
Apakah khasiat coklat kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat coklat, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya
Pengenalan
Siapa sahaja yang tidak gemar akan coklat? Coklat umumnya digemari ramai tanpa mengira peringkat usia dan masyarakat dan makanan ini sering dijadikan sebagai comfort food. Antara jenis coklat yang tidak asing lagi ialah coklat gelap, coklat susu dan coklat putih. Coklat dihasilkan daripada pemprosesan bji koko yang dipetik dari pokok koko atau dikenali sebagai Theobroma cacao.
Biji koko ini bukan sahaja digunakan untuk penghasillan coklat, malah turut digunakan secara meluas di dalam industri seperti penghasilan minuman, gula-gula, produk bakeri dan malah turut digunakan untuk penghasilan produk penjagaan diri.
Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengkaji kebaikan yang terdapat pada coklat. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan coklat terhadap kesihatan.
Setiap 44 g coklat susu mempunyai 235 kcal tenaga, 26 g karbohidrat, 3.4 g protein, 13 g lemak, 34.8 mg natrium, 163.7 mg kalium dan 8.8 mg kafein.
Komponen Berkhasiat Coklat
Coklat merupakan sejenis makanan yang kaya dengan antioksida yang dapat mencegah kerosakkan sel yang diakibatkan oleh radikal bebas.
Selain itu, coklat turut mengandungi kandungan flavonoid seperti epicatechin, catechin and procyanidins yang bersifat anti oksida.
Epicatechin dikatakan dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular kerana ianya akan menghasilkan kesan anti-trombotik pada tubuh badan. Flavonoid yang terkandung di dalam coklat mempunyai pelbagai kebaikan seperti merendahkan paras tekanan darah dan mengekalkan kesihatan salur darah.
10 Khasiat Coklat kepada Kesihatan
Berikut merupakan kebaikan yang ditawarkan coklat terhadap kesihatan.
1. Mengawal tekanan darah
Pernahkah anda mendengar bahawa coklat gelap dapat mengawal tekanan darah? Hal ini kerana kandungan flavanolnya yang tinggi mempunyai sifat anti-hipertensi.
Terdapat kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan coklat gelap ke atas pengawalan tekanan darah peserta dan kajian ini mendapati bahawa pengambilan coklat gelap dapat membantu untuk menurunkan tekanan darah peserta.
2. Mengurangkan risiko diabetes
Apa kaitan antara coklat dan risiko untuk mendapat diabetes? Coklat dikatakan mempunyai komponen yang dapat meningkatkan sensitiviti insulin.
Kajian mendapati bahawa golongan sihat yang mengambil coklat di dalam kuantiti yang sederhana mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit diabetes.
3. Bersifat anti obesiti
Obesiti ataupun berat badan yang berlebihan merupakan salah satu masalah kesihatan yang dapat meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit-penyakit lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Kajian telah menunjukkan bahawa coklat merupakan salah satu makanan yang dapat mencegah obesiti. Satu kajian telah dijalankan terhadap haiwan dan kajian ini mendapati bahawa pengambilan coklat dapat mencegah obesiti yang disebabkan oleh diet tinggi lemak dengan mengurangkan penghasilan asid lemak dan memodulasi metabolisma lemak.

Screen Moment/Stocksy United
4. Meningkatkan fungsi kognitif
Kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan makanan yang kaya dengan sumber flavonoid dan fungsi kognitif. Kajian ini mendapati bahawa pengmbilan makanan seperti coklat yang kaya dengan flavonoid telah meningkatkan fungsi kognitif peserta di dalam kajian.
5. Mengurangkan risiko strok
Strok atau dikenali sebagai angin ahmar merupakan keadaan di mana pesakit mengalami masalah salur darah tersumbat atau pecah di lalu mengakibatkan bekalan oksigen ke otak terganggu.
Hubungan antara pengambilan coklat dan risiko untuk mendapat strok telah dikaji dan ianya didapati bahawa pengambilan coklat di dalam kuantiti yang sederhana dapat mengurangkan risiko untuk mendapat strok.
6. Mengurangkan paras kolesterol di dalam darah
Terdapat dua jenis kolesterol di dalam darah kita iaitu kolesterol baik seperti HDL dan kolesterol tidak baik seperti LDL dan TG. Paras kolesterol tidak baik yang tinggi dapat meningkatkan risiko untuk mendapat masalah jantung dan serangan angin ahmar.
Kajian telah mendapati bahawa pengambilan coklat yang mengandungi sterol tumbuhan dan flavanol dapat mengurangkan paras kolesterol yang tidak baik.
7. Meningkatkan mood
Pasti anda sering mendengar bahawa pengambilan cokat dapat meningkatkan mood dan menjadikan kita lebih gembira. Kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan coklat ke atas mood peserta. Kajian ini mendapati bahawa pengambilan coklat secara dengan menggunakan teknik mindful eating dapat meningkatkan mood positif.
8. Mengurangkan risiko demensia (penyakit nyanyuk)
Demensia ataupun lebih dikenali sebagai penyakit nyanyuk merupakan keadaan di mana pesakit mengalami masalah kehilangan ingatan dan kekeliruan. Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan makanan yang tinggi flavonoid seperti coklat dapat mengurankan risiko untuk mendapat dementia.
9. Mengurangkan risiko pre-eklampsia
Pre-eklampsia adalah salah satu komplikasi kehamilan di mana ibu akan mengalami tekanan darah yang tinggi dan berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan. Kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan coklat dan risiko untuk mendapat pre-eklampsia dan kajian ini mendapati risiko untuk mendapat komplikasi ini berkurang dengan pengambilan coklat melebihi 5 hidangan seminggu semasa 3 bulan pertama kehamilan.
10. Bersifat anti oksida
Antioksidan dapat melindungi sel-sel dari kerosakkan yang disebabkan oleh radikal bebas. Selain dari kandungan flavonoid, coklat turut mengandungi epicatechin dan quercetin yang mempunyai sifat anti kanser.
Konklusinya, pengambilan coklat secara bersederhana mampu untuk memberikan kebaikan kepada kesihatan tubuh badan kita. Pengambilan yang berlebihan sudah pasti akan memudaratkan kesihatan terutamanya bagi mereka yang sudah mempunyai penyakit dan masalah kesihatan. Pemilihan produk coklat yang tepat dan sihat pasti dapat memberikan kebaikan terhadap kesihatan.
Diharapkan artikel khasiat coklat ini dapat memberikan maklumat kepada anda berkenaan kebaikan dan khasiat coklat kepada kesihatan badan.
