Kebelakangan ini saya lihat banyak dakwaan kesihatan tentang essential oil. Essential oil atau minyak pati merupakan sebatian kimia mudah meruap, yang memberi bau dan aroma yang unik dan terdiri daripada sebatian kimia yang mempunyai berat molekul yang rendah terutama dari kelas monoterpenes, sesquiterpene, ester, ketone, aldehyde dan sesetengahnya mengandungi sulfur.
Terdapat beribu kajian dalam piring petri potensi minyak pati ke atas pelbagai jenis protein, sel, bakteria dan lain-lain. Pengujian piring petri tidak boleh dianggap berkesan ke atas manusia.
Apabila ia diuji ke peringkat kajian lebih mendalam, kajian terhadap sebatian kimia aktif sahaja dalam minyak pati saja dijalankan. Bukan minyak pati itu sendiri. Inilah salah faham apabila main petik artikel penyelidikan tanpa memahami konteks artikel tersebut.
Sebahagian artikel penyelidikan (bukan semua) yang boleh diakses semua (open access) mempunyai kualiti penyelidikan yang rendah. Melainkan anda sendiri bekerja bidang ini, anda sukar membezakan kualiti penyelidikan.
Saya telah terlibat dengan penyelidikan mengekstrak dan menganalisa essential oil sejak tahun 2005. Kebanyakan kajian saya bukanlah mengkaji untuk tujuan pengkomersilan, tetapi lebih kepada mengenalpasti sebatian kimia mudah meruap.
Hentikanlah dari memberi harapan palsu pada orang ramai. Hentikan membazir duit membeli produk untuk TUJUAN PERUBATAN yang tiada bukti keberkesanan. Essential oil sedang dikaji untuk potensi perubatan TETAPI MASIH BELUM TERBUKTI KE ATAS MANUSIA. Essential oil digunakan untuk aromatherapy, pewangi, perasa makanan dan kosmetik.
Sekian, semoga bermanfaat.
Che Puteh Osman
PhD (Natural Product Chemistry)