≡ Menu

Bukan Sekadar Pendinding Diri. Ini Antara Kaifiat Ayatul Kursi Yang Kita Tak Tahu

AYATUL Kursi amat sinonim dalam kehidupan kita. Sejak dari kecil, ramai dalam kalangan kita sememangnya sudah diajar untuk menghafal ayat Kursi.

Ia menjadi salah satu ayat yang begitu penting untuk dibaca sebelum melelapkan mata. Dengan cara itu sahajalah, kita akan dilindungi sepanjang tidur agar tidak diganggu oleh syaitan.

Bercakap tentang ayat Kursi, penulis teringat tentang kejadian yang berlaku ketika di bangku sekolah menengah kira-kira 20 tahun lalu. Beberapa rakan penulis diserang histeria. Bermula dari seorang pelajar perempuan, entah bagaimana ia boleh ‘berjangkit’ pada rakan-rakan yang ada di dalam bilik asrama berkenaan.

Mereka terpekik-pekik, malah ada yang meraung. Mengenali rakan-rakan tersebut, mereka bukan sejenis insan yang berperilaku sedemikian. Namun, ‘serangan mengejut’ itu menyebabkan mereka hilang kawalan diri.

Ketika itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa kuatnya jantung penulis berdetak. Terasa seram sejuk. Syukurlah pada masa itu, ada pelajar senior yang meminta semua pelajar lain supaya membaca ayat Kursi dan mengarahkan rakan yang lemah semangat agar keluar dari bilik berkenaan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Ya, selepas melafazkan ayat berkenaan, jiwa secara automatik berasa lapang dan tenang. Beransur-ansur rasa takut yang bertamu dalam hati tadi hilang.

Demikianlah kehebatan ayat Kursi yang mampu menjadi pelindung kepada diri. Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan yang ada pada ayat berkenaan.

Kenapa ayat Kursi itu begitu istimewa? Benarkah ia ayat yang diajarkan oleh syaitan kepada sahabat Nabi Muhammad SAW?

Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi bagi membicarakan lanjut tentang topik berkenaan.

Sebelum pergi lebih jauh, Ustaz Ahmad Lutfi mengajak kita mengenali lebih dekat tentang ayat Kursi. Jelas beliau, ia merupakan ayat ke-255 dalam Surah al-Baqarah.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH, tidak ada Tuhan selain DIA. YANG MAHA HIDUP, yang mengatur (makhluk-NYA) secara berterusan, tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-NYA apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi-NYA tanpa izin-NYA. DIA mengetahui apa yang di hadapan dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-NYA melainkan apa yang DIA kehendaki. Kursi-NYA meliputi langit dan bumi. Dan DIA tidak merasa berat memelihara kedua-duanya. Dan DIA MAHA TINGGI, lagi MAHA BESAR.”

(Artikel berkaitan: Baca Surah al-Waqi’ah nak jadi kaya, tapi malas berusaha… )

Kedudukan tinggi

Ujar Ustaz Ahmad Lutfi, ayat al-Quran tersebut dikenali dengan nama al-Kursi kerana dalam kalamullah tersebut ada disebutkan tentang Kursi (ilmu dan kerajaan) ALLAH SWT.

“Ayat ini memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam dan ia juga memiliki keutamaan-keutamaan yang banyak. Banyak hadis, baik yang sahih mahupun hasan yang menjelaskan tentang keutamaan ayat yang begitu mulia ini,” katanya ketika ditemu bual menerusi secara maya baru-baru ini.

Agamawan itu menjelaskan, sesungguhnya, kalam ALLAH itu menjadi benteng bagi pembacanya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari. Dalam riwayat itu, diceritakan tentang perihal Abu Hurairah RA yang ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga harta zakat.

Ketika itu, datang seseorang untuk mencurinya dengan kedua tapak tangannya. Abu Hurairah lantas menangkapnya dan berkata: “Demi ALLAH, sungguh akan aku laporkan engkau kepada Rasulullah SAW.”

Dia berkata: “Sesungguhnya aku memiliki keluarga yang harus dinafkahi dan aku juga memiliki hajat yang mendesak.”

Maka, Abu Hurairah pun melepaskan orang itu.

