Haiwan yang dimandulkan ini layak atau tidak ya untuk dijadikan korban?
Kalau sudah dimandulkan, bukankah sudah cedera dan sedikit ‘cacat’?
Jangan buat kesimpulan begitu pantas. Lihat dahulu penjelasan tentang haiwan yang mandul atau dikembirikan sama ada boleh dikorbankan atau tidak.
Maksud Mandul, Kasi dan Kembiri
Rujukan daripada Kamus Dewan Bahasa, haiwan yang dikasi adalah haiwan yang dihilangkan alat pembiakannya atau tidak ada sifat jantannya lagi.
Perbuatan memandulkan yang juga bermaksud kembiri ini adalah ‘tidak ada jantan’ atau hilang sifat kejantanannya, atau sudah dihilangkan jantannya. Secara umumnya, mengembiri, mengasi dan memandulkan adalah perbuatan seseorang membuang alat jantannya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Dalam bahasa Inggeris pula, perbuatan ini dipanggil ‘castration’.
Ia adalah tindakan bedah atau dengan menggunakan bahan kimia untuk menghilangkan fungsi alat pembiakan jantan atau betina.
Apabila haiwan telah dimandulkan, ia tidak boleh mengawan dan menjadikan ia gemuk akibat kurang aktif untuk mengawan.
Hukum memandulkan haiwan yang halal dimakan adalah halal ketika haiwan tersebut masih kecil dan mengharamkan pemandulan dilakukan ketika haiwan itu sudah besar.
Imam Nawawi ada menuliskan pendapat Imam Baghawi, “Haram mengasi semua haiwan yang tidak boleh dimakan. Adapun haiwan yang boleh dimakan maka boleh mengasinya ketika masih kecil, dan haram ketika sudah besar.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/117)
Pemandulan binatang ternakan dibolehkan oleh Ulama’ Hanabilah kerana ia boleh menggemukkan dan menambah dagingnya dan memakruhkan untuk memandulkan haiwan yang haram kerana tidak ada manfaatnya selain menyakiti mereka.
Pemandulan haiwan halal dimakan juga dibolehkan oleh para ulama’ Hanafiyyah dan Malikiyyah (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/122).
Jenis Kecacatan Haiwan Yang Menyebabkan Korban Tidak Sah
- Buta sebelah atau kedua-dua belah matanya
- Terlalu kurus
- Sakit yang ketara
- Tempang kaki yang ketara
- Terputus telinga atau lebih teruk daripada itu
Ini sejajar dengan hadis sahih daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي
Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”.
Riwayat Abu Daud (2802)
Al-Nawawi menjelaskan jenis kecacatan yang ketara tersebut sehingga tidak menepati syarat-syarat korban.
وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما فلا تجزىء عجفاء ومجنونة ومقطوعة بعض إذن وذات عرج وعور ومرض وجرب بين ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الجرب والله أعلم
Maksudnya: “Syarat haiwan korban mestilah selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya. Maka tidak sah binatang yang sangat kurus, gila, putus sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak terjejas yang sedikit aibnya begitu juga ketiadaan tanduk-tanduk, koyak telinga, dan tebukan telinga menurut pendapat yang paling sahih. Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit”
Rujuk Minhaj al-Talibin wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh, 320.
Adakah Haiwan Yang Dimandulkan Boleh Dijadikan Korban?
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ ، اشْتَرَى كَبْشَيْنِ عَظِيمَيْنِ ، سَمِينَيْنِ ، أَقْرَنَيْنِ ، أَمْلَحَيْنِ مَوْجُوءَيْنِ
Maksudnya: “Bahawa apabila Rasulullah SAW hendak melaksanakan qurban, maka Baginda membeli dua ekor kibas yang besar, gemuk, bertanduk dan berwarna belang (hitam dan putih), yang dikasi.”
Riwayat Ibn Majah (3122), Ahmad (25046) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (18827) dan Syu’ab al-Iman (1486)
Manakala dalam lafaz yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, beliau berkata:
ذَبَحَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الذَّبْحِ كَبْشَيْنِ أَقْرَنَيْنِ أَمْلَحَيْنِ مُوجَأَيْنِ
Maksudnya: Nabi SAW pada hari Korban menyembelih dua ekor kambing yang bertanduk, hitam putih bulunya, dan dikasi.”
Riwayat Abu Daud (2795)
Adakah Haiwan Yang Dimandulkan Itu Cacat dan Tidak Boleh Dikorbankan?
Imam al-Khattabi Rahimahullah telah berkata;
“Sebahagian ulama’ memakruhkan haiwan yang dikasi kerana kekurangan anggotanya. Yang sahih, ia tidaklah makruh. Ini kerana pengasian (castration) akan memberikan manfaat pada dagingnya (menjadi enak/gemuk), dapat menghilangkan lemak serta bau busuk haiwan. Anggota tersebut juga bukan anggota yang dimakan.”
Lihat Syarh al-Sunnah, 4/335. Pendapat ini juga dinukilkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, 10/10
Imam Nawawi pula telah memberi pendapat tentang hal ini:
“Diharuskan (binatang korban) sama ada jantan, betina atau yang dikasi.”
Lihat Minhaj al-Talibin, 320
Al-Bujairimi juga telah menyatakan pendapatnya yang membolehkan haiwan korban daripada binatang ternakan sama ada betina atau jantan walaupun sudah dimandulkan (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/397).
Di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili ada menyebut;
“Para ulama bersepakat bahawa korban tidak dibolehkan kecuali dengan binatang ternakan iaitu: Unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri (termasuk kambing) dengan segala jenisnya mencakupi yang jantan atau betina, sama ada yang dikasi atau yang tidak dikasi (pejantan).
Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/259
Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia telah membuat kesimpulan bahawa haiwan atau ternakan yang telah dimandulkan adalah boleh dan sah untuk dibuat korban atau akikah.
Ini kerana ‘kecacatan’ itu bukanlah kecacatan yang menjadikan haiwan itu tidak sah untuk dijadikan korban.
Buat anda yang ingin berkorban atau akikah kelak, jangan risau jika haiwan itu sudah dimandulkan atau tidak.
Insya-Allah menerima ibadah kita asalkan kita sudah berusaha mencari haiwan yang terbaik untuk dikorbankan atau diakikahkan.
Sekian sahaja perkongsian kali ini. Semoga ia bermanfaat.