≡ Menu

Doa Ketika Mencapai Umur 40 Tahun. Adakah Yang Dianjurkan Dalam Islam?

Soalan:

Saya pernah terbaca bahawa apabila kita memasuki umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca suatu doa yang diajar oleh al-Quran melalui Surah al-Ahqaf ayat 15 yang berbunyi:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

 

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Adakah hal ini benar? Adakah doa ini disunatkan untuk dibaca setelah umur kita genap 40 tahun dan adakah ia diamalkan oleh salafussoleh?

Ringkasan Jawapan:

Berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut, sebagai tanda syukur, insaf dan pengharapan. Namun tidak semestinya seseorang perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.

Huraian Jawapan:

Doa yang dimaksudkan itu merupakan potongan daripada firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

BACA:  10 Tipu Daya Iblis Ketika Bertanya Soalan

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,  dia berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu)”.

Surah al-Ahqaf (15)

Menurut Imam Ibn Kathir, pada asalnya ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 40 tahun untuk memperbaharui taubat kepada Allah SWT.[1] Sebahagian ulama lain pula menyebut bahawa ayat ini dianjurkan untuk dibaca sebagai doa tatkala umur mencapai 40 tahun, dan amalan ini ada diriwayatkan daripada golongan salaf. Imam al-Razi menyebut:

وَيُرْوَى أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ لَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ إِلَى تَمَامِ الدُّعَاءِ

Maksudnya: Diriwayatkan bahawa tatkala Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mencapai umur 40 tahun, beliau berdoa: “اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ” hingga ke akhir ayat.[2]

Imam al-Syaukani pula berkata:

وَفِي هَذِهِ الْآيَةِ دَلِيلٌ عَلَى ‌أَنَّهُ ‌يَنْبَغِي ‌لِمَنْ ‌بَلَغَ ‌عُمْرُهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً أَنْ يَسْتَكْثِرَ مِنْ هَذِهِ الدَّعَوَاتِ

Maksudnya: Ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang yang mencapai umur 40 tahun mestilah memperbanyakkan membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf) ini.[3]

Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula menambah:

على الإنسان أن يشكر نعمة الله عليه إذا بلغ أربعين سنة، وهي مرحلة كمال العقل والبنية، وأن يطلب من الله تعالى توفيقه للعمل الصالح الذي يرضيه، وأن يجعل الصلاح ساريا في ذريته، راسخا متمكنا فيهم

Maksudnya: Apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun yang merupakan marhalah kesempurnaan akal dan fizikal, dia mestilah mensyukuri nikmat Allah ke atasnya, dan memohon taufik daripada-Nya untuk melakukan amal soleh yang diredai-Nya, serta mengurniakan pula kebaikan yang terpasak kukuh pada anak dan zuriatnya.[4]

Kesimpulannya, berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut. Namun tidak semestinya kita perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

[1] Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir

هذا فيه إرشاد لمن بلغ الأربعين أن يجدد التوبة والإنابة إلى الله عز وجل ويعزم عليها.

[2] Mafatih al-Ghaib oleh Fakhruddin alRazi (1420H) Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Cetakan Ketiga, 28/18

[3] Fath al-Qadir oleh Muhammad bin Ali al-Syaukani (1414H) Beirut: Dar Ibn Kathir dan Damsyik: Dar al-Kalim al-Tayyib, Cetakan Pertama, 5/22

[4] Al-Tafsir al-Munir oleh Wahbah al-Zuhaily (1991) Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir dan Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 26/38

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.