یَوۡمَىِٕذࣲ تُعۡرَضُونَ لَا تَخۡفَىٰ مِنكُمۡ خَافِیَةࣱ
“Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi” [Surah al-Haqqah 18]
Ayat ini berkisar mengenai hisab atau perhitungan amal di hari akhirat kelak. Segalanya akan disiasat, dihitung dan diteliti mengenai apa yang telah dikerjakan didunia dahulu. Tiada yang disorok dan disembunyikan. Semuanya terbongkar tanpa terlindung.
Terdapat dua jenis hisab di mahsyar kelak:
1. Hisab ‘ardh. Hisab ini khusus untuk orang beriman. Ia akan ditanya tentang amalnya, ilmunya, nikmat Allah yang telah kurniakan kepadanya. Ia akan menjawab dengan yakin, akhirnya nikmat kebaikan ini berterusan untuknya. Jika dinampakkan dosa-dosanya, ia mengakuinya dan Allah akan menutupi serta memaafkan kesalahannya. Hisab pertama ini tidak dihitung secara terperinci (munaqasyah). Golongan ini akan mengambil kitab amalannya dengan tangan kanannya. Ia akan kembali kepada keluarganya dalam keadaan gembir kerana selamat dari seksa dan diberikan ganjaran dengan pahala.
2. Hisab Munaqasyah. Hisab ini dikenakan pada orang kafir dan ahli maksiat dari kalangan orang yang bertauhid. Mereka akan di hisab dengan lama dan akan berat tergantung pada banyaknya dosanya. Jika ia ahli maksiat dari kalangan ahli tauhid, maka Allah akan memasukkanya ke dalam neraka sampai waktu tertentu kemudian keluar, lalu akan masuk ke dalam syurga selamanya. Jika ia kafir maka kekal selamanya dalam azab neraka tanpa kesudahan. Hisab jenis ini akan dialami oleh orang kafir, munafik dan pelaku kemaksiatan (semoga Allah melindungi kita), di mana mereka akan dihisab secara teliti/terperinci atas kenikmatan yang diperolehi semasa di dunia, selain itu terjadi soal jawab dan bantah membantah sehingga Allah datangkan saksi untuk membatalkan alasan mereka, lalu dihumban ke dalam neraka.
Sabda Rasulullah saw:
مَنْ حُوسِبَ عُذِّبَ قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ أَوَلَيْسَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا قَالَتْ فَقَالَ إِنَّمَا ذَلِكِ الْعَرْضُ وَلَكِنْ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ يَهْلِكْ
“Barangsiapa yang dihisab, maka ia terseksa”. Sayidatina Aisyah bertanya: “Bukankah Allah telah berfirman “maka ia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (Surah al-Insyiqaq 8)”. Maka Rasulullah saw menjawab, “Itu baru al-‘aradh (hisab dinampakkan amal). Namun barangsiapa yang diteliti hisabnya (hisab munaqasyah), maka ia akan binasa” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Jom berdoa dengan doa ini:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِىَّ يَقُولُ فِى بَعْضِ صَلاَتِهِ *اللَّهُمَّ حَاسِبْنِى حِسَاباً يَسِيرًا*. فَلَمَّا انْصَرَفَ قُلْتُ يَا نَبِىَّ اللَّهِ مَا الْحِسَابُ الْيَسِيرُ قَالَ: أَنْ يَنْظُرَ فِى كِتَابِهِ فَيَتَجَاوَزَ عَنْهُ إِنَّهُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ يَوْمَئِذٍ يَا عَائِشَةُ هَلَكَ وَكُلُّ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ عَنْهُ حَتَّى الشَّوْكَةُ تَشُوكُهُ
Daripada Sayidatina Aisyah r.ha, ia berkata, saya telah mendengar Nabi saw pada sebahagian solatnya membaca doa:
*“Allahumma haasibnii hisaabay yasiiroo*
(Ya Allah hisablah aku dengan hisab yang mudah).”
Ketika baginda saw berpaling saya bekata: “Wahai Nabi Allah, apa yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah?” Baginda bersabda: “Seseorang yang Allah melihat kitabnya lalu memaafkannya. Kerana orang yang diperdebatkan (diperincikan) hisabnya pada hari itu, pasti celaka wahai Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman Allah akan menghapus (dosanya) kerananya, walaupun hanya duri yang menusuknya”
Saat ngeri dan menggerunkan ialah saat dihisab segala amal perbuatan kita. Jika banyak amal baik maka selamat, jika sebaliknya maka tenggelam dalam azab neraka. Berdoalah agar Allah mempermudahkan hisab kita, InsyaAllah, Aamiiin