Pada awal tahun lalu, sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS), iaitu Impossible Meat, melancarkan produk daging burger khinzir yang dihasilkan daripada sumber tumbuhan.
Ia gabungan beberapa sumber protein tumbuhan seperti kacang soya, kacang kuda, kacang pea, beras dan lain-lain. Selain, perasa tambahan lain yang bukan daripada sumber haiwan turut digunakan bagi memberikan rasa, warna, tekstur dan bau menyerupai daging burger khinzir sebenar.
Impossible Meat mendakwa mendapat persijilan halal daripada IFANCA, sebuah badan persijilan halal di AS. Namun, IFANCA menyatakan sijil halal hanya diberi kepada produk tidak termasuk produk daging khinzir berasaskan tumbuhan ini.
Selain daging burger khinzir, produk daging burger ayam atau lembu berasaskan tumbuhan turut dihasilkan. Rasa dan tekstur menyerupai daging sebenar hasil perkembangan sains dan teknologi, khususnya dalam bidang penghasilan produk makanan.
Secara umum, Islam membenarkan Muslim memakan semua jenis tumbuhan melainkan ia boleh membawa mudarat berdasarkan kaedah al-asl fi al-ashya’ al-ibahah yang bermaksud ‘hukum asal sesuatu adalah harus’ melainkan ada dalil menjadikannya haram seperti kewujudan mudarat kepada manusia.
Oleh itu, majoriti fatwa mengharuskan makanan ubah suai genetik dengan meletakkan syarat ia tidak mendatangkan mudarat kepada manusia. Namun, hukum ini boleh berubah dengan kewujudan mudarat padanya.
Berbalik daging burger khinzir atau daging lain yang menggunakan sumber tumbuhan sahaja sebagai bahan penghasilannya, berkemungkinan besar tidak timbul isu atau perbincangan mengenai sembelihan kerana ia menggunakan bahan berasaskan tumbuhan 100 peratus.
Keadaan ini berbeza dengan penghasilan daging kultur kerana ia masih berasaskan sel haiwan dan menuntut sembelihan haiwan sebelum sel tunjang diekstrak dan dikulturkan dalam medium sesuai.
Persoalan mungkin dibangkitkan jika ia mahu dipasarkan di negara Islam menggunakan nama ‘daging burger khinzir halal’. Adakah ia boleh digunakan walaupun pengeluar ‘daging’ ini mendakwa semua bahan digunakan bermula dari roti, sos dan ‘daging’ berasaskan 100 peratus tumbuhan?
Dalam Islam, terdapat satu kaedah fiqh menyebutkan al-‘ibrah bi al-musamma, la bi al-asma, iaitu sesuatu hukum bergantung kepada produk, bukan nama.
Justeru, jika nama burger daging khinzir digunakan kerana ia mempunyai rasa dan tekstur seperti burger daging khinzir, tetapi bahan digunakan adalah berasaskan tumbuhan, maka ia mungkin halal berdasarkan kaedah fiqh itu.
Namun, perlu diingat, penggunaan nama juga penting dalam membentuk persepsi sosial masyarakat, khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim. Sebab itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mengeluarkan sijil halal kepada pengeluar arak atau bir yang tiada alkohol, walaupun ia mungkin diproses dengan cara betul dan halal dari awal lagi.
Ia penting bagi memastikan persepsi masyarakat Muslim arak adalah haram. Begitu juga dengan nama hotdog dan rut bir yang ditukar kepada sosej, frankfurter dan sarsaparilla.
Proses pensijilan halal bukan semata-mata bergantung bahan digunakan, sebaliknya banyak lagi syarat lain perlu dipenuhi, termasuk nama produk.
Penukaran nama ini mungkin dilakukan berdasarkan pertimbangan antara maslahah dengan mafsadah dan mendahulukan maslahah ammah (kepentingan umum) berbanding maslahah khassah (kepentingan peribadi).
Aplikasi maslahah ini biasanya mempertimbangkan kepentingan umum bagi mengekalkan ketenteraman awam dan kestabilan masyarakat Muslim.
Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab RA pernah meminta Nasr al-Hajjaj untuk mencukur rambutnya kerana ketampanan beliau yang menyebabkan wanita di Madinah menggilainya. Selepas beliau mencukur rambut, ketampanan beliau semakin terserlah yang akhirnya menyebabkan Saidina Umar RA meminta beliau berpindah ke Basrah.
Perpindahan ke Basrah dapat mengekalkan kestabilan emosi wanita di Madinah ketika itu. Maslahah ammah (kestabilan emosi wanita Madinah) mungkin didahulukan berbanding maslahah khassah (kepentingan peribadi) Nasr al-Hajjaj.
Aplikasi kaedah sadd al-dharai’, iaitu untuk menutup jalan yang boleh membawa kepada mafsadah dan kerosakan lebih besar juga mungkin bersesuaian dalam menilai isu burger daging khinzir berasaskan tumbuhan ini.
Kedua-dua kaedah syarak ini digunakan bagi memastikan masyarakat Muslim faham dan sedar bahawa daging khinzir adalah haram dimakan.
Isu seterusnya mungkin timbul adalah jika syarikat menghasilkan burger daging khinzir berasaskan tumbuhan ini bersetuju menukar nama mereka kepada burger daging sahaja, tetapi rasa, warna, tekstur dan bau adalah sama dengan burger khinzir sebenar.
Adakah produk ini akan menjadi halal? Jika ia halal, adakah mereka akan diberikan pensijilan halal oleh mana-mana badan pensijilan halal di dunia Islam atau Eropah?
Jika ia haram kerana mempunyai rasa dan tekstur seperti daging burger khinzir, siapakah yang akan mengesahkan kesamaan rasa dan tekstur ini? Penilaian terhadap rasa dan tekstur berbeza mengikut manusia
Persoalan ini sangat mencabar dan memerlukan ijtihad fiqh kontemporari yang tuntas daripada ulama, sama ada pada peringkat Malaysia secara khusus atau dunia secara umum.
Perkembangan sains dan teknologi sangat pesat dan ulama Islam perlu berusaha menambah kefahaman mengenai perkembangan sains dan teknologi secara umum bagi memastikan keputusan fatwa dan resolusi hukum diberikan menepati keadaan sebenar, tanpa menafikan keilmuan dan kefahaman ulama terhadap sumber hukum.
Ulama menyebutkan, al-hukm ‘ala shai’ far’ ‘an tasawwurihi bermaksud hukum sesuatu perkara adalah sebahagian daripada gambaran terhadap perkara itu.
Justeru, kefahaman betul atau salah terhadap sesuatu produk atau prosedur ketika proses ijtihad akan memberi kesan kepada ketepatan fatwa dan resolusi hukum diputuskan kelak.
Peningkatan populasi dunia, masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar membawa kepada penciptaan produk daging alternatif.
Ringkasnya, pengguna Muslim dan pihak berkuasa agama perlu mula membincangkan isu ini supaya selari perkembangan industri makanan dan minuman dunia.
Produk ini sudah berada dalam pasaran negara jiran kita di Singapura dan tidak mustahil akan memasuki pasaran Malaysia dan negara Islam lain dalam masa terdekat.
Justeru, fatwa dan resolusi hukum daripada badan fatwa rasmi perlu untuk menyelesaikan persoalan ini.