≡ Menu

Doa Yang Sering Dilazimi Rasulullah. Sangat Mudah

MANUSIA dan doa berpisah tiada. Masakan tidak, itulah sememangnya yang selayaknya dilakukan oleh seorang hamba kepada Penciptanya.

Dengan berdoalah kita menjadi dekat dengan ALLAH SWT. Tidak kiralah sama ada ketika diri dihimpit bebanan, kesukaran atau diulit kesenangan atau kebahagiaan.

Doa juga dikategorikan sebagai sejenis ibadah juga sebagaimana kita melakukan ibadah yang lain seperti solat, berpuasa dan seumpamanya.

Ia menunjukkan betapa kita sebagai makhluk begitu bergantung harap kepada ALLAH SWT yang telah menciptakan semua makhluk di langit dan di bumi.

Orang yang malas berdoa, mereka ialah orang yang sombong di sisi ALLAH kerana merasakan dirinya tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk berjaya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Hakikatnya, semua kejayaan dan apa jenis kemanisan nikmat yang dikecapi itu datangnya daripada ALLAH SWT. Tanpa-NYA, mustahil untuk kita berolehnya.

Lazimnya, kita akan meminta perkara yang baik-baik daripada ALLAH SWT ketika berdoa. Tidak kiralah untuk kebaikan diri, keluarga, negara mahupun agama sama ada di dunia atau di akhirat.

Namun begitu, bagi Nabi Muhammad SAW yang sememangnya maksum dan dijamin masuk ke syurga, apakah doa yang sering kali dibacakan oleh baginda? Doa apakah yang paling banyak dibacakan oleh Rasulullah SAW?

BACA:  Beruntunglah Jika Kita Merasakan Rindu Untuk Melakukan Ibadat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA, beliau berkata: “Doa Nabi Muhammad SAW yang paling sering diucapkan adalah ‘Allahumma rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina ‘azaban nar’ (Ya ALLAH, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada seksa api neraka).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sementara itu, Imam Muslim pula dalam riwayatnya berkata: “Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”

 

Satu lagi doa yang kerap kali dibacakan oleh Rasulullah SAW ada disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Syahr bin Hausyab.

Katanya: “Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila baginda SAW di sisi engkau?”

Beliau menjawab: “Doa baginda SAW yang paling banyak adalah ‘Ya muqallibal qulubi tsabbit qalbi ‘ala dinika’ (Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-MU).”

BACA:  Sebab Inilah Mak-mak Kena Elak Guna Periuk, Kuali Non Stick

Ummu Salamah berkata: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW! Betapa sering engkau berdoa ‘Ya muqallibal qulubi tsabbit qalbi ‘ala dinika’.

Lalu, baginda SAW menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan ALLAH. Barang siapa yang ALLAH kehendaki, maka DIA akan meluruskannya dan barang siapa yang ALLAH kehendaki, maka DIA akan membelokkannya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Doa

Demikian merupakan doa-doa yang sering kali dilafazkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, apabila kita berdoa selitkanlah doa berkenaan agar diberi perlindungan oleh ALLAH SWT, di samping mengikut sunah baginda SAW.

Apa-apapun, kita masih lagi boleh membaca doa-doa lain. Tidak hanya terbatas kepada doa-doa berkenaan.

Namun begitu, kita digalakkan untuk mengamalkan segala doa yang ma’thur sebagaimana yang ada dalam al-Quran dan hadis.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.