Dalam menghadapi cabaran dunia moden hari ini, satu perkara penting yang harus wujud dalam kehidupan kita, khususnya orang-orang lslam, ialah adab dan tatacara kelakuan yang baik. Kalaupun banyak perkara lain yang telah luntur dan merosot dari kehidupan orang lslam seperti nilai kebendaan,ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologi serta lain-lain lagi, maka seboleh-bolehnya kita haruslah mempertahankan “adab” kita dan selalu “memperadabkan” segala tingkah laku kita sebagai satu jati diri dan tradisi hidup yang tidak seharusnya dibiarkan terhakis dari kita.
Saya menyebut hal ini, kerana arus pembangunan fikiran dan sikap orang-orang lslam akhir-akhir ini, didorong oleh beberapa unsur yang tertentu, telah menjadi agak “keras” agresif dan kadang-kadang mempunyai unsur-unsur “ganas” yang terkeluar dari tatasusila dan keperibadian orang-orang lslam.
Pendekatan secara kasar, termasuk penggunaan bahasa yang kesat dan tidak bersopan sering kedengaran sekarang ini di dalam media rasmi dan surat elektronik yang telah digunakan secara meluas tanpa sempadan, juga melalui ceramah-ceramah dan sebagainya.
Kehakisan budi bahasa ini amat menyedihkan kita, terutamanya apabila dilakukan oleh orang-orang lslam sendiri yang bertindak sebagai pendakwah untuk menyedarkan orang lain dan mengajak orang lain kepada agama.
Penggunaan teknologi maklumat secara berleluasa dan bebas mengemukakan sebarang mesej yang hendak disampaikan kepada orang lain yang kadang-kadang penuh khurafat dan tahyul, banyak menjadikan anak-anak muda keliru dan bengong.
Seorang pelajar yang masih belajar di peringkat A-Level dan sering dihujani dengan junk-mail menulis kepada saya dan menyatakan kesedihannya kerana banyak menerima mesej yang merungsingkan pemikirannya tentang isu-isu murtad malapetaka yang akan menimpa pemimpin dan negara, kejadian luar biasa ketika berlangsungnya temasya sukan KL ’98, malah ada pula surat berantai yang harus dipanjangkan kepada orang-orang lain tentang seorang hamba Allah yang bermimpi bertemu Nabi Muhammad S.A.W.
Kalau surat anak muda ini boleh diambil sebagai contoh yang mewakili generasinya, maka jelas sekali bagaimana penyalahgunaan teknologi maklumat ini telah meracuni pemikiran mereka dan mengkucar-kacirkan perasaan mereka, sehingga menimbulkan perasaan runsing, cemas dan berbagai-bagai kemelut pemikiran yang negatif.
Pelajar ini menulis tentang surat-surat yang dipanjangkan kepadanya “Saya acapkali menatap e-mail tersebut dan yang pastinya hati saya terasa sedih … saya juga kurang pasti akan amarannya … ”
Jelas di sini bahawa pelajar-pelajar dan generasi muda sepertinya merasa ragu-ragu dan berkecamuk pemikirannya membaca berbagai-bagai mesej yang dipanjangkan kepada mereka. Hal ini mungkin akan membawa kesan sampingan yang boleh mengecewa dan menghitamkan masa depan mereka dalam bidang pelajaran dan lain-lain lagi.
lslam menentang khurafat dan mungkar, menentang kelakuan buruk, termasuk kata-kata kesat, maki hamun, tuduh menuduh dan sebagainya. Sebaliknya lslam menganjurkan hikmah, berlemah lembut dalam tutur bahasa dan tegur sapa serta menghormati orang lain.
Oleh itu amatlah ganjil sekiranya perkara-perkara ini berlaku di kalangan orang lslam dan diheboh-hebohkan pula di kalangan masyarakat lslam yang melibatkan generasi muda seperti pelajar yang disebutkan di atas.
Saya fikir ramai orang lslam yang membaca tentang sifat taghut, dajal, kufur, dan sebagainya yang dilabelkan kepada orang-orang yang tertentu sesama lslam yang tidak disukai oleh golongan tertentu. Kata-kata seperti kurang ajar, syaitan, “Abu Lahab” juga sering menjadi permainan bibir orang-orang tertentu yang bertindak atas nama agama.
Semua ini tidak syak lagi akan menjadi model yang amat buruk kepada generasi muda kita sendiri, yang mungkin akan terfikir bahawa “perjuangan” atas nama agama haruslah ditegakkan di atas prasangka dan kekerasan yang dapat diteladani dari sifat angkuh segelintir manusia itu.
Yang amat menyedihkan kita, fenomena ini nampaknya lahir membiak dengan agak ketara dalam dekad-dekad terakhir ini, iaitu ketika berlakunya penentangan-penentangan yang keras dan ganas terhadap kerajaan-kerajaan negara tertentu, khususnya di Asia Barat, akibat dari ketidakadilan politik dan berlakunya diskriminasi di kalangan rakyat tentang pengagihan kekayaan negara yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negara tersebut di samping masalah-masalah yang lain.
Rakyat yang merasa terpinggir dan tertindas oleh sistem politik dan ekonomi yang tidak adil itu, akan mengambil jalan kekerasan dan keganasan menentang pemerintahnya sendiri, maka ketika itu di samping berlaku pembunuhan sesama lslam, maka “sikap” mereka terutamanya yang mengaku dirinya “pejuang” juga akan menjadi kasar dan ganas, termasuk dalam tingkah laku dan pengucapan kata-katanya.
Kita merasa amat dukacita dan kecewa sekiranya hal yang sama berlaku di kalangan masyarakat kita, di kalangan bangsa kita yang terkenal dengan tingkah laku bersopan dan beradab yang kita warisi dari ajaran dan nilai agama kita.
Saya beranggapan bahawa sistem politik dan ekonomi kita tidak mengundang tingkah laku tidak beradab, dan tidak perlu mendorong rakyat untuk bergerak secara radikal melalui pergerakan-pergerakan tertentu dan tidak seharusnya menimbulkan golongan dan anggota masyarakat yang bersikap negatif dan agresif, terutamanya dalam memperjuang menyelesaikan isu-isu agama. Banyak jalan hikmah dan nasihat yang masih boleh dipergunakan untuk mempengaruhi orang ramai dan golongan anak muda kita supaya mentaati agama.
Tidak semestinya cara penyelesaian masalah yang diambil oleh masyarakat lslam di negara lain, yang berlainan corak pemerintahannya itu diambil sebagai contoh untuk masya karat dan negara kita yang mempunyai cara kita tersendiri. Kita selama-lamanya tidak dapat memberikan sebarang justifikasi terhadap kekerasan dan kelakuan yang tidak beradab sesama kita, apa lagi menjatuhkan hukuman yang tidak sesuai terhadap orang lain.
Bagaimanakah hendak kita tegakkan tamadun lslam, ajaran dan akhlak lslam sekiranya jalan dan perjuangannya diasaskan di atas kelakuan dan pengucapan bahasa serta kata-kata yang tidak bersopan? Bagaimanakah hendak kita tegakkan kebenaran lslam sekiranya kita asyik melemparkan tuduhan dan mempunyai prasangka buruk terhadap sesama lslam? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu berbicara apa yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu laksanakan. (AI-Saf, ayat 2 & 3).