Dalam menelusuri sirah para rasul, kita melihat begitu banyak ujian yang Allah timpakan kepada mereka. Ada yang terperangkap di dalam perut ikan, ada yang dilanda banjir besar, ada yang berhadapan dengan kaum yang melawan fitrah dan pelbagai lagi.
Pendek kata, setiap dari mereka mempunyai ujian dan kisah yang tersendiri. Namun, itu semua tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita, umat hari ini mengambil iktibar dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Semua orang dilanda ujian. Besar atau kecil ujian itu adalah bergantung kepada pemikiran kita. Jika selama ini kita sudah biasa hidup susah, mungkin ujian yang dilalui hari-hari pasti dilihat kecil.
Jika kita sudah terbiasa dengan kais pagi makan pagi, mungkin apabila mendapat rezeki yang lebih sedikit, kita sudah boleh belajar untuk bersyukur.
Ujian yang diberi adalah untuk mematangkan kita semua. Menjadi manusia yang kuat dan tabah itu bukan pilihan tetapi keperluan.
Walau banyak mana badai dan ujian yang melanda, kita tidak boleh pilih untuk reset hidup ini. Jika ada butang untuk memulakan kembali kehidupan, pastinya ramai dari kita yang memilih untuk menekan butang tersebut tatkala menghadapi tekanan.
Tetapi apa yang boleh dilakukan ialah terus menghadapinya walau kita lemau, penat dan merasakan bahawa dunia ini sudah tidak berpihak kepada diri kita lagi.
Mungkin kita sering tertanya – “mengapa ujian ini selalu datang pada aku” atau “adakah tuhan tak sayangkan aku lagi” dan berbagai lagi persoalan yang muncul di benak minda apabila kita sudah hampir berputus asa dengan ujian itu.
Namun, percayalah ujian itu bukan bermaksud Allah tidak sayang pada anda. Kalau itulah maksud ujian yang sebenar, jadi pastinya tuhan juga tidak sayang pada para nabi sekalian.
Jadi, yang paling penting ialah setiap hari tetapkan minda anda untuk menjadi lebih kuat dan belajar daripada setiap ujian yang ada.
Kalau kita lihat kisah Nabi Musa AS yang tinggal bersama dengan firaun; walaupun hidupnya tinggal di dalam istana mewah dan dijaga oleh ibu angkat yang baik, iaitu Asiah namun tekanan yang dialaminya itu ada kala membuatkan dirinya lemah.
Firaun yang menganggap dirinya tuhan, tidak beriman kepada Allah dan selalu mencuba mematahkan semangat Nabi Musa untuk berdakwah.
Namun, apa yang Nabi Musa lakukan untuk melalui harinya? Pastinya dengan berdoa. Ada sebuah doa yang Nabi Musa sering amalkan, iaitu;
فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksud: “Maka (Nabi Musa pun berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (Surah Al-Qasas, 28:24)
Dalam berdoa sebenarnya kita akan berjumpa kekuatan. Kerana pada waktu itu kita sedang meminta kepada yang Maha Kuasa agar diberi kekuatan hidup.
Justeru, apabila merasa lemah atau merasa tidak cukup dengan sesuatu, berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan urusan dan dilapangkan rezeki.
Wallahu a’alam.