
Berapa ramai sebenarnya yang berjaya mengecapi dan menikmati rasa khusyuk dalam solat? Pastinya tiada siapa yang berani untuk mengangkat tangan mengaku diri betul-betul khusyuk dalam solat.
Kita sering terleka dan lalai dalam mengerjakan solat, sering kali kita mendirikan sembahyang pasti terdetik seketika di minda masalah-masalah duniawi.
Jadi apakah yang menyebabkan diri kita mudah lalai dan leka dalam mengerjakan solat dan cara yang bagaimanakah boleh kita gunakan untuk membuatkan diri menjadi lebih fokus dan khusyuk dalam solat? Ingin tahu jawapannya, semuanya bakal terjawab di bawah!
Kenali Bahagian Aktiviti Otak Parietal Lobe
Untuk pengetahuan kamu semua di dalam otak manusia terdapat empat bahagian aktiviti di dalam otak iaitu parietal lobe, occipital lobe, temporal lobe dan juga frontal lobe.
Antara empat bahagian ini kamu harus beri perhatian pada parietal lobe, ini kerana bahagian inilah yang membuatkan kamu masih terfikirkan hal-hal duniawi semasa dalam solat.
Jika dalam solat kamu terkenang hal duniawi, ini bermaksud bahagian parietal lobe otak masih aktif dan akan membuatkan kamu tidak fokus dan khusyuk dalam solat.
Cara Fokus & Khusyuk Dalam Solat!
Untuk mengurangkan keaktifan aktiviti otak bahagian parietal lobe ini, caranya adalah konsisten berlatih setiap hari untuk menenangkan bahagian ini. Selain itu, ini beberapa perkara yang kamu boleh lakukan untuk mendapatkan solat yang fokus dan khusyuk.
#1 Cari Tempat Yang Tiada Gangguan
Sebelum mengerjakan sembahyang, carilah tempat atau ruang yang jauh dari sebarang gangguan. Boleh jadi seperti di dalam bilik atau mana-mana tempat yang kamu rasa tidak akan terganggu ketika solat untuk 5 minit yang pertama.
#2 Duduk Dalam Keadaan Selesa
Sebelum memulakan solat, kamu duduklah dahulu dalam keadaan yang selesa. Kamu juga boleh pejamkan mata atau buka untuk membuatkan diri berada dalam keadaan selesa dan lebih bersedia.
#3 Rasai Perjalanan Nafas
Rasakan udara sama ada sejuk atau panas masuk ke dalam hidung, hembus nafas melalui mulut rasakan udara keluar. Kemudian fokus pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas, rasakan pergerakan tersebut. Alihkan fokus pada pergerakan di perut, rasai turun naik di perut semasa bernafas.
#4 Fokus Pada Aliran Udara Apabila Fikiran Tidak Fokus
Apabila fikiran mula menjadi tidak fokus, rasai pergerakan aliran udara keluar masuk dalam pernafasan dan rasai pergerakan di dalam dada dan perut. Fokus pada bahagian itu.
#5 Selepas 2 Minit Mula Zikir
Selepas merasakan daya fokus pada pernafasan dalam keadaan baik selepas dua minit, kamu boleh mulakan dengan zikir. Sebagai contoh mulakan dengan kalimat Allah dahulu, dengan menyebut kalimat ini ia akan dapat mengaktifkan bahagian frontal lobe otak.

#6 Praktis 5 Minit Selama 12 Hari
Untuk mengajar bahagian parietal lobe agar tidak aktif semasa solat, kamu perlu lakukan langkah-langkah di atas selama lima minit yang pertama, dalam tempoh 12 hari berturut-turut untuk mententeramkan bahagian parietal lobe.
#7 Rancang Waktu Solat
Setelah kamu mendapat rentak, lakukan aktiviti ini sebelum solat. Bernafas dan berzikir kemudian beri masa sedikit untuk kamu bertenang dan barulah rancang waktu solat dengan baik.
#8 Jaga Pernafasan Dan Bacaan Dalam Solat
Sebelum mendirikan solat, bernafas dengan tenang jaga ritma nafas agar selari dengan bacaan dalam solat. Fokus pada sebutan dan bacaan dalam solat. Jika rasa fikiran ingin melayang, tarik nafas untuk kembalikan fokus dan sambung semula bacaan dalam solat.
- Mulakan dengan niat, niat dan berdoa minta pada Allah S.W.T untuk beri nikmat khusyuk dalam solat.
- Jangan bergerak dalam solat, tertib melakukan semua pergerakan dalam solat. Jangan ada yang menggaru badan, kaki atau tangan semasa solat.
Untuk fokus dan khusyuk dalam solat ini adalah dengan latihan berterusan dan sudah tentunya doa yang sentiasa dititipkan pada yang Maha Pencipta untuk berikan rasa khusyuk pada diri kita semasa dalam solat.
Selamat beramal!