Ketika waktu pagi, Nabi Muhammad SAW bertanya: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan tawananmu semalam?”

Abu Hurairah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, dia mengadukan tentang keperluannya yang mendesak dan keluarganya yang harus dinafkahi, lalu aku kasihan kepadanya dan aku lepaskan dia.”

Baginda SAW berkata: “Sesungguhnya dia telah membohongimu dan dia akan kembali.”

Maka, Abu Hurairah pun mengetahui pencuri itu akan datang kembali berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW. Maka beliau mengawasinya (mengintainya). Lalu, datanglah pencuri itu mengambil makanan.

Lantas Abu Hurairah menangkapnya dan berkata: “Sungguh, aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.”

Dia berkata: “Lepaskan aku, sesungguhnya aku ini perlu (makanan), dan aku memiliki kelurga yang harus dinafkahi. Aku tidak akan kembali lagi.”

Oleh sebab kasihan, sekali lagi Abu Hurairah melepaskan orang tersebut.

Keesokan paginya, Nabi Muhammad SAW bertanya lagi kepada Abu Hurairah: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan tawananmu semalam?”

Abu Hurairah berkata, aku menjawab: “Wahai Rasulullah SAW, dia mengadukan tentang keperluannya yang mendesak dan keluarganya yang harus dinafkahi, lalu aku kasihan kepadanya dan aku lepaskan dia.”

BACA:  Waktu Mustajab Doa Yang Kita Kadang-Kadang Terlepas Pandang

Baginda SAW berkata: “Sesungguhnya dia telah membohongimu dan dia akan kembali.”

Maka, Abu Hurairah pun mengintainya untuk ketiga kalinya, lalu orang itu datang kembali mengambil makanan, lalu beliau pun menangkapnya dan berkata: “Sungguh aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW dan ini adalah yang ketiga kalinya engkau berkata untuk tidak akan kembali (mengulangi mencuri), namun engkau pun kembali.”

Dia pun berkata: “Biarkanlah aku mengajarimu dengan suatu kalimat, yang dengannya ALLAH memberikan manfaat kepadamu?”

Kata Abu Hurairah: “Apakah itu?”

Dia berkata: “Jika engkau hendak tidur, bacalah ayat Kursi, (ALLAH, tiada Tuhan selain DIA YANG MAHA HIDUP dan MAHA BERDIRI sendiri) sampai akhir ayat, maka sentiasa engkau berada dalam lindungan ALLAH, syaitan tidak akan mendekatimu (untuk menganggu) sampai waktu pagi.”

Maka, Abu Hurairah pun melepaskan orang itu.

Memasuki waktu pagi, Nabi Muhammad SAW bertanya lagi: “Apa yang dilakukan tawananmu?”

Abu Hurairah menjawab: “Dia mengira bahawa dia telah mengajariku dengan suatu kalimat, yang dengannya ALLAH memberikan manfaat kepadaku, maka aku pun melepaskannya.”

Lantas, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dia telah jujur kepadamu, padahal dia adalah sangat pendusta, tahukah engkau, siapa yang engkau ajak bicara semenjak tiga malam yang lalu wahai Abu Hurairah?”

Abu Hurairah RA berkata: “Tidak tahu.”

Baginda SAW menjawab: “Itu adalah syaitan.” (Riwayat al-Bukhari)

BACALAH ayat Kursi sebelum tidur agar dijauhkan daripada sebarang gangguan seperti syaitan ketika kita dibuai mimpi.
Dalam sebuah hadis yang lain Riwayat at-Tabarani, kisah yang serupa turut terjadi kepada Muaz bin Jabal RA.

Berdasarkan dua hadis berkenaan, ujar Ustaz Ahmad Lutfi, jelaslah begitu agungnya ayat Kursi berkenaan. Ia bukan sahaja menjadi benteng yang kuat kepada mereka yang membacanya, tetapi juga memelihara keamanan rumah.

“Syaitan tidak akan memasukinya (rumah yang dibacakan ayat Kursi). Oleh itu, hendaklah setiap Muslim membiasakan diri mebacanya pada pagi dan petang dan ketika hendak tidur.

“Ini kerana, ALLAH SWT akan memerintahkan malaikat untuk menjaganya pada waktu pagi dan petang, waima ketika pembacanya tidur,” jelas beliau.

