≡ Menu

Hukum Menolak Permohonan Maaf Seseorang. Adakah Kita Berdosa?

Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya soalan berkenaan tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Saya ada seorang kawan baik, tapi tanpa saya sedari kawan saya ni sering tikam belakang saya, menjaja keburukan dan aib saya kepada orang lain. Apabila saya tahu, saya terus menjauhkan diri daripadanya dan sejurus selepas itu dia memohon maaf kepada saya. Berdosakah saya jika tidak mahu memaafkan dan kalau saya marah kepada dia? Selepas segala aib peribadi saya dia ceritakan kepada orang yang tidak sepatutnya? Saya mohon penjelasan tuan mufti untuk isu ini. Terima kasih sangat-sangat.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Secara umumnya, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi seseorang diharuskan untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Wallahua’lam.

 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak seperti menurut firman-Nya:

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Surah Ali-Imran (133-134)

Menurut Imam al-Qurtubi, perbuatan memaafkan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji. Sebagai contoh, manusia diharuskan untuk memberi kemaafan atau menuntut kembali haknya yang diambil, ataupun memberi kemaafan kepada orang yang menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukannya.[1]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan ayat ini tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia-manusia yang memaafkan orang lain yang berbuat jahat terhadap mereka walaupun mereka sebenarnya boleh sahaja untuk membalas kembali perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal yang cerdas, fikiran yang jitu, dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam.[2]

Berdasarkan tafsir di atas, seseorang manusia mempunyai hak untuk menuntut kembali apa sahaja perkara buruk yang dilakukan terhadapnya seperti kecurian, kehilangan harta benda, ejekan, dan lain-lain. Namun, Allah SWT memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja tidak mahu memaafkan.

Sebagai contoh, Allah SWT tidak menyukai perbuatan mahupun perkataan buruk serta sifat marah yang ditujukan kepada orang lain. Namun berbeza isunya jika perbuatan dan perkataan tersebut ditujukan kepada orang yang menzalimi manusia lain. Firman Allah SWT:

لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلْجَهْرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

Maksudnya: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Surah al-Nisa (148)

Imam al-Maturidi menjelaskan bahawa dalil di atas merupakan larangan untuk menghina dan mencaci seseorang. Tetapi jika seseorang itu dizalimi atau dihina terlebih dahulu, maka tidak mengapa untuk menghina kembali atau mendoakan keburukan kepada pelaku perbuatan buruk tersebut. Namun sebaik-baiknya lebih afdal jika memaafkan kesalahan tersebut.[3]

Oleh yang demikian, jelas bahawa tidak mengapa seseorang untuk membalas perbuatan keburukan yang dilakukan terhadap kita, tetapi dengan syarat haruslah setimpal dan tidak melebihi batasan.

Walaupun begitu, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada umat Islam untuk menjaga hati dari sifat yang keji dengan cara memaafkan kesalahan orang lain, terutama sekali jika membabitkan hubungan persaudaraan. Jika seorang memohon maaf kepada saudaranya atas kesalahan yang dilakukan, maka yang lebih utama adalah memaafkannya.[4]

BACA:  Ambil Teladan Pada Zaman Rasulullah Tolak Rasuah Walaupun Sekecil-Kecil Kurma

Kesimpulan

Justeru, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi diharuskan bagi seseorang untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Wallahua’lam.

 

Rujukan:

[1] Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (2010: Kaherah), Cetakan Darul Hadis,

العفو عن الناس أجل ضروب فعل الخير، حيث يجوز للإنسان أن يعفو وحيث يتّجه حقه، وكل من استحق عقوبة فتركت له فقد عفي عنه

[2] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (1991: Beirut), Cetakan Dar al-Maa’sir,

والعافين عن الناس أي الذين يتسامحون ويعفون عمن أساء إليهم مع القدرة على ردّ الاعتداء، وتلك منزلة ضبط‍ النفس التي تدلّ على سعة العقل ورجاحة الفكر وقوة الإرادة ومتانة الشخصية، وهي أرقى من كظم الغيظ‍، إذ ربما كظم المرء غيظه على الحقد والضغينة

[3] Al-Maturidi, Tafsir al-Maturidi: Ta’wilat Ahlus Sunnah. (Beirut: 2005). Cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah.

قَالَ بَعْضُهُمْ: (لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ) من الدعاء إلا من ظلم؛ فإنه لا بأس أن يدعوا إذا كان مظلومًا

وقال آخرون: (لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ) هو الشتم؛ أخبر أنه لا يحب ذلك لأحد من الناس، ثم استثنى (إلا مَنْ ظُلِمَ) واعْتُدِيَ عليه؛ فإن رد عليه مثل ذلك، فلا حرج عليه.

وكذلك قال ابن عَبَّاسٍ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – قال: (لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ) أن يشتم الرجل المسلم في وجهه، إلا أن يشتمه فيرد كما قال، وذلك قول اللَّه – عَزَّ وَجَلَّ -: (إِلَّا مَنْ ظُلِمَ)، وإن يعفو فهو أفضل.

[4] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya Ulumuddin. (Beirut). Cetakan Darul Ma’rifah.

أما زَلَّتُهُ فِي حَقِّهِ بِمَا يُوجِبُ إِيحَاشَهُ فَلَا خِلَافَ فِي أَنَّ الْأَوْلَى الْعَفْوُ وَالِاحْتِمَالُ

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.