Setahun sudah berlalu sejak pandemik Covid-19 mula melanda dunia. Sehingga suku tahun pertama 2021, lebih 165 juta penduduk dunia dijangkiti Covid-19 dengan kematian yang direkodkan melebihi angka 3.4 juta orang. Di Malaysia sendiri, jumlah kes Covid-19 secara kumulatif melebihi 485,000 kes dan jumlah kematian pula menjangkau lebih 2,000 orang. Senario pandemik yang dikategorikan sebagai salah satu yang terburuk di abad ini menyebabkan syarikat farmaseutikal dunia mula menjalankan kajian klinikal dalam penghasilan vaksin bagi mengekang penularan virus Covid-19 ini. Kebanyakan negara di dunia juga mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dan memulakan program vaksinasi kepada rakyat mereka.
Malaysia tidak terkecuali daripada melaksanakan usaha mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 bagi rakyat. Inisiatif dan langkah proaktif kerajaan dapat dilihat dengan menandatangani perjanjian pembelian vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal pengeluar vaksin yang telah melepasi tahap fasa ketiga ujian klinikal seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, Cansino dan Sputnik V. Bekalan vaksin kumpulan pertama telah tiba di Malaysia pada 21 Februari 2021 dan diagihkan ke pusat fasiliti vaksinasi terpilih seluruh negara. Melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah dimulakan sejak 24 Februari 2021, kerajaan begitu komited memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di Malaysia menerima vaksinasi Covid-19 menerusi tiga fasa peringkat pemberian vaksinasi bagi menjana imuniti kelompok.
Bagi memastikan kejayaan usaha kerajaan, pakar-pakar perubatan dan agamawan sentiasa berganding bahu dalam menyampaikan informasi yang tepat kepada masyarakat mengenai vaksin Covid-19. Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, persepakatan mengenai pandangan hukum vaksin Covid-19 dicapai berdasarkan penerangan tuntas serta terperinci oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Segala persoalan yang ditimbulkan oleh ahli-ahli muzakarah berkenaan vaksin Covid-19 seperti bahan yang terkandung dalam vaksin, isu keselamatan dan kesan sampingan pengambilan vaksin dapat dirungkai dan diperjelaskan dengan fakta serta hasil kajian oleh pihak KKM. Penentuan pandangan hukum ini juga diperkukuhkan lagi dengan perbincangan yang diperhalusi daripada aspek syarak oleh mufti dan ahli-ahli muzakarah yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Setelah penelitian dan pertimbangan dibuat dengan seadil-adilnya, maka ahli muzakarah bersepakat serta bersetuju mengeluarkan pandangan iaitu hukum pengambilan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
Asas pertimbangan kepada pengeluaran pandangan hukum mengenai pengambilan vaksin Covid-19 adalah berdasarkan beberapa kaedah dalam Islam iaitu sebagai memenuhi prinsip maqasid al-syariah yang menekankan hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa). Umat Islam disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang menyebabkan nyawa berada di dalam kebinasaan.
Dalam situasi di mana penularan virus Covid-19 berlaku begitu pantas sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa manusia dalam jumlah yang besar, penggunaan vaksin Covid-19 adalah satu keperluan dan kaedah bagi melindungi diri daripada dijangkiti.
Selain daripada itu, beberapa kaedah usul al-fiqh boleh diguna pakai iaitu La dharar wa la dirar yang bermaksud tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan. Melalui kaedah ini dapat difahami bahawa perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin itu dianggap suatu kesalahan di sisi syarak iaitu memberikan mudarat kepada dirinya dan manusia lain. Kaedah lain yang diguna pakai juga ialah prinsip Al-Darar Yuzal (kemudaratan hendaklah dihilangkan) dan kaedah Sadd al-Zara’i’ (menutup ruang kemudaratan). Ini bermaksud sekiranya sesuatu kemudaratan dijangkakan boleh berlaku, maka langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan pemeliharaan nyawa dan kesihatan individu serta masyarakat umum dapat dijamin. Hal ini boleh diumpamakan sekiranya seseorang tidak mengambil vaksin Covid-19, maka ia boleh mengakibatkan nyawanya berada dalam risiko dan boleh terdedah kepada jangkitan virus dengan mudah.
Ketetapan pengambilan vaksin Covid-19 oleh Kerajaan Malaysia dalam usaha mengekang penyebaran wabak Covid-19 merupakan satu usaha murni yang harus disokong oleh semua pihak. Ini selaras dengan kewajipan mentaati perintah Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (pemimpin) daripada kalangan kamu”.
Oleh itu, sekiranya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan suatu kemakrufan, kebaikan serta mendatangkan maslahah kepada rakyat dan bukan perkara maksiat maka arahan tersebut wajib untuk dipatuhi. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur tasharruful imam ‘ala -ro’iyyah manuthun bil mashlahah yang bermaksud: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”
Kehadiran vaksin Covid-19 di Malaysia bagaikan sinar harapan baharu bagi kita semua sebagai salah satu ikhtiar dan langkah pencegahan dalam mengekang penularan virus Covid-19. Pengambilan vaksin perlu dilaksanakan demi memenuhi tanggungjawab mentaati pihak pemerintah yang sedaya upaya berusaha menjamin kesejahteraan rakyat. Walaupun kita telah mendapatkan vaksinasi Covid-19 selepas ini, pematuhan kepada SOP yang ditetapkan kerajaan masih perlu dipatuhi. Kerjasama yang berterusan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan kita semua dapat meneruskan kehidupan seperti biasa sebagaimana keadaan sebelum munculnya pandemik Covid-19 ini.