setiap tahun.
Hukum menabung untuk melaksanakan ibadah korban adalah harus kerana tiada dalil yang melarangnya dengan jelas. Ia adalah wasilah untuk melaksanakan ibadah korban. Selain itu, dalam Irsyad al-Fatwa oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan siri ke-77 menyatakan ibadat korban tetap sah walau dilakukan dengan cara berhutang, tetapi tidak digalakkan jika membebankan.
Menurut fatwa Darul Ifta’ Mesir, bilangan 7,155, hukum berkorban adalah sunat muakad dan harus berhutang sekiranya seseorang itu tahu kemampuan dirinya untuk membayar hutang, sebaliknya jika tidak mampu bayar, maka tidak diharuskan untuk berhutang.
Sehubungan dengan itu, amalan menabung ini boleh menggunakan beberapa mekanisme bersesuaian antaranya:
- Membuat inisiatif tabungan korban secara individu bermula awal tahun pada Muharam secara konsisten.
- Membuat kutipan secara berkelompok dan secara beransur-ansur bagi mencapai sasaran jumlah tertentu sama ada bersama ahli keluarga atau jiran dan masyarakat ingin melaksanakan ibadah korban.
- Menyimpan dalam bentuk emas kerana harganya lebih stabil, sentiasa naik dan kalis inflasi. Maka ia boleh dijual apabila menjelang hari raya korban tanpa susut nilai.
Apa yang penting, amalan menabung untuk melaksanakan ibadah korban perlu dibudayakan supaya ia menjadi agenda tahunan bagi keluarga Muslim. Ia juga sebagai tanda kesyukuran atas rezeki Allah kurnia sepanjang tahun.
Allah SWT berfirman bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat keras”. (Surat Ibrahim, ayat 7)