Ustaz Ahmad Lufti menambah, sesungguhnya, ayat Kursi merupakan ayat paling agung dalam al-Quran.

Ini kerana katanya, dalam kalamullah berkenaan, terkandung nama ALLAH SWT yang paling agung dan penghulu kepada ayat-ayat yang ada dalam kitab suci umat Islam itu.

Batu loncatan ke jannah

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, keistimewaan ayat Kursi terkandung kepada inti pati ayat tersebut.

Ujar beliau, perkara tersebut ada dijelaskan oleh Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi yang mengatakan: “Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnya yang memuji dan mengagungkan zat ALLAH yang MAHA TINGGI, menyucikan-NYA serta menyifatkan-NYA dengan sifat yang layak bagi zat ALLAH.”

Al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi itu boleh dibahagikan kepada 10 bahagian. Kesemua 10 bahagian itu mengandungi elemen yang mengagungkan zat ALLAH.

Kata beliau lagi: “Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki 10 bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji ALLAH. Kenyataan pertama daripada ayat ini dimulakan dengan nama ALLAH yang mana ia mengesahkan keesaan ALLAH dan tiada sekutu bagi ALLAH.”

Penawar

Ustaz Ahmad Lutfi senada dengan Dr Ahmad Sanusi yang sekali lagi menjelaskan bahawa ayat Kursi boleh menjadi pendinding diri kepada pembacanya.

Bukan itu sahaja, jelas beliau lagi, sebahagian sarjana Muslim turut menjadikan ayat Kursi sebagai salah satu bacaan penawar dalam berdoa kepada ALLAH agar dikurniakan kesembuhan dan kesejahteraan ke atas pesakit.

“Al-Imam al-Darimi merekodkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Saidina Abdullah bin Mas’ud yang menyebutkan beberapa surah yang dijadikan penawar untuk dibaca kepada pesakit gila termasuklah ayat Kursi ini,” katanya.

Benarkah membaca ayat Kursi merupakan pendekatan mudah untuk ke syurga?

Dr Ahmad Sanusi lantas mengiyakan pernyataan itu.

Katanya, perkara itu ada disebut dengan jelas dalam sebuah hadis. Dalam hadis berkenaan, Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat agar tidak lupa untuk membaca ayat Kursi setiap kali seusai solat.

Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya sesiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai solat, maka tidak ada halangan untuk dirinya memasuki syurga melainkan mati.” (Riwayat al-Tabarani, al-Nasai dan Ibnu Hibban)

“Dengan mati sahaja seseorang itu akan dipermudahkan jalannya untuk ke syurga.

“Bukankah ini merupakan salah satu amalan yang paling mudah dalam mendapatkan syurga?

“Ia adalah dengan membaca ayat Kursi secara konsisten selepas solat, maka kita akan dipermudahkan untuk mendapat syurga ALLAH,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

BACA:  Saraf Mata Boleh Rosak, Ini Empat Kesan Penggunaan Gajet Ke Atas Mata Kanak-Kanak

Lazimkan baca ayat Kursi pada bila-bila masa terutama ketika keluar rumah

Mengamalkan ayat al-Quran dalam kehidupan memang sangat dianjurkan dalam agama Islam. Ia termasuk juga dengan ayat Kursi yang memiliki nama dan sifat ALLAH yang MAHA AGUNG.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkata, ayat ke-255 dalam Surah al-Baqarah itu amat digalakkan untuk dibaca pada bila-bila masa bagi mendapat fadilat dan manfaatnya.

Beliau turut memetik sebuah hadis masyhur tentang hadis yang menghuraikan waktu-waktu yang digalakkan untuk kita mengamalkan ayat Kursi berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang membacanya ketika waktu petang, maka ia akan dilindungi (oleh ALLAH daripada berbagai gangguan) hingga ke waktu pagi. Siapa yang membacanya ketika waktu pagi, maka ia akan dilindungi (oleh ALLAH daripada berbagai gangguan) hingga ke waktu petang.” (Riwayat Al-Hakim)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah kita disarankan membaca ayat Kursi pada waktu pagi dan petang, selain sebelum tidur.

