Dr Maurice Bucaille, seorang doktor berbangsa Perancis, ketika mengkaji mumia Firaun, telah menemui jawapan kepada persoalan-persoalan yang terlintas di mindanya tentang isi al-Quran. Selama 10 tahun, beliau mengkaji sejauh mana fakta sains terkini pada zamannya sepadan dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran. Beliau ingin menyakinkan dirinya bahawa al-Quran tidak pernah bercanggah dengan satu pun fakta sains. Akhirnya, pada tahun 1976, beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk La Bible, le Coran et la Science : Les Écritures Saintes examinées à la lumière des connaissances modernes. Buku ini begitu hebat sehingga ia diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuklah bahasa Inggeris dengan tajuk The Bible, The Qur’an and Science, The Holy Scriptures Examined In The Light of Modern Knowledge. Karya itu menjadi medium dakwah buat beliau sehingga ke hari ini.
Kini, 46 tahun kemudian, karya ini telah wujud dalam bentuk e-buku. Malah, di YouTube, boleh ditemui video-video ceramah Dr Maurice Bucaille dan video-video orang lain yang membicarakan tentang penemuan beliau. Lebih kurang sebulan lalu iaitu pada 1 Mac 2022, Islamic Knowledge Official telah memuat naik video berdurasi lebih kurang dua minit di YouTube, mengenai embriologi dengan memetik karya Dr. Maurice Bucaille di atas. Dengan menggunakan visual daripada scanner 3D, video ini memaparkan tahap demi tahap perkembangan janin di dalam rahim seorang ibu seperti yang difirmankan Allah SWT dalam Surah al-Mukminun (23), ayat 13–15. Video ini boleh ditonton di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=zxAuSXC87VI
Begitulah perkembangan cara berdakwah. Teknologi boleh meluaskan capaian dakwah jika kita tahu memanfaatkannya. Dakwah bermula secara bersemuka; kemudian disebarkan dari mulut ke mulut; diikuti dengan dakwah melalui penulisan dan disebarkan melalui kitab-kitab dan buku-buku; kemudian dakwah melalui ceramah yang diikuti oleh ratusan peserta; seterusnya ceramah-ceramah seperti ini dirakam dan diedarkan melalui pita-pita kaset; kemudian ceramah-ceramah dirakam dalam bentuk video VHS dan pita-pita video ini dijual kepada ahli masyarakat yang berminat.
Bila siaran TV dan radio bertambah, semakin banyak rancangan berunsur Islam disiarkan, baik dalam bentuk ceramah, soal jawab, forum, mahupun drama-drama berunsur Islam.
Di era ICT lebih kurang 25 tahun dulu, kita menyaksikan rakaman-rakaman ceramah tadi disebar dalam talian dan sampai ke alamat e-mel kita. Kita tidak perlu lagi membeli pita kaset atau pita video untuk mendengar sesuatu ceramah, tetapi kita boleh menonton rakaman itu melalui klip-klip video yang dihantar ke e-mel kita.
Kini di era digital, hampir semua remaja dan orang dewasa memiliki akaun media sosial sendiri. Sehubungan itu, kita bukan sahaja boleh mengikuti ceramah-ceramah ini secara langsung, malah kita juga boleh menjadi pencipta kandungan ceramah dakwah itu sendiri, yakni kitalah pendakwahnya.
Hakikatnya, setiap kali kita mengemaskini status melalui media sosial, baik dengan tulisan, atau gambar, mahupun video, kita sebenarnya memainkan peranan sebagai seorang pencipta kandungan digital. Cumanya, pencipta kandungan digital ini ada pelbagai tahap, dari tahap amatur, hinggalah ke tahap professional (yang terlatih dan “mencari makan” dalam bidang ini). Persoalannya ialah, apakah kita mahu menjadi pencipta kandungan digital berunsur Islam, yang melayakkan kita menjadi da’ei digital ataupun tidak?
Membuat dan memuat naik sesuatu kandungan digital itu mudah. Hanya dengan mengambil video semua juadah berbuka yang terhidang di atas meja dan memuat naik video tersebut ke media sosial, maka terhasil satu kandungan digital. Namun, untuk menyediakan satu kandungan digital Islami bagi tujuan dakwah mungkin tidak semudah itu. Walau bagaimapun, jika kandungan digital Islami ini terhasil dan berjaya mengajak ahli masyarakat untuk membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, ganjaran pahalanya amatlah besar untuk menjadi bekalan kita di akhirat kelak.
Pelbagai perkara boleh dijadikan bahan untuk kandungan digital Islami itu dan pelbagai pendekatan boleh digunakan. Sebagai contoh, boleh sahaja mengajar membaca al-Quran secara langsung, memberi ceramah atau mengusahakan karya kreatif melalui pembikinan video pendek dan video animasi. Ini mungkin memerlukan gabungan usaha dan kepakaran satu pasukan yang mantap sebelum satu kandungan digital yang baik itu dapat dihasilkan.
Era digital memerlukan da’ei digital. Da’ie digital bukan terhad kepada pakar rujuknya sahaja iaitu para ustaz dan ustazah. Namun, ia merangkumi keseluruhan tenaga kerja produksi yang memastikan terhasilnya satu kandungan digital sehingga dapat meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat, baik dalam bentuk e-buku, rancangan TV, radio, saluran peribadi mahupun video atau video animasi 2D dan 3D. Inilah medium dakwah masa kini. Inilah medan kita untuk berdakwah secara berhikmah. Inilah juga medan untuk kita menyampaikan ajaran Rasulullah SAW walaupun dengan sepotong ayat.