≡ Menu

Hukum Memalingkan Wajah Ketika Solat. Adakah Batal?

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan. Adakah batal solat saya sekiranya saya berpaling wajah ke arah kanan beberapa kali ketika solat berjemaah kerana ingin menjaga barang yang diletakkan di hujung dinding masjid?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak batal solat dengan memalingkan wajah ke kanan atau kiri jika bukan dengan tujuan untuk bermain-main. Walaubagaimanapun perbuatan tersebut adalah makruh jika tidak mempunyai apa-apa hajat atau keperluan. Jika terdapat keperluan hukumnya adalah tidak makruh . Walau bagaimanapun, dinasihatkan supaya meletakkan barang bersebelahan atau di hadapan dan tidak jauh daripada kedudukan seseorang mendirikan solat agar tidak menjadikannya perlu memalingkan wajahnya berulang-ulang kali.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum memalingkan wajah ketika solat tanpa sebarang hajat dan keperluan adalah makruh kerana ia akan menyebabkan kehilangan khusyuk dalam solat. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dengan berkata:

BACA:  Jangan Sesekali Buka Aib Sendiri Pada Orang Lain. Nauzubillah

(قُلْت: يُكْرَهُ الِالْتِفَاتُ) فِي الصَّلَاةِ بِوَجْهِهِ يَمْنَةً أَوْ يَسْرَةً فَإِنَّهُ اخْتِلَاسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلَاةِ الْعَبْدِ كَمَا صَحَّ فِي الْبُخَارِيِّ وَلِمُنَافَاتِهِ الْخُشُوعَ.

Maksudnya: Makruh memalingkan wajah ke kiri atau ke kanan kerana ia merupakan pencurian yang dilakukan oleh syaitan ke atas solat seseorang hamba sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan kerana ia menyebabkan kehilangan khusyuk seseorang tersebut.[1] (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 1:421)

Di samping itu, sekiranya seseorang memalingkan wajah dengan sengaja tanpa sebarang hajat dan dia mengetahui larangan melakukan perbuatan tersebut, maka haram hukumnya dan batal solat tersebut jika dia berniat untuk bermain-main. Hal ini sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini daripada Imam al-Azra’ie, kata beliau:

وَقَالَ الْأَذْرَعِيُّ: وَالْمُخْتَارُ أَنَّهُ إنْ تَعَمَّدَ مَعَ عِلْمِهِ بِالْخَبَرِ حَرُمَ بَلْ تَبْطُلُ إنْ فَعَلَهُ لَعِبًا اهـ.

Maksudnya: Al-Azra’ie berkata: jika seseorang sengaja melakukannya dalam keadaan dia tahu tentang hadis yang melarangnya, maka haram hukumnya dan batal solatnya sekiranya dia melakukan dengan niat bermain-main. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 1:421)

Berdasarkan kenyataan di atas dapat difahami bahawa hukum makruh tersebut apabila seseorang melakukannya tanpa sebarang keperluan dan hukum haram serta batal solatnya jika berniat untuk bermain-main.

BACA:  Orang Islam Perlu Bijak Menguruskan Harta Dan Wang.

Oleh yang demikian, jika seseorang melakukannya atas keperluan dan hajat seperti menjaga barang yang disebutkan dalam soalan di atas, maka tidak jatuh kepada hukum makruh jika melakukannya. Bagi hal ini Syeikh Nawawi al-Jawi menjelaskan bahawa:

وثانيها: التفات بوجهه بلا حاجة أما إذا كان لها كحفظ متاع فلا يكره.

Maksudnya: Perkara makruh kedua: Berpaling wajah tanpa sebarang keperluan. Jika seseorang memalingkan wajahnya kerana keperluan seperti ingin menjaga barang, maka tidak makruh. (Rujuk Kasyifah al-Saja, 75)

Kesimpulannya, hukum memalingkan wajah ketika sedang solat kerana ada keperluan dan hajat adalah tidak makruh dan tidak membatalkan solat. Walau bagaimanapun, dinasihatkan supaya meletakkan barang bersebelahan atau di hadapan dan tidak jauh daripada kedudukan seseorang mendirikan solat agar tidak menjadikannya perlu memalingkan wajahnya berulang-ulang kali. Makruh hukumnya jika tidak ada apa-apa keperluan dan haram serta batal solat jika dengan tujuan bermain-main tanpa sebab.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Syirbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kitab al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 421.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.