Ayuh ketahui doa-doa Nabi Ibrahim yang wajar dijadikan amalan kita bersama.
Nabi Ibrahim a.s merupakan salah seorang nabi dalam golongan Ulul’ Azmi. Baginda merupakan utusan terpenting yang membawa ajaran benar kepada kaum Yahudi dan Nasrani. Kisah Baginda yang terselamat daripada dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud, serta pengorbannya yang sanggup menyembelihkan anaknya Ismail atas perintah Allah SWT telah membuktikan ketaatan Baginda. Bahkan dengan keimanannya itu Baginda diberi gelaran Khalil Ullah iaitu ‘Sahabat Allah’
Malah, daripada Bagindalah menyusur keturunannya kepada Nabi Muhammad SAW, sehinggakan dalam selawat ke atas Rasulullah SAW pun terdapat nama Baginda.
Disebutkan, terdapat sebuah hadis tentang pertanyaan para sahabat, bagaimanakah cara berselawat kepadamu? Rasulullah SAW pun menjawab, “Bacalah:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. (Ya Allah), berkahilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya, Engkau Maha Terpuji dan Maha mulia.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Doa-doa Nabi Ibrahim a.s yang Boleh Dijadikan Amalan
Terdapat banyak doa yang dikirimkan oleh Baginda Nabi Ibrahim a.s kepada Allah SWT, malah doa-doa tersebut sangat sesuai diamalkan oleh kita pula dalam membuat permintaan terhadap Allah SWT. Antara doa-doa tersebut ialah:
#1. Doa Agar Dianugerahkan Kemuliaan oleh Allah SWT di Hari Akhirat
“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh, dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian, dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang memusakai syurga yang penuh kenikmatan, dan ampunilah bapaku,kerana sesungguhnya ia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat, dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan.”
(asy-Syu’ara’: 83-87)
#2. Doa Memohon Dijauhkan Dari Menjadi Fitnah Bagi Orang Kafir
“Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(al-Mumtahanah:4-5)
#3. Doa Memohon Dikurniakan Zuriat Yang Soleh
“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”
(ash-Shaaffaat: 100)
#4. Doa Agar Dijauhkan daripada Berpaling kepada Allah
“Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.”
(Ibrahim: 35)
#5. Doa Memohon Keampunan
“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat)”
(Ibrahim: 36)
#6. Doa Memohon Dibukakan Pintu Hati dan Rezeki
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
(Ibrahim:37)
#7. Doa Agar Dikurniakan Keturunan yang Mendirikan Solat
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Ibrahim: 40)
#8. Doa Memohon Ampun Untuk Diri dan Kedua Orang Tua
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
(Ibrahim: 41)