≡ Menu

Doakanlah Pertolongan Allah Untuk Umat Islam Di Palestin

Ketika makalah ini ditulis, serangan ganas Zionis Israel terhadap umat Islam di bumi Gaza, Palestin masih lagi berterusan dan telah melebihi sebulan dengan angka mereka yang terkorban dan syahid di Gaza melebihi 10,000 orang. Kadang kala kita tertanya-tanya kenapakah Allah SWT membiarkan kezaliman sebegitu rupa dilakukan terhadap umat Islam?

Perasaan yang sama pernah dirasai oleh para sahabat Baginda SAW ketika berlaku peperangan. Ketika ayat al-Quran surah al-Baqarah, ayat 214 diturunkan, dikatakan pada ketika itu berlaku Perang Khandak dan umat Islam diuji dengan ketakutan, kesempitan dan kepanasan. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Adakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cobaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah akan  datang pertolongan Allah?

Allah telah menegaskan bahawa Dia pasti akan menguji hamba-hamba-Nya dengan kesenangan dan kesengsaraan, sebagaimana yang pernah Dia lakukan terhadap orang-orang yang sebelum kita, kerana itu adalah sunnah-Nya dalam kehidupan duniawi ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menegakkan agama Allah, dia pasti akan diuji oleh Allah SWT. Lagi tinggi keimanan seseorang itu, lagi besar ujian yang ditimpakan kepadanya.

Daripada Mus‘ab bin Saad daripada ayahnya Sa’d bin Abu Waqas, beliau berkata, saya bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat ujiannya?” Nabi SAW menjawab: “Para nabi, kemudian mereka yang selanjutnya (iaitu lebih utama) dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat, maka cubaannya pun akan semakin berat. Jika keimanannya lemah, maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya. Tidaklah cubaan ini akan diangkat daripada seorang hamba hingga Allah membiarkan mereka berjalan di muka bumi dengan tanpa dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sunnah diuji ini berlaku sejak berzaman lagi bukan untuk umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Al-Quran dalam surah al-Buruj ayat 4–8 menceritakan bahawa kezaliman oleh golongan Ashabul Ukhdud yang menggali parit api untuk menyeksa orang beriman kerana mempertahankan akidah mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Celakalah kaum yang menggali parit, api yang penuh dengan bahan  bakaran, (Sungguh mereka dilaknat) ketika mereka duduk mengelilinginya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

Nabi Musa AS juga pernah hendak dibunuh sehingga dikejar oleh Firaun dan tenteranya dan terpaksa menyeberangi lautan yang dengan pertolongan Allah SWT telah terbelah menyelamatkan Baginda AS dan menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya; Nabi Yusuf AS dipenjarakan;  Nabi Yahya dibunuh, dan begitu juga ayahanda Baginda AS yang mengikut riwayat Ibn Asakir, Nabi Zakariya AS, juga dibunuh; Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dibaling batu, luka berdarah dan patah giginya; begitu juga Sumayyah binti Khayyat dan suaminya Yassir, kedua-dua dibunuh kerana mempertahankan aqidah mereka; bapa saudara Nabi SAW sendiri, Sayydina Hamzah bin Abdul Muttalib dibunuh; Bilal bin Rabah RA diseksa dengan batu di tengah-tengah padang pasir yang panas dan banyak lagi ujian lain yang menimpa para Nabi dan orang-orang Soleh.

Ujian dan musibah yang menimpa itu tidak bermakna Allah membiarkan mereka yang hampir dengan Allah SWT ini dizalimi, sebaliknya untuk menguji mereka agar bersabar dengan ujian-ujian tersebut dan menjanjikan syurga buat mereka semua. Hal ini seperti yang pernah dijanjikan oleh Baginda Rasulullah SAW apabila menyaksikan keluarga Sumayyah dan Yasir tengah disiksa dengan kejam. Baginda SAW kemudian menadah tangan ke langit berdoa dan memohon kesabaran Summayah dengan berkata: “Bersabarlah, wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah surga.” Sumayyah mendengar seruan Rasulullah SAW. Maka dia pun menjadi semakin kental dan bersemangat untuk mempertahankan akidahnya lalu menjawab: “Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahawa janjimu adalah benar.”

