Tahun ini umat Islam berpeluang kembali menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah. Pusat Konvensyen Movenpick, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa minggu ini kembali meriah dengan suasana penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.
Masing-masing begitu teruja selepas dua tahun hasrat menunaikan ibadah fardu tersebut terpaksa ditangguhkan akibat wabak pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia. Pemergian bakal haji diiringi dengan perasaan sebak dan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan rezeki menunaikan haji pada kali ini. Sama ada baru pertama kali atau beberapa kali ke Tanah Suci, hakikatnya setiap Muslim mempunyai niat dan menyimpan cita-cita untuk melaksanakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Masing-masing mengimpikan perasaan damai dan menenangkan mahu melihat sendiri Kaabah dan Masjidil Haram tersergam indah di depan mata.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Islam diasaskan atas lima perkara, iaitu: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu mengunjunginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tuntutan menunaikan ibadah haji dijelaskan dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.’ Istita’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merangkumi kemampuan dari segi rohani dan fizikal seperti kewangan, kesihatan, keselamatan dan urusan perjalanan ke Makkah.
Dari aspek persediaan rohani, bakal jemaah haji hendaklah mengikhlaskan niat kerana Allah, melatih diri dengan sifat sabar, memohon keampunan dan kemaafan sesama manusia serta menyucikan diri dan bertaubat kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Ayat tersebut mengingatkan kita semua agar memperbetulkan niat untuk beribadah bukan bertujuan mendapatkan status atau bercuti dan melancong semata-mata. Justeru umat Islam harus mengambil peluang dan memanfaatkan masa dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadah seperti solat dan berdoa memohon segala hajat dan keampunan di samping merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung Allah SWT, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah SWT perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah SWT ampunkan mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)
Selain itu, jemaah juga perlu menjauhkan diri daripada sifat riyak dan mempamerkan ibadah yang dilakukan kepada khalayak untuk bermegah-megah agar pahala amalan tidak menjadi sia-sia.
Ibadah haji membawa mesej dan pengajaran yang amat penting tentang kesatuan ummah yang harus dihayati oleh seluruh umat Islam. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun kita adalah umat yang satu dan menyembah Tuhan Yang Esa iaitu Allah SWT dan mengikuti sunah Baginda Nabi Muhammad SAW.
Umat Islam perlu mengambil iktibar betapa pentingnya memelihara kesatuan dan perpaduan serta memahami tentang kedudukan manusia yang sama di sisi Allah SWT. Perkara yang membezakan darjat manusia di sisi Allah hanyalah ketakwaan yang dimilikinya. Penyatuan ummah dari seluruh pelosok dunia bukan hanya melancarkan proses ibadah dan aktiviti spiritual yang dilakukan, tetapi juga lambang kekuatan dalam mempertahankan ajaran Islam pada setiap masa.
Jauhkanlah diri daripada perbuatan yang membatalkan ibadah haji dan perlakuan buruk dan terkeji ