Tahukah anda bahawa surah Al-Kauthar diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengubat kepada duka lara Baginda ketika menghadapi kematian dua orang yang disayanginya, iaitu anak lelakinya Ibrahim dan juga bapa saudaranya Abu Talib.
Ia dinamakan sebagai Al-Kauthar kerana Allah telah mengurniakan kepada Nabi SAW nikmat dan kebaikan di dunia serta akhirat.
Terdapat sebuah hadis yang diceritakan melalui riwayat Muslim, dari Anas bin Malik, ia berkata – “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW telah terlelap di sisi kami dalam keadaan tidur ringan sahaja. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya dan tersenyum. Kami pun lantas bertanya mengapa.”
Lalu Rasulullah menjawab – “Baru sahaja turun kepadaku sebuah surah.”
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ
Mafhum: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai syukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”
Kemudian Baginda berkata lagi – “Tahukah kamu apa itu Al-Kauthar?”
Kami menjawab – “Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.”
Rasulullah bersabda – “Al-Kauthar adalah sungai yang dijanjiikan oleh Rabbku. Sungai tersebut memiliki kebaikan yang sangat banyak. Ia adalah telaga yang nanti akan didatangi oleh umatku pada hari kiamat kelak. Bejana (gelas) di telaga tersebut sjumlah bintang di langit. Namun, ada dari sebahagian hamba yang tidak boleh minum dari telaga tersebut. Allah berfirman – “Tidakkah engkau tahu bahawa mereka telah beramal sesudahmu.” (HR Muslim, no. 400)
Surah Yang Ringkas, Makna Yang Mendalam
Surah ini sebagai inspirasi buat kita semua untuk sentiasa menyedari bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya sendiri.
Setiap ujian yang Allah berikan, pasti akan terselit seribu satu nikmat sama ada yang akan datang untuk kehidupan dunia ini mahupun yang telah disimpan di akhirat kelak.
Oleh itu, sebagai manusia yang sentiasa beriman dan percaya akan ketentuan Allah, beriman dan terus taat kepadaNya adalah salah satu cara untuk mengubat kesedihan mahupun kekecewaan yang sedang dialami.
Surahnya ringkas, namun padat dengan pesanan. Ulama menyebut bahawa antara perkara yang boleh dipelajari melalui surah ini adalah:
#1 – Allah sentiasa menjanjikan kebaikan dan nikmat yang melimpah-ruah
#2 – Sentiasa taat kepada Allah dalam semua perkara
#3 – Bersyukur dalam apa jua keadaan yang sedang dialami
Diriwayatkan, Rasulullah SAW apabila diturunkan surah ini terus tersenyum dan gembira dengan nikmat kurniaan Allah buatnya.
Buat anda yang sedang patah hati mahupun berada dalam kekecewaan, percayalah bahawa ia hanya sementara. Jika kegembiraan yang Allah berikan juga sementara, apatah lagi kesedihan.
Setiap fasa yang dilalui akan berlalu. Jadi, jangan berlama-lama dalam kesedihan dan carilah ‘ubat’ sebagai penawar duka anda.
Semoga di penghujung tahun 2020 ini akan membawa kepada anda lebih banyak sinar untuk lebih bersyukur kepadaNya