“Sebelum melelapkan mata, biarlah kita tutup hari kita dengan membaca ayat-ayat al-Quran terutamanya ayat Kursi selain daripada membaca Surah al-Mulk.

“Biarlah kalam ALLAH itu menjadi ayat terakhir kita sebelum tidur kerana kita juga tidak pasti apakah kita akan bangun pada keesokan harinya ataupun tidak,” katanya ketika ditemubual menerusi e-mel baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, hadis berkenaan juga menerangkan bahawa sesiapa yang membaca penghulu segala ayat al-Quran itu, ALLAH akan melindungi kita daripada sebarang gangguan.

Ahli akademik itu turut menyarankan agar bacaan ayat Kursi sering kali pada bibir kita tatkala hendak keluar dari rumah atau ketika hendak melakukan perkara penting dalam aktiviti seharian kita.

Ayat Kursi
LAZIMKAN diri membaca ayat Kursi ketika keluar dari rumah.
“Semoga amalan itu kita sentiasa dilindungi ALLAH SWT dan dilancarkan segala urusan kita dengan izin daripada-NYA.

“Namun begitu, apabila kita keluar dari rumah atas urusan tertentu pada musim pandemik Covid-19 ini, selain menyelitkan bacaan ayat Kursi, patuhilah juga segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran wabak berkenaan.

“Apa-apapun, segalanya adalah tertakluk kepada izin daripada ALLAH SWT agar kita terpelihara daripada sebarang musibah,” katanya.

Dalam pada itu, Ustazah Siti Fatahiyah turut berkongsi pengalaman peribadinya yang mempunyai perkaitan dengan bacaan ayat Kursi.

Sekitar lima tahun lalu, katanya, beliau sekeluarga pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu pensyarah itu hilang kawalan akibat salah satu daripada tayar belakang pecah dan meletup.

“Kereta saya berpusing-pusing dan kemudiannya terbalik, sebelum bergolek-golek sebanyak tiga kali sehingga jatuh ke dalam longkang tepi lebuh raya dalam keadaan empat tayar ke atas.

“Namun, saya bersyukur kerana tiada seorang pun ahli keluarga cedera dan tiada calar apa-apa pun pada badan kami, walaupun kereta agak kemek akibat kemalangan tadi,” cerita beliau.

Justeru, beliau menyarankan agar kita tidak memandang remeh dengan bacaan ayat Kursi tadi terutama apabila hendak keluar rumah.

“Selain daripada mematuhi peraturan jalan raya dengan memakai tali pinggang keledar, bacalah doa-doa dan ayat Kursi agar kita dipelihara ALLAH dengan izin-NYA, di samping mendapat pahala membaca ayat al-Quran,” sarannya.

ANEKDOT

KEAGUNGAN ayat Kursi melebihi langit & bumi

– Batu loncatan manusia mudah masuk ke syurga

-Melindungi diri daripada syaitan laknatullah.

– Menjadi pendinding diri kepada pembacanya.

– Salah satu bacaan penawar untuk kesembuhan dan kesejahteraan ke atas pesakit.

Ayat Kursi
AMALKAN apa yang terkandung dalam al-Quran agar diri sentiasa dilindungi dan terpelihara daripada sebarang gangguan.
SEJARAH ayat Kursi

– Ayat Kursi yang merupakan ayat ke-255 dalam Surah al-Baqarah itu diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW.

– Turunnya penghulu segala ayat al-Quran itu diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya.

– Dikhabarkan, syaitan dan iblis menjadi gempar dengan penurunan ayat Kursi kerana adanya satu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan mereka.

– Maka, Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (penulis al-Quran) agar menulis serta menyebarkannya.

– Ayat ini disebut ‘Kursi’ kerana di dalamnya terdapat perkataan Kursi yang bermaksud ‘Tempat Duduk Yang Megah Lagi Yang Mempunyai Martabat’ iaitu syiar atas kebesaran Tuhan yang meliputi tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi.

– Dalam kitab Mu’jam Mufradati al-Fazil Qur’ani, makna Kursiyyuhu dalam ayat ini adalah sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA yang mana al-Kursiyyu bermakna ilmu. Namun, ada pula yang memaknakan dengan 15 kerajaan-NYA.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.