DALAM kesibukan dan cabaran tugasan harian di tempat kerja atau di mana-mana sahaja, kadangkala kita berasa penat dan tercari-cari kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Justeru Allah SWT memberikan jawapan bahawa dengan sifat sabar dan mengerjakan solat menjadi kunci kekuatan bagi orang Mukmin sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
Solat yang dilaksanakan terutamanya ketika qiamullail merupakan amalan ruhiyyah bagi membina sebuah institusi keluarga yang sejahtera serta memperkukuhkan jati diri dan kekuatan kepada sesiapa sahaja bagi melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)
Qiamullail adalah ibadah yang menjadi amalan kebiasaan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, salafus soleh dan orang Mukmin terdahulu hingga kini. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk menunaikan ibadah qiamullail dan memberikan khabar gembira kepada sesiapa yang mengerjakannya dengan ganjaran pahala dan anugerah kemuliaan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Hendaklah kamu melakukan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamullail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)
Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk bangun mengerjakan ibadah qiamullail dan baginda sendiri menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakannya sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, wahai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat al-Bukhari).
Qiamullail juga memberikan kekuatan kepada pasukan tentera dalam medan peperangan. Pada malam sebelum meletusnya peperangan Badar, Saidina Ali menyatakan: “Tidak ada di kalangan kami yang menunggang kuda melainkan Miqdad. Pada malam itu, kami melihat semuanya tidur melainkan Rasulullah SAW terus menerus menunaikan solat di bawah sebatang pokok dan menangis sehingga ke Subuh.” (Riwayat ad-Damsyiqi)
Walaupun Rasulullah SAW sahaja yang menunaikan solat pada malam itu, tetapi inilah gambaran penting yang perlu diteladani oleh semua pimpinan Islam hari ini. Program tarbiah Islam ini diteruskan oleh Rasulullah SAW dengan mengajar mereka menunaikan solat, sebagai ibadah pertama dan utama yang ditunaikan oleh para sahabat (al-Mubarakfuri).
Qiamullail merupakan amalan yang sangat dituntut dan tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ibadah tersebut boleh dikerjakan secara bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah ataupun secara berjemaah di masjid dan surau. Waktu terbaik untuk menunaikan qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun daripada tidur dan mengambil wuduk, disunatkan untuk terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat yang lain seperti solat sunat Hajat, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih, dan solat sunat Witir. Antara amalan lain yang boleh dilakukan semasa qiamullail termasuklah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.
Bagi memudahkan kita untuk bangun malam mengerjakan qiamullail, beberapa amalan digalakkan seperti qailulah iaitu berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari sebelum masuknya waktu Zuhur. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.” (Riwayat Ibnu Majah)
Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang Mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang yang terbiasa mengerjakan solat Tahajud, lalu dia tertidur (tidak melaksanakannya), kecuali akan dicatat baginya pahala solat tahajud dan tidur tersebut dianggap sebagai sedekah. (Riwayat Abu Daud)
Sesiapa yang berazam untuk bangun malam juga perlu menjauhi perbuatan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat pada malam tersebut. Menjaga amalan pemakanan juga dapat membantu memberikan kekuatan untuk bangun malam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dan tidak berlebihan dalam pemakanan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, kita juga digalakkan untuk berwuduk sebelum tidur sebagaimana hadis daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), kemudian ia terbangun di tengah malam, lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia atau perkara akhirat, nescaya akan diberikan kepadanya.” (Riwayat Ibu Majah)
Di Wilayah Persekutuan, program Putrajaya Berqiamullail Bersama Agensi Hal Ehwal Islam dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Jun yang lalu dan memasuki siri kedua pada 13 Ogos depan. Program tersebut selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 yang berhasrat untuk membudayakan amalan berqiamullail dalam kehidupan seorang Muslim di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, mahupun pemimpin. Marilah kita bersama-sama memburu kelebihan qiamullail dengan memperbanyakkan berdoa pada malam tersebut serta mengharapkan keampunan dan mendambakan ketenangan jiwa daripada Allah SWT. Semoga program ini dapat dipergiatkan di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan bagi menggalakkan lebih ramai ahli kariah hadir berqiamullail bukan sekadar pada musim tertentu. Pihak masjid dan surau boleh melaksanakan inisiatif sebagai galakan untuk ahli kariah melazimi amalan qiamullail dalam kehidupan.