Rasulullah SAW bersabda: “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya mengenai kepemimpinan, ketua adalah pemimpin, lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, wanita adalah pemimpin dan penjaga rumah tangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya kepemimpinannya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Ironinya, isu integriti pemimpin terus meniti bibir masyarakat yang tidak berpuas hati dengan kemunculan kes rasuah membabitkan pucuk pimpinan negara atau organisasi kerajaan disebabkan ketirisan integriti.
Dalam Islam, terdapat banyak dalil agama mengupas isu amanah, berkata benar, bersifat tulus dan jujur dan tidak menyeleweng.
Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga, jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.”
Sementara itu Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah; ayat 188)
Dibelenggu kebejatan sosial
Sesebuah negara, institusi dan organisasi mendambakan ahli, kakitangan, rakyat dan pemimpin berintegriti, amanah, jujur, bijaksana, matang, berkaliber dan berpuluh-puluh lagi kualiti baik.
Secara umumnya, jika dikemukakan pertanyaan kepada pengundi apakah aspek mereka pilih, jawapannya adalah rencam. Pendek kata ada golongan memilih kualiti diri pemimpin yang mantap karakter, bersih dan bebas rasuah.
Namun, kekecewaan demi kekecewaan menjelma seolah-olah belenggu kebejatan sosial rasuah masih menjerat kehidupan masyarakat.
Hari demi hari berita rasuah disajikan dalam media sosial. Gejala rasuah dalam kalangan pemimpin bukan lagi mimpi. Segelintir individu di pelbagai peringkat bersikap mengetepikan integriti, justeru rasuah seperti dirai. Masalah ini menjadi kudis perlu dirawat rapi sebelum membarah dalam masyarakat madani.
Rasuah amat dikeji dan diperangi Baginda Rasulullah SAW. Kepemimpinan Rasulullah SAW adalah manifestasi wahyu dan perintah daripada Allah SWT.
Justeru, umat Islam perlu mempelajari dan memahami selok-belok ilmu kepemimpinan diamalkan Baginda SAW supaya terjamin kelestarian ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (negara yang baik dan mendapat keampunan Ilahi).
Pemilikan harta secara batil atau penipuan tidak menjanjikan ketenangan dan kesenangan sebenar. Hukumnya juga haram dan tiada keberkatan.
Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabdanya: “Tidak akan memasuki syurga, daging manusia tumbuh daripada sumber haram; api neraka lebih layak baginya.” (HR Ahmad)
Justeru, masyarakat patut sedar dan maklum setiap kategori rasuah digariskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan undang-undang untuk terhindar daripada gejala merosakkan ini.
Beberapa hadis diriwayatkan Abi Daud, Tirmizi dan Ibn Majah antaranya menyatakan Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah.
Di samping itu, Rasulullah SAW dalam hadis lain turut melaknat sesiapa sahaja terbabit dengan rasuah seperti menjadi orang tengah dan seumpamanya.
Isu rasuah akan lenyap apabila pemimpin dan rakyat memperjuangkan integriti serta mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan.
Jika seseorang pemimpin itu benar dalam melaksanakan tugasannya, maka sifat amanah dan jujurnya akan menjamin segala urusannya ditunaikan dengan benar. Apabila berlaku hal demikian semua jabatan atau organisasi akan selamat daripada bencana seperti rasuah.
Integriti tuntut keberanian
Integriti menuntut keberanian dan kecekalan hati serta minda. Lembaran sejarah Islam membuktikan pembentukan karektor Rasulullah SAW yang tinggi integriti ketika menjalankan perniagaan tuannya di Syam.
Kejujuran dan sifat amanah Baginda melayakkan Rasulullah digelar ‘al-Amin’ atau ‘yang benar’ boleh disinonimkan dengan integriti jika dinisbahkan kepada kehidupan dunia hari ini.
Bermakna, Islam menekankan aspek integriti walaupun ia tidak dirujuk integriti, sebaliknya merangkumi semua sifat dimiliki Rasulullah SAW.
Nabi Muhammad SAW memiliki sifat ‘siddiq’ (benar), amanah, ‘tabligh’ (dakwah) dan ‘fatanah’. Integriti merangkumi nilai murni lain, tetapi nilai utamanya adalah amanah.
Satu lagi contoh integriti Rasulullah SAW adalah dalam aspek penghakiman melalui kisah popular dalam masyarakat Islam di mana Baginda bersumpah sekiranya anakandanya Fatimah RA mencuri nescaya Baginda SAW akan memotong tangannya.
Umum mengetahui Fatimah RA anak kesayangan Rasulullah SAW. Maka, ini adalah contoh dan model mesti diikuti umat Nabi Muhammad SAW bagi memastikan kelestarian ajaran Islam sebagai manifestasi kepada iman dan takwa kepada Allah SWT.
Berdasarkan contoh dan teladan peribadi Rasulullah SAW ini, maka parti bakal bertanding wajar menjadikan keperibadian Baginda sebagai rujukan untuk memilih calon pada PRU15 nanti.