Jelas kepada kita bahawa telah terjadi pelbagai bentuk musibah terhadap umat terdahulu seperti yang diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Quran tentang mereka, diuji dengan pelbagai kesengsaraan sama ada berupa  pembunuhan, kemiskinan, penderitaan dan penyakit pada tubuh mereka serta digoncangkan hati-hati mereka dengan pelbagai macam ketakutan seperti ancaman pembunuhan dan pengusiran, harta mereka diambil dan bermacam-macam hal lagi yang berbahaya dan menakutkan  sehingga membuatkan mereka merasa bahwa kedatangan pertolongan Allah itu lambat dan perlahan walaupun mereka yakin akan kedatangan pertolongan itu. Disebabkan situasi yang dahsyat yang berlaku itu hingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersama-samanya, berkata kepada Baginda Rasulullah SAW dengan bertanyakan: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”; kemudiannya Allah SWT menjawab dihujung ayat yang sama: “Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Banyaknya firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa kita akan diuji dengan pelbagai ujian seperti dalam surah al-Imran ayat 142, yang berbunyi: “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.

BACA:  Keistimewaan Dalam Bulan Bulan Islam. Subhanallah

Oleh sebab itu, apabila kita melihat masyarakat Islam Gaza Palestin dibunuh dengan zalim secara berterusan oleh Tentera Zionis Yahudi hari ini, ia mengingatkan kita bahawa umat Islam sejak awal lagi sentiasa ditindas, dibuli dan diseksa bermula daripada kekejaman yang dilakukan oleh kaum Quraisy Jahiliyyah terhadap Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda SAW dan bahkan terhadap umat yang terdahulu yang mempertahankan aqidah murni ini.

Kita janganlah menjadi golongan yang terlalu naif dan bersangka baik dengan  kuasa-kuasa besar Barat hari ini. Lihatlah keadaan mereka sepakat yang dalam menyokong kezaliman terhadap penduduk Gaza seolah-olah sudah hilang pertimbangan akal waras dan sifat kemanusiaan. Tidak perlu untuk menjadi orang Islam melihat kezaliman Israel terhadap Gaza, cukup menjadi manusia yang memiliki sifat kemanusiaan. Namun, itu tidak berlaku kerana hakikatnya mereka adalah dalam satu pihak yang sama dan sikap mereka juga sama, iaitu  imperialis yang gemar menakluk dan menjajah golongaan yang lemah.

Terdapat banyak peperangan terhadap umat Islam seperti Perang Teluk I (1980-1988), Perang Teluk II (1990–1991), Perang Iraq (2003–2011) dan juga Perang Afghanistan (2001–2021) dan perang-perang lain juga, kesemuanya membunuh jutaan manusia, kononnya atas dasar menentang pengganas atau terroris atau memusnahkan Senjata Pemusnah Massa (WMD). Sedangkan kerakusan mereka membunuh manusia yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan bayi itu pula dianggap kononnya “mangsa keadaan” (collateral damage) yang tidak dapat dielakkan demi menjaga keselamatan dan keamanan.. Bahkan rakyat di negara yang dijajah dibunuh dan dirompak hasil buminya. Golongan penjajah daripada kalangan orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha dan senang dengan umat Islam sampai hari kiamat. Ini telah dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 120: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan ridha’ kepadamu hingga kamu mengikuti millah mereka”

Yang perlu kita lakukan sekarang ini umat Islam khususnya pemimpin dunia Islam perlu bersatu mempertahankan umat Islam di Gaza, Palestin kerana kita adalah seumpama satu badan. Adapun bagi saudara-saudara mara kita di Gaza, moga Allah SWT memberi mereka kesabaran atas ujian besar ini dan menganugerahkan syurga yang tinggi buat mereka atas kezaliman dilakukan terhadap mereka. Moga-moga juga pertolongan daripada Allah segera datang

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.