Masalah mulut berbau atau Halitosis sememangnya boleh menjejaskan keyakinan seseorang untuk bercakap dan bergaul dengan orang ramai.
Namun, ada juga yang tidak sedar mempunyai masalah mulut berbau ini sehingga menyebabkan orang sekeliling tidak selesa.
Mungkin dilihat remeh bagi sesetengah orang namun anda mungkin akan dijauhi oleh rakan-rakan di tempat kerja, kampus atau di sekolah.
Apakah punca nafas atau mulut berbau?
Lazimnya terjadi akibat dari tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut. Halitosis biasanya berlaku pada saat bangun tidur kerana pada waktu itu pH air liur lebih berasid, kurang aktiviti mengunyah dan bercakap menyebabkan persekitaran mulut amat sesuai untuk aktiviti pembiakan bakteria. Bakteria ini merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan juga sulfur (Volatile Sulfur Compounds -VSCs) yang menyebabkan bau kurang enak atau busuk.
Kebanyakkan bakteria ini bersifat anaerob (hidup tanpa oksigen). Oleh sebab itulah kebanyakkan bakteria ini hidup di kawasan yang susah dibersihkan seperti celah-celah gigi, gusi, lidah dan di celah-celah gigi palsu.
Tapi jangan risau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Twitter berkongsi mengenai cara-cara untuk menghindari mulut berbau.
Ikuti senarai di bawah ini.
- Gosok lidah setiap kali memberus gigi
- Flos gigi sehari sekali
- Guna pencuci mulut yang disyorkan oleh doktor gigi
- Bersihkan gigi palsu setiap hari
- Elak mulut kering dengan minum air yang mencukupi
- Kurangkan makanan yang berbau kuat
- Elak rokok dan alkohol
- Lakukan rawatan penskaleran dan tampalan
- Lakukan pemeriksaan gigi di klinik 6 bulan sekali
- Berus gigi 2 kali sehari