≡ Menu

Hukum Bernazar Dalam Hati. Adakah Sah Nazar Itu?

Soalan:

Saya pernah terlintas dalam hati saya, apabila sampai tempoh mengeluarkan wang simpanan KWSP, saya mahu mengadakan jamuan makan untuk anak-anak yatim. Namun apabila tiba masanya, terasa agak berat kerana banyak komitmen kewangan lain. Adakah saya wajib menunaikan nazar ini, atau nazar hanya menjadi wajib jika dilafazkan dengan lisan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nazar wajib ditunaikan apabila cukup syarat-syaratnya. Firman Allah SWT:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

Surah al-Hajj (29)

Sabda Nabi Muhammad SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ

MaksudnyaBarangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah SWT, maka hendaklah dia menyempurnakannya.

Sahih al-Bukhari (6696)

Dalam soal nazar, timbul isu jika seseorang itu sekadar berniat di dalam hati untuk bernazar, adakah ia dikira sebagai nazar?

BACA:  Baca Doa Ini Sekiranya Kita Ditimpa Kesulitan Yang Menggugat Kita

Secara amnya, dalam isu ini terdapat dua pandangan:

  1. Pandangan yang menganggap niat dan lintasan hati tidak dikira sebagai nazar. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pandangan yang paling sahih dalam isu ini yang menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafi’e ialah tidak sah nazar melainkan dengan melafazkannya dengan lisan dan kata-kata, dan tidak sah sekadar dengan niat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/451)

Hal yang sama juga dinyatakan Imam al-Mardawi al-Hanbali dimana jika seseorang itu berniat nazar tanpa kata-kata, nazar itu tidak sah, dan beliau mendapati tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mazhab Hanbali pada hal ini. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 11/90)

Imam Jalaluddin al-Suyuti sewaktu mensyarahkan qaedah ‘Al-Umur bi Maqasidiha menyatakan bahawa nazar secara niat di dalam hati tidak dikira sebagai nazar. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir 1/33)

  1. Pandangan yang mengambil kira niat sebagai nazar dan wajib ditunaikan. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Hattab, Imam Ibnul ‘Arabi dan Imam Ibn Rusyd al-Hafid (Rujuk Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar al-Khalil, 4/491, Ahkam al-Qur’an 2/548 dan Bidayatul Mujtahid 1/422)
BACA:  9 Ciri Wanita Solehah Yang Dijanjikan Syurga. Subhanallah

Dalam isu ini kami mentarjihkan pandangan yang pertama iaitu tidak dikira nazar jika semata-mata berniat di dalam hati, dan nazar perlulah dilafazkan dengan lisan. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

MaksudnyaAllah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagimana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.

Sahih al-Bukhari (2528)

Kesimpulannya, nazar hanya diambil kira dan wajib ditunaikan sekiranya ia dilafazkan dengan lisan. Adapun jika sekadar niat atau lintasan dalam hati, maka ia tidak dikira sebagai nazar.

Wallahu a’lam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.