وَٱقۡصِدۡ فِی مَشۡیِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلۡأَصۡوَ ٰتِ لَصَوۡتُ ٱلۡحَمِیرِ
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai” [Surah Luqman 19]
#Dalam ayat ini, Allah swt mengajarkan cara berjalan pula. Kalimah وَاقصِد dari ق ص د yang bermaksud sederhana. Maka berjalanlah dengan sederhana, iaitu tidak terlalu lembik ataupun dengan cara berlagak (mendabik dada). Ia tidak berkaitan dengan soal kelajuan.
#Firman Allah swt:
وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati” [Surah al-Furqan 63]
#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a mengatakan:
وَلَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَحْسَنَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَأَنَّ الشَّمْسَ تَجْرِي فِي وَجْهِهِ، وَمَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَسْرَعَ فِي مِشْيَتِهِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَأَنَّمَا الْأَرْضُ تُطْوَى لَهُ إِنَّا لَنُجْهِدُ أَنْفُسَنَا وَإِنَّهُ لَغَيْرُ مُكْتَرِثٍ
“Tidak pernah aku melihat orang yang lebih tampan selain Rasulullah saw. Matahari bersinar di wajahnya. Dan aku tidak pernah melihat orang yang lebih cepat dalam berjalan selain Rasulullah saw seakan-akan bumi dilipat untuk baginda, bahkan kami harus bersungguh-sungguh (jika berjalan bersama baginda) dan baginda tidak pun perlu bersusah-payah untuk itu” (HR at-Tirmizi)
#Daripada Sayidina Ali bin Abi Talib r.a bercerita: “Apabila Rasulullah berjalan, dadanya akan condong ke hadapan, seolah-olah sedang turun di lereng yang curam (bertenaga dan tegap)” (HR at-Tirmizi)
#Suatu hari Khalifah Umar bin al-Khattab r.a melihat seorang pemuda berjalan seperti orang sakit. Lalu, Sayidina Umar pun bertanya kepada lelaki itu: ‘’Apakah engkau sedang sakit?’’ Pemuda itu menjawab: ‘’Tidak.’’ Mendengar jawaban itu, Sayidina Umar mengangkat cambuknya dan memukul pemuda itu. Lalu diperintahkan anak muda itu untuk berjalan dengan tegap.
#Al-Quran juga menerangkan cara berjalan yang mempunyai matlamat, iaitu tidak teragak-agak serta terus menuju ke tempat tujuan dengan mudah dan lancar.
#Ayat diatas juga menyuruh kita menjaga percakapan supaya tidak menyinggung hati orang lain. Tidak salah jika ingin bercakap dengan suara yang lembut ataupun kuat jika situasi memerlukannya, tetapi kita dilarang bercakap buruk. Suara yang buruk (tajam, keras dan kasar) digambarkan seperti suara keldai.
#Adakalanya kita berdepan dengan orang yang suka meninggi-ninggikan suaranya bila berbicara tanpa sebarang maslahat/keperluan. Malah lebih teruk daripada itu yang menjadi kebiasaan mereka untuk menjerit dan memekik sehingga menggangu orang lain.
#Kenapa Allah swt mengumpamakan suara yang keras, buruk, terpekik-pekik seperti suara keldai???
Contohilah Rasulullah saw dalam berjalan dan berbicara. Jangan sesekali berjalan dan berbicara dengan sombong dan angkuh, kelak kamu ditelan bumi dan bakal menjadi tanah. Bersikaplah dengan sifat tawadhuk dan berakhlak mulia