≡ Menu

Hadis Memuliakan Orang Tua. Adakah Ia Hadis Sahih?

Soalan: Apakah benar terdapat hadith yang menyatakan dengan memuliakan orang yang tua maka apabila dia sampai ke usia itu, dia turut akan dimuliakan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Untuk itu, di antara sebab Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan atau mengajarkan akhlak kepada sekalian manusia berdasarkan sabda Baginda SAW:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

 

Di antara kemulian akhlak itu adalah sikap hormat menghormati di antara satu sama lain. Kita bukan sahaja dituntut untuk menghormati atau memuliakan ibubapa kita, bahkan kita dituntut untuk memuliakan orang yang lebih berusia daripada kita walaupun dia bukan daripada keturunan atau darah daging kita.

Merujuk kepada persoalan di atas, di sana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan statusnya tidak begitu kuat iaitu:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَكْرَمَ شَابٌّ شَيْخًا لِسِنِّهِ إِلَّا قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ مَنْ يُكْرِمُهُ عِنْدَ سِنِّهِ

Maksudnya: “Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya.” [Riwayat al-Tirmizi (2022)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini adalah gharib][Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan di dalam al-Jami’. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh mengatakan terdapat dua perawi di dalam sanad hadith ini dinilai dhaif oleh para ulama iaitu Abu al-Rahhal Khalid bin Muhammad dan Yazid bin Bayan]

Di samping itu, di sana terdapat hadith lain bahawa Nabi SAW menuntut agar kita menyayangi orang yang lebih muda daripada kita serta menghormati orang yang lebih berusia daripada kita:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

Maksudnya: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.” [Riwayat al-Tirmizi (1919)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini adalah gharib] [Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai sahih di dalam al-Jami’. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh mengatakan terdapat seorang perawi di dalam sanad hadith ini dinilai dhaif oleh para ulama iaitu Laith bin Abi Salim dan perawi yang lain adalah thiqah. Hadith ini juga mempunyai sokongan daripada riwayat yang lain]

 

Justeru, kedua hadith di atas adalah dhaif disebabkan di dalam sanadnya terdapat perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama. Walaubagaimanapun, di sana terdapat hadith sahih yang umum dalam tuntut memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” [Riwayat al-Bukhari (5997)]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith tersebut adalah dhaif daripada Nabi SAW. Akan tetapi, maknanya boleh diterima dengan memahaminya bahawa kita dituntut untuk memuliakan atau menghormati sesiapa sahaja kerana itu adalah tanda keindahan agama Islam. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba untuk menjadi seorang muslim yang baik pada peribadi atau akhlak dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.