Soalan:
Apakah hukumnya jika kita menahan diri daripada berkata-kata sebagai satu bentuk ibadat? Ataupun bernazar untuk diam daripada bercakap untuk satu tempoh tertentu. Ada yang berhujah bahawa ini merupakan satu bentuk ‘puasa’ seperti yang dilakukan oleh Saidatina Maryam A.S. Mohon penjelasan.
Ringkasan Jawapan:
Berpuasa daripada berkata-kata merupakan satu bentuk syariat yang diamalkan pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa, dan ia diperintahkan oleh Allah SWT kepada Saidatina Maryam setelah beliau melahirkan Nabi Isa A.S Namun ia tidak disyariatkan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW, bahkan Baginda melarang kita daripada tidak bercakap sepanjang hari. Selain itu, perbuatan diam dan tidak bercakap sebagai satu bentuk ibadat menyerupai amalan golongan jahiliyah, sebaliknya kita dituntut untuk melazimi zikir dan bercakap perkara yang baik.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.
Memelihara lisan daripada perkara batil dan sia-sia
Islam menganjurkan umatnya agar memelihara lisan daripada mengucapkan kata-kata yang batil seperti menipu dan maki hamun, dan memperingatkan bahawa apa jua yang diucapkan akan dicatat dan dihitung pada hari akhirat kelak. Firman Allah SWT:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
Surah Qaf (18)
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW ada berpesan supaya mengucapkan kata-kata yang baik sahaja, atau diam jika tiada keperluan:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka dia hendaklah bercakap yang baik-baik sahaja, atau diam.
Sahih Muslim (47)
Diam sebagai satu bentuk ibadat?
Diam daripada berkata-kata merupakan satu bentuk puasa dalam syariat umat terdahulu. Firman Allah SWT:
فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
Maksudnya: “…katakanlah (wahai Maryam): Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”
Surah Maryam (26)
Syeikh Wahbah al-Zuhaily ketika mentafsirkan ayat ini menukilkan pandangan Ibn Zaid dan al-Suddi:
كَانَتْ سُنَّةُ الصيامِ عِنْدَهُم الإمساكَ عَنْ الكَلَامِ
Maksudnya: Sesungguhnya kaedah berpuasa di sisi mereka (umat pada zaman tersebut) adalah dengan menahan diri daripada berkata-kata.
Ibn Abi Hatim dan Ibn Jarir pula meriwayatkan daripada Harithah bahawa pada suatu hari beliau bersama Ibn Mas’ud didatangi oleh dua orang lelaki, lalu salah seorang daripada mereka memberi salam dan seorang lagi tidak. Ibn Mas’ud bertanya: Apa yang berlaku kepada engkau? Para sahabatnya menjawab: Dia telah bersumpah untuk tidak bercakap dengan sesiapa pada hari ini. Lalu Ibn Mas’ud berkata: Bercakaplah dengan orang, dan berilah salam kepada mereka. Sesungguhnya wanita itu (maksudnya Saidatina Maryam) tahu bahawa orang tidak akan percaya kepadanya bahawa dia telah hamil tanpa berkahwin. Oleh itu, puasanya daripada bercakap itu menjadi alasan kepadanya untuk tidak menjawab apabila ditanya.
Oleh yang demikian, menurut Syeikh Wahbah lagi, jika seseorang itu bernazar untuk tidak bercakap dengan sesiapa, maka ia hanya disyariatkan dalam syariat Nabi Musa dan Nabi Isa, tapi tidak demikian dalam syariat Nabi Muhammad SAW, kerana ia merupakan satu bentuk menyempitkan dan menyeksa diri sendiri.[1]
Dalam isu ini, Imam al-Nawawi telah mengkhususkan satu bab dalam kitab al-Azkar dengan judul “Bab Larangan daripada Diam Tanpa Bercakap Dari Siang Hingga Malam”, dan beliau memulakannya dengan hadis riwayat Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يُتْمَ بَعْدَ احْتِلَامٍ وَلَا صُمَاتَ يَوْمٍ إِلَى اللَّيْل
Maksudnya: Tidak dikira yatim selepas akil baligh, dan tidak boleh diam tanpa bercakap dari siang hingga ke malam.
Sunan Abi Dawud (2873)
Kata Imam al-Khattabi ketika menjelaskan hadis ini: Antara kaedah ibadat bagi masyarakat jahiliyah ialah diam iaitu tidak berkata-kata dengan sesiapa pun. Ada dalam kalangan mereka yang duduk dan tidak bercakap dari pagi hingga ke malam. Umat Islam dilarang daripada melakukan hal tersebut, sebaliknya diperintahkan untuk berzikir dan bercakap perkara-perkara yang baik.[2]
Kesimpulan
Kesimpulannya, berpuasa daripada berkata-kata merupakan satu bentuk syariat yang diamalkan pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa, dan ia diperintahkan oleh Allah SWT kepada Saidatina Maryam setelah beliau melahirkan Nabi Isa A.S Namun ia tidak disyariatkan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW, bahkan Baginda melarang kita daripada tidak bercakap sepanjang hari.
Wallahu a’lam.
[1] Rujuk al-Zuhaily, Wahbah bin Mustafa (1418H), al-Tafsir al-Munir, Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu’asir, Cetakan Kedua, 16/77 dan 79.
والمراد أنهم كانوا إذا صاموا في شريعتهم، يحرم عليهم الطعام والكلام، قال ابن زيد والسدّي: كانت سنة الصيام عندهم الإمساك عن الكلام.
وليس الصوم عن الكلام مشروعا في الإسلام، روى ابن أبي حاتم وابن جرير رحمهما الله عن حارثة قال: كنت عند ابن مسعود، فجاء رجلان، فسلم أحدهما، ولم يسلم الآخر، فقال: ما شأنك؟ قال أصحابه: حلف ألا يكلم الناس اليوم، فقال عبد الله بن مسعود: كلّم الناس، وسلّم عليهم، فإن تلك امرأة علمت أن أحدا لا يصدقها أنها حملت من غير زوج، يعني بذلك مريم عليها السلام، ليكون عذرا لها إذا سئلت.
فلا يجوز نذر الصمت في شرعنا لما فيه من التضييق وتعذيب النفس
[2] Rujuk al-Khattabi, Abu Sulaiman (1932) Ma’alim al-Sunan, Aleppo: al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 4/87
وقوله لا صمات يوم إلى الليل وكان أهل الجاهلية من نسكهم الصمات، وكان الواحد منهم يعتكف اليوم والليلة فيصمت ولا ينطق فنهوا عن ذلك وأمروا بالذكر والنطق بالخير