≡ Menu

Hukum Mengqada Solat Yang Ditinggalkan Sebelum Mumayiz. Baca Dahulu

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apa hukum seseorang ingin mengqadakan solat yang ditinggalkannya sebelum baligh kerana dia telah menjaga solatnya sejak kecil dan jarang meninggalkan solat kecuali beberapa kali sahaja?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum mengqada solat yang ditinggalkan sebelum baligh adalah sunat jika solat ditinggalkan tersebut pada zaman seseorang itu sudah mumaiyiz (mampu untuk membezakan yang baik dan yang buruk). Adapun jika ia pada zaman sebelum dia mumaiyiz, maka hukumnya haram.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Syarat wajib solat ialah beragama Islam, baligh dan berakal.[1] Oleh yang demikian, solat tidak diwajibkan ke atas sesiapa yang tidak mencukupi syarat tersebut seperti orang kafir, kanak-kanak yang belum baligh dan orang yang tidak siuman.

Jika mereka meninggalkannya, maka tidak berdosa. Walau bagaimanapun, hendaklah ibu bapa kanak-kanak yang belum baligh untuk menyuruh anaknya solat apabila sampai umur 5 tahun dan dipukul untuk memberi pengajaran apabila sampai umur 10 tahun jika dia meninggalkannya.[2] Hal ini berdasarkan satu hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Rasulullah SAW bersabda:

BACA:  Bagaimana Menerapkan Semangat Qurban Di Tempat Kerja. Barulah Kerja Lebih Berkat

مُرُوا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين، واضربوهم عليها وهم أبناء عَشْر، وفرقوا بينهم في المضاجع

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika mereka berusia (genap) tujuh tahun dan pukullah mereka (apabila mereka enggan melaksanakannya) apabila mereka mencapai usia (genap) sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.

(Riwayat Abu Daud: 490)

Berkaitan persoalan qada solat tersebut apabila seseorang telah baligh pula, maka hukumnya adalah sunat bagi solat yang ditinggalkannya pada zaman seseorang itu sudah mumaiyiz[3]. Adapun pada zaman sebelum mumaiyiz seperti pada zaman bayi dan selepas itu, maka tidak disunatkan, bahkan tidak sah dan haram.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam kitabnya Kasyifat al-Saja bahawa:

وثانيها: بلوغ بالسن أو بالاحتلام أو بالحيض فلا يجب القضاء على الصبي بعد البلوغ لكن يندب له إذا بلغ قضى ما فاته زمن التمييز إلى البلوغ دون ما قبله فإنه يحرم ولا ينعقد

BACA:  Penjelasan Malaysia Sudah Termasuk Dalam Lingkaran Api Pasifik

Maksudnya: (Syarat wajib solat) Kedua: Mencapai umur baligh, bermimpi basah atau datang haidh (bagi perempuan). Tidak wajib qada bagi kanak-kanak (atas solat yang ditinggalkannya) selepas baligh, akan tetapi disunatkan baginya apabila telah mencapai usia baligh untuk mengqadakan solat yang ditinggalkannya sejak daripada zaman mumayyiz sehingga baligh. Adapun sebelum zaman mumaiyiz itu maka hukumnya adalah haram dan tidak sah.[4] (Rujuk Kasyifat al-Saja: 119)

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] وشرائط وجوب الصلاة ثلاثة اشياء الإسلام والبلوغ والعقل وهو حد التكليف. (التذهيب في أدلة متن الغاية والتقريب)

[2] الثاني (البلوغ)؛ فلا تجب على صبي وصبية، لكن يؤمران بها بعد سبع سنين إن حصل التمييز بها، وإلا فبعد التمييز، ويضربان على تركها بعد كمال عشر سنين. (فتح القريب المجيب في شرح ألفاظ التقريب)

[3] Mumaiyiz ialah sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk (bukan kanak-kanak yang lazimnya setelah berumur tujuh tahun tetapi belum baligh). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[4] Muhammad Nawawi, t.t, Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, hlmn. 119

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.