Suka tengok bulu kening yang tersusun cantik di wajah kaum wanita, makin naik serinya. Kalau dulu wanita suka menipiskan bulu kening, sekarang jenis main lukis-lukis sampai nampak tebal.
Tetapi sebelum anda membentukkan kening ikut taste masing-masing, mohon baca perkongsian Ustaz Farid Rashidi tentang hukum cabut, cukur dan melukis bulu kening.
Ramai pula yang bertanyakan tentang masalah kening.
Diakui memang trend berhias pada kening ini menjadi kebiasaan gadis remaja. Bahkan hingga ke mak orang pun join sekaki.
Sebelum masuk ke bab hukum, apa kata mari kita tahu dulu maksudnya.
Membuang bulu kening (النَّمْصُ)
Maksudnya membuang (cukur) atau mencabut bulu kening agar kelihatan halus dan lembut. Tujuannya adalah untuk menyamakan, membentuk seperti apa yang dikehendaki.
Dulu trend mencukur bulu kening hingga halus. Sekarang trend kening tebal ala Shin Chan. Cuma bezanya dulu perlu dicukur dan dinipiskan. Sekarang lukis dan conteng.
Ok, tarik nafas dulu. Panjang juga ni. Sila baca dengan tenang dan gembira ya.
Eh gembira? Bukan, maksudnya rilex. Chillex. Teruskan.
Jadi apakah hukum kedua-dua teknik ini?
Hukum mencabut, mencukur dan membuang bulu kening.
Fuqaha’ bersepakat bahawa haram mencabut bulu (menggunakan tweezers) yang tumbuh pada alis mata (kening), menipis dan menghaluskannya. Tak kiralah mahu cukur semua dan lukis balik, atau cukur dan menipiskan agar terbentuk seperti lengkungan dan lenturan yang terletak elok.
Kerana apa? Kerana ia termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT.
Dalilnya:
Daripada Ibrahim bin al-Qamah, dari Abdullah berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.”
[Sahih al-Bukhari Bi Syarh Fathu al-Bari Jil.10, 377, Sahih Muslim Bi Syarh al-Nawawi Jil.14, 106]
Bukan sahaja HARAM, tetapi juga turut di LAKNAT. LAKNAT ini bukan sahaja terkena pada orang yang dicukur, tetapi turut terkena kepada si pencukur.
Bayangkan kalau dia buat service cukur kening, berapa banyak dosa dan laknat dia dapat? Allahu Rabbi. Takutkan? Orang ada iman dalam hatinya akan rasa sangat takut tau.
Laknat ini bukan benda main-main. Maksud LAKNAT:
البعد عن رحمة الله تعالى
“Menjauhkan dari rahmat Allah ta’ala dan pahala-Nya”. [‘Umdatul-Qaariy 22/117]
Tapi bagaimana pula bulu kening perempuan itu berlebihan hingga nampak pelik dan janggal?
Ini masalah khilaf. Cuma di sini saya bawakan pendapat yang tepat (rajih) sahaja. Pendapat yang tepat adalah harus.
1. Harus menghilangkan bulu yang berlebihan di luar kedudukan alis mata dengan tidak berlebih-lebihan.
2. Harus juga menghilangkan bulu yang tumbuh di bahagian dagu (macam janggut), bawah bibir dan misai bagi golongan perempuan. Iyalah, nanti nampak semacam lelaki pula kan.
Hujjahnya:
“…Tanggalkanlah dari kamu perkara yang dibenci sekadar kemampuan kamu.”
[al-Asqalani, Fathu al-Bari, 37]
Kaedah syarak menyebut:
الضَّرَرُ يُزَالُ
“Kemudharatan dihindarkan”
Ini kerana ingin mengembalikan perempuan kepada asal kejadiannya (tak ada misai, janggut dll) dengan berpandukan syarat-syarat berikut:
1. Mesti seseorang perempuan berniat untuk berhias untuk suaminya. Bukan untuk orang lain di luar dan bukan juga untuk meniru-niru perbuatan orang bukan Islam dan fasik.
2. Terjauh daripada unsur-unsur penipuan, pembohongan dan keterlaluan. Sampai merubah wajah asal. Lain terus.
3. Menghilangkan bulu-bulu itu dengan cara tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar pada muka dan kulit.
Bagaimana pula hukum melukis kening (Eyebrow without trimming)?
Haram hukumnya:
1. Melukis kening bersungguh-sungguh hingga jelas berbeza daripada yang asalnya walaupun tidak mencukurnya.
2. Haram juga sekiranya kening dilukis, ditampal sesuatu (concealer) hanya untuk kelihatan terbentuk cantik kerana ia dikira merubah kening.
Ulama’ Islam bersepakat bahawa mengubah ciptaan Allah dengan tanpa sebarang tujuan adalah haram.
Harus hukumnya:
1. Jika sekadar mencelakkannya atau melukis ala sekadarnya hingga tidak merubah apa yang Allah ciptakan. Tidak juga menimbulkan riya’.
2. Harus untuk berhias pada suami, itu pun sekadarnya sahaja hingga tidak melampaui batas hingga mencukurnya.
3. Harus menggunakan bahan yang tidak menghalang wudhuk daripada sampai ke kening. Bahannya juga harus menggunakan sumber yang halal.
4. Diharuskan lukis pada kes kecacatan, tidak ada kening hingga mendatangkan aib jika kening hilang.
Kesimpulannya, tiada guna wajah cantik, kening melentik tetapi perangai tak menarik.
Allah cipta manusia cukup indah. Kening tebal ke nipis, tetap ada peminatnya. Ada lelaki yang suka. Jadi tak perlulah bersusah payah mengubahnya tanpa sebab. Nanti merana diri dan poket.