≡ Menu

Hukum Membeli “Mistery Box”. Adakah Ia Sama Dengan Tikam/Judi?

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu soalan. Sekarang ada trend satu jual beli barangan yang disebut sebagai “Mystery Box” di platform Shopee. Soalan saya, adakah dibenarkan umat islam terlibat dalam jual beli tersebut melihat kepada pembeli tidak tahu secara pasti apakah barangan yang bakal diterima? Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Jual beli sebegini tidak diharuskan dan terbatal di sisi Syarak kerana tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli iaitu barang jualan mestilah diketahui dan ditentukan jenis barangannya secara spesifik yang diterima uruf.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kesannya, pembeli perlu menyerahkan semula barangan kepada penjual dan penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima.

Sebagai alternatif, sekiranya berlaku kesukaran dalam pemulangan barangan kerana telah digunakan atau sebagainya, maka perlu buat akad jual beli yang baru berdasarkan barang yang diterima dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredai dengan nilai bayaran yang diberikan.

 

Huraian Jawapan

Sebagai gambaran ringkas, “Mystery Box” atau Kotak Misteri merupakan suatu produk yang tidak diketahui barangannya secara spesifik. Ia dijual dalam pelbagai platform antaranya ShopeeLazada dan lain-lain. Juga dikenali dengan nama lain seperti “Kotak Teka-Teki” dan sebagainya. Kebiasaan modus operandinya, pelanggan akan membeli suatu barang yang diberi nama kotak misteri. Penamaan tersebut diberikan kerana pembeli berpotensi untuk memenangi suatu produk yang lumayan seperti telefon pintar yang mempunyai spesifikasi tinggi, alat solek berjenama, dan pelbagai lagi dengan nilai bayaran yang rendah.

Dalam masa yang sama, sekiranya pelanggan tidak bernasib baik untuk mendapat barang lumayan tersebut, mereka akan diberikan barang lain sebagai ganti yang mempunyai nilai yang lebih rendah daripada barangan yang diimpikan bahkan berkemungkinan mendapat barangan yang sangat rendah nilainya jika dibandingkan dengan duit yang dilaburkan[1].

Secara asasnya, bagi menentukan sesuatu jual beli atau perniagaan itu diterima oleh Syarak, ia hendaklah menepati dan memenuhi rukun dan syarat asas yang ditetapkan oleh Syarak.

Rukun-rukun jual beli ialah:

  • Pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
  • Sighah Akad (Ijab dan Qabul)
  • Barang jualan dan harganya

(Rujuk: al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 3/15)

Melihat kepada situasi di atas, jual beli tersebut tidak memenuhi rukun jual beli khusus berkaitan barang jualan. Huraiannya, para ulama menetapkan bahawa hendaklah setiap jual beli diketahui barang jualannya antara pembeli dan penjual.

Walaupun tidak disyaratkan mengetahui segenap aspek sehingga sekecil-kecil perkara barang tersebut, namun perlu diketahui maklumat asas berkenaan barang tersebut seperti jenis barangan, sifat dan bentuknya, dan lain-lain. Tidak dibenarkan menjual barangan yang tidak diketahui hakikat dan fizikalnya seperti “aku jual salah satu baju yang ada dalam kotak tersebut” kerana perniagaan sebegini mempunyai unsur ketidakjelasan yang keterlaluan (fahisy) dan boleh mengundang kepada pertelingkahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 6/19)

Pada dasarnya, jual beli barangan yang tidak spesifik mengandungi unsur gharar yang diharamkan dalam Islam berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan)”.

Riwayat Muslim (1513)

BACA:  Patuhi Tuntutan Agama. Usah Berlebih-Lebihan Meraikan Syawal

Seterusnya, sesuatu barang itu dianggap sudah diketahui apabila memenuhi beberapa kriteria. Utamanya ialah barang tersebut sudah dilihat dan dipilih oleh pelanggan sendiri secara spesifik. Oleh sebab itu, di sisi mazhab Syafie jual beli yang dilakukan oleh orang buta tidak sah melainkan diwakilkan kepada orang lain yang sihat penglihatannya kerana unsur ketidakjelasannya sangat nyata dan keterlaluan.

(Rujuk: al-Mu’tamad, 3/29)

Tambahan pula, jual beli ini mempunyai unsur perjudian kerana bergantung kepada nasib semata-mata. Konsep yang diketengahkan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya setimpal dengan harga yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan).

Justeru, sebarang jual beli “mystery box” seperti yang digambarkan di atas adalah tidak sah dan terbatal. Kesannya, pembeli perlu menyerahkan semula barangan kepada penjual dan penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima.

Sebagai alternatif, sekiranya berlaku kesukaran dalam pemulangan barangan kerana telah digunakan atau sebagainya, maka dicadangkan kepada kedua-dua pihak membuat akad jual beli yang baru dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredai dengan nilai bayaran yang diterima.

Akhir kata, umat islam sewajarnya mengelakkan diri daripada terpedaya dengan sebarang jenis perniagaan yang mengandungi keraguan yang nyata walaupun dikhabarkan akan mendapat sesuatu yang lumayan kerana perbuatan tersebut boleh mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam perkara yang dilarang dan ditegah oleh Syarak.

Wallahu a’lam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.