BARU-baru ini, kita digemparkan dengan cerita seorang lelaki yang tergamak menjadikan kucing dan arnab sebagai makanan untuk ular peliharaannya.
Perkara itu terbongkar selepas lelaki berkenaan selamba bercerita mengenai perbuatannya secara terbuka menerusi Twitter.
Namun tahukah anda hukum membela ular adalah haram malah transaksi jual beli juga dilarang dalam Islam.
Ini kerana ular merupakan sejenis binatang termasuk dalam kelompok haiwan pengganggu (fawasiq) dan tidak ada sebarang manfaat jika diperdagangkan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menjawab persoalan berkaitan pengharaman itu menerusi laman web Maktabah Al-Bakri
“Ular ialah haiwan yang berbahaya dan memudaratkan.
“Bahkan Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh mereka di mana sahaja mereka ditemui,” katanya.
Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahannyanya bahawa, perkataan fawasiq yang di dalam hadis ini bermaksud binatang-binatang pengganggu dan perosak.
Berdasarkan hadis ini juga, kebanyakan ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram dan juga di luar tanah haram.
Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa dia mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan bersabda:
“Bunuhlah ular-ular dan bunuhlah dzu tufyatain (ular dengan dua garisan putih di belakangnya) dan abtar (ular yang ekornya pendek atau tidak berekor), kerana sesungguhnya kedua-dua itu dapat membutakan mata dan menggugurkan kandungan.”
Al-Zarkasyi berkata: “Diharamkan menahan sesuatu daripada lima haiwan perosak ini untuk tujuan memiliki.”
Imam al-Suyuti menyatakan: ”Apa yang diharamkan penggunaannya, maka haram untuk diambilnya. Justeru, diharamkan untuk mengambil alat hiburan, peralatan kewangan, anjing yang tidak digunakan untuk berburu, babi, dan haiwan-haiwan perosak”
Ibn Qudamah pula berkata: “Apa yang diwajibkan untuk dibunuh adalah haram dimiliki”.
Justeru, haram untuk memeliharanya dan membela ular sebagaimana arahan daripada Nabi SAW untuk membunuhnya berserta dengan hujah-hujah yang dikemukakan.
Perkataan fawasiq yang dinyatakan di dalam hadis memberi makna binatang-binatang pengganggu dan perosak.
Berpandukan hadis ini juga, majoriti ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram (Mekah dan Madinah) dan juga di luar tanah haram. (Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/ 113-114).
Berdasarkan dalil dinyatakan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan penggangu (fawasiq) yang dianjurkan untuk dibunuh.
Ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia.
Setiap barangan jualan yang tak ada nilai manfaat juga tidak sah transaksinya kerana tidak menepati syarat jual beli.
Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik.
.