≡ Menu

Dalam Keadaan Negara Yang Menghadapi Endemik, Ingatlah Kesusahan Kita Semasa Zaman Pandemik Dahulu.

 

Syukur ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan banyak nikmat-Nya kepada sekalian manusia. Mungkin ada dalam kalangan manusia tidak sedar bahawa dirinya sedang menikmati kurniaan Allah yang mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupan. Perasaan gembira menikmati kurniaan Allah akan lebih dirasai tatkala pernah kehilangan nikmat tersebut sebelum ini.

Antara nikmat yang sedang dirasai sekarang ini apabila kerajaan memberi kebenaran kepada orang ramai untuk melakukan rentas negeri mulai 11 Oktober 2021. Setelah sekian lama semua orang dikehendaki membataskan pergerakan masing-masing, kini kebenaran diberikan untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Cuba bayangkan satu hal yang tidak pernah dijangka sebelum ini apabila semua orang terpaksa berhari raya tanpa pulang ke kampung. Masing-masing tidak berkesempatan menziarahi kedua-dua orang tua di kampung kerana bahaya wabak Covid-19. Aturan kehidupan dengan norma baharu merubah rutin kehidupan setiap orang dan semuanya perlu diterima dengan penuh sabar.

Inilah antara satu bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah tatkala masing-masing berpeluang pulang ke kampung untuk bertemu orang tua dan ahli keluarga terdekat. Nikmat ini wajib disyukuri kerana semuanya adalah kurniaan daripada Allah yang berkuasa menentukan segalanya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Bagaimanapun, tatkala menikmati peluang melakukan rentas negeri, setiap orang bertanggungjawab untuk memastikan diri sentiasa mematuhi prosedur operasi  standard  (SOP) yang ditetapkan. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana hakikatnya kita masih belum betul-betul menang melawan Covid-19. Masih ada insan yang didapati positif Covid-19 dan masih ada yang kehilangan nyawa disebabkan wabak ini.

Kenanglah masa susah ketika dikenakan pelbagai sekatan dan peraturan bagi mengekang penularan Covid-19. Jika setiap orang tetap mengingati sukarnya ketika berdepan wabak ini, pasti masing-masing akan lebih berhati-hati dalam melakukan setiap tindakan.

Nikmat yang sedang dikecapi ketika ini boleh hilang sekali lagi sekiranya masing-masing tidak mengambil iktibar terhadap perkara yang berlaku sebelum ini. Meskipun kita semua merasai keperitan pelbagai ujian ketika berdepan dengan Covid-19, boleh jadi tidak ramai yang menyedari perlunya mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT ketika berada pada waktu sekarang.

Allah menjelaskan perihal bilangan orang yang mesyukuri nikmat kurniaan-Nya adalah sedikit. Ini bermaksud ramai orang yang lupa untuk mensyukuri nikmat dengan melupakan-Nya. Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “… Dan sememangnya sedikit sekali di antara kalangan hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, ayat 13)

BACA:  Cengkih, Ramai Yang Tak Suka. Tapi Ini 18 Kegunaan Cengkih Yang Kita Perlu Tahu

Manusia lupa untuk mensyukuri nikmat Allah kerana mereka tidak sedar tentang perkara yang dilaluinya semasa berada dalam kesusahan. Padahal ketika manusia berdepan dengan kesukaran, mereka akan berdoa memohon pertolongan daripada Allah tanpa putus asa.

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah dia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) daripada jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu yang sementara, sesungguhnya engkau daripada penduduk neraka.” (Surah az-Zumar, ayat 8)

Inti pati daripada ayat tersebut jelas menunjukkan tabiat kebanyakan manusia yang hanya mengingati Allah ketika berada dalam kesusahan. Manusia yang gagal mengingati Allah ketika berada dalam kesenangan adalah golongan yang tidak mensyukuri kurniaan-Nya kerana dengan mudah melupakan keadaannya ketika susah dahulu.

Jika setiap orang sentiasa mengingati kesusahan yang pernah dialaminya, nescaya diri akan berasa malu untuk melupakan Allah. Selain itu, sepatutnya dengan mengingati keadaan susah, setiap orang tidak akan mensia-siakan nikmat yang dirasai pada ketika ini.

Usahlah melakukan perkara yang boleh menyebabkan diri berdepan risiko dijangkiti Covid-19. Perbuatan sesetengah pihak yang mengabaikan SOP kerana terlalu seronok berjumpa orang ramai hanya akan menjerumuskan diri ke lembah bahaya. Ingatlah bahawa kelonggaran yang diberikan sekarang perlu diurus dengan tertib agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Jangan disebabkan keghairahan pulang ke kampung atau bercuti makan angin atau berkumpul di tempat awam menyebabkan kita mengabaikan SOP yang masih berkuat kuasa demi menjaga tahap kesihatan orang ramai.

Hayatilah saranan Rasulullah tentang pandangan melihat nikmat kurniaan Allah agar diri lebih bersyukur: “Lihatlah orang yang berada di bawah kalian dan janganlah melihat orang yang di atas kalian kerana yang demikian itu lebih layak bagi kalian untuk tidak memandang rendah terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepada kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

BACA:  Bersedeqahlah! Usah Ragu Dengan Janji AllahKepada Mereka Yang Bersedekah
Koronavirus: KKM sahkan kes pertama warganegara Malaysia

Sesungguhnya ketika kita berada dalam kesusahan, ia adalah satu bentuk ujian untuk menilai keimanan dalam diri. Begitu juga ketika sedang menikmati kesenangan hidup, ia juga satu bentuk ujian yang sepatutnya menjadikan diri lebih dekat dengan Allah.

Sungguh benar ungkapan yang diucapkan oleh Nabi Sulaiman  tatkala mendapat nikmat dan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: “…Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.”  (Surah an-Naml, ayat 40)

Orang yang mensyukuri nikmat Allah tidak akan sekali-kali melupakan-Nya. Orang yang mensyukuri nikmat Allah juga tidak akan sekali-kali melakukan perkara yang boleh menyebabkan dirinya lupa kesusahan yang pernah dialaminya. Jika setiap orang sedar bahawa Allah berkuasa untuk memberi dan menarik setiap nikmat kurniaan-Nya, pasti diri tidak akan sesekali melakukan perkara yang dikira mensia-siakan nikmat Allah.

Dalam keadaan semua orang sedang menikmati kebenaran merentas negeri dan beberapa kelonggaran lain, marilah sama-sama kita mengingatkan diri bahawa semua yang berlaku adalah atas ketentuan daripada Allah.

Tidak ada cara lain untuk mengekalkan nikmat sekarang malah untuk memperoleh nikmat tambahan melainkan kita sentiasa mengingati-Nya, nescaya Dia akan mengingati kita. Selain itu, hanya dengan mensyukuri nikmat-Nya maka Dia akan menambah lagi kurniaan-Nya kerana sesungguhnya Dialah yang mengurniakan balasan baik bagi orang yang bersyukur.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “…dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran, ayat 145)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.