
Kuala Lumpur: Sekumpulan pakar kimia dan teknologi bio mengesan sesetengah produk sanitasi pembasmi kuman yang semakin meluas dijual di pasaran, terutama secara dalam talian, sebenarnya langsung tidak berkesan untuk mengelak jangkitan virus.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismaniza Ismail; Pensyarah fakulti sama, Dr Shahrul Nizam Ahmad serta Ketua Perkhidmatan Makmal Halal, Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin, percaya ia adalah produk dihasilkan sendiri tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Ada juga pengeluar atau penjual turut menggunakan agama dan isu halal haram bagi melariskan produk mereka, mendakwa cecair pembasmi kuman pada tangan atau ‘hand sanitizer’ komersial mengandungi alkohol yang diharamkan penggunaannya oleh Islam.
Bagi Ismaliza yang juga pakar bioteknologi dan kebersihan industri, permintaan masyarakat yang terlalu tinggi terhadap produk sedemikian ketika penularan wabak COVID-19, mendorong pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Kami mengesan banyak pihak tidak bertanggungjawab menghasilkan produk sanitasi sendiri tanpa pengesahan keberkesanan produk. Mereka mengeksploitasi keadaan semasa untuk mengutip keuntungan segera, sedangkan produk itu sebenarnya tidak menepati piawaian ditetapkan.

“Lebih membimbangkan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna. Produk yang dihasilkan sendiri berbeza dengan produk komersial sedia ada yang sudah melalui proses keberkesanan.
“Pengeluarnya mungkin mahu mengaut keuntungan semata-mata dalam keadaan terdesak ini,” katanya kepada BH.
Untuk menyediakan produk sanitasi sedemikian, katanya, pengeluar perlu mengetahui kadar terperinci penggunaan pelbagai bahan aktif yang mampu membunuh kuman seperti etanol (etil alkohol), isopropil alkohol, atau n-propanol.
Mengikut sukatan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap 10 liter produk sanitasi mesti mengandungi 8,333 mililiter (ml) daripada 96 peratus etanol, 417ml daripada tiga peratus hidrogen peroksida dan 145ml daripada 98 peratus gliserol atau 7515ml daripada 99.8 peratus isopropil alkohol, 417ml daripada tiga peratus hidrogen peroksida dan 145ml daripada 98 peratus gliserol.
“Setiap produk sanitasi yang dijual harus mempunyai peratusan alkohol antara 60 hingga 95 peratus agar dapat membunuh kebanyakan kuman. Apa yang dipersoalkan adakah garis panduan penyediaan produk sanitasi yang sudah ditetapkan diikuti atau mereka sekadar mencampur bahan-bahan sahaja,” katanya.
Katanya, produk pembasmi kuman bebas alkohol juga boleh dijadikan pilihan, namun ia haruslah mengandungi sebatian ammonium kuartener seperti benzalkonium klorida yang mampu mengurangkan dan membunuh mikrob.
Bagi Shahrul Nizam pula, berbanding produk komersial cecair pembasmi kuman pada tangan, penggunaan sabun serta air adalah ‘piawai emas’ dalam amalan kebersihan yang seharusnya menjadi amalan paling berkesan untuk rakyat Malaysia ketika ini.
“Amalan terbaik adalah mencuci tangan dengan sabun dan air. Ia untuk kebersihan tangan dan bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit kerana boleh menanggalkan lapisan minyak daripada kulit yang boleh menjadi tempat pembiakan mikrob.
“Oleh itu, untuk mencegah penyebaran dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan COVID-19, cara terbaik adalah mencuci tangan menggunakan sabun dan air sebagai pilihan pertama, di samping elak menyentuh kulit muka.
“Sekiranya tangan kelihatan kotor, basuh tangan dengan sabun dan air kerana ia lebih berkesan berbanding cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan alkohol. Malah banyak kajian membuktikan kesan bahan pencuci bersama gosokan dapat mengurangkan bilangan mikrob pada kulit dan permukaan,” katanya.
Amalan mencuci tangan yang harus dititik-beratkan, katanya, adalah dengan menggosok sabun dan air pada tangan sekurang-kurangnya selama 20 saat kerana sabun mempunyai sifat lipofilik yang mengikat dan mengurangkan kotoran, minyak serta mikrob daripada permukaan kulit.
“Tidak dinafikan produk sanitasi tangan bersama kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus adalah pilihan praktikal apabila tiada sabun dan air. Namun bagi menjamin keberkesanan proses nyah mikrob, penggunaannya perlu pada keseluruhan tangan, termasuk telapak, belakang dan pergelangan tangan, selain celah-celah jari dan kuku,” katanya.
Sementara itu, Siti Aimi Sarah berkata, ada pihak cuba memainkan isu agama dan halal haram untuk melariskan produk yang dihasilkan atau dijual mereka.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan kandungan alkohol dalam produk sanitasi tangan adalah harus dan dimaafkan. Kita tidak mahu ada pihak mengeksploitasi agama untuk menarik pelanggan, apa yang penting adalah memastikan produk dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu kenyataan sebelum ini, menegaskan penggunaan cecair pembasmi kuman adalah tidak najis dan ia boleh digunakan ketika sembahyang serta tidak dikira menanggung najis.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan alkohol yang tidak melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum berbanding alkohol daripada proses pembuatan arak yang hukumnya haram dan najis,” katanya.
‘Tiada istilah perlindungan 24 jam’
Kuala Lumpur: Tiada istilah ‘perlindungan 24 jam’ hasil penggunaan produk pembasmi kuman bagi mengelak jangkitan virus atau penyakit bawaan bakteria.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismaniza Ismail, berkata pengguna harus memahami konsep perlindungan yang diperoleh daripada produk yang digunakan.
Katanya, pergerakan refleks atau tabiat manusia juga mempunyai hubung kait dengan faktor keberkesanan penggunaan sesuatu produk pembasmi kuman.
“Contohnya apabila batuk atau bersin, kita secara refleks akan tutup mulut dengan tangan dan ini akan memerangkap virus ke dalam tangan serta memerlukan lebih sekadar produk sanitasi tangan untuk menghapuskannya.
“Virus yang keluar bersama-sama batuk atau bersin mungkin diselaputi mukus (lendiran) yang menjadi lapisan perlindungan mikrob, sekali gus menidakkan keberkesanan produk sanitasi tangan yang digunakan dalam amaun yang sedikit,” katanya kepada BH.
Beliau menjelaskan, ‘perlindungan 24 jam’ hanya satu taktik pemasaran yang sudah pun menimbulkan salah faham kerana hakikatnya, penggunaan produk itu hanya membunuh mikrob pada masa ia digunakan.
“Sekiranya permukaan yang tercemar disentuh semula, potensi untuk mendapat jangkitan akan berulang. Sekiranya cecair pembasmi kuman mengandungi kandungan alkohol yang tinggi, penggunaan yang terlalu kerap akan menyebabkan alahan atau rengsa pada kulit sesetengah pengguna yang sensitif,” katanya.
Penularan COVID-19 ketika ini menyebabkan permintaan bagi produk kesihatan seperti topeng muka, cecair pembersih tangan, cecair dan penyembur, tisu basah, gel mandian, pencuci tangan antibakteria serta vitamin melonjak, terutama pembelian secara dalam talian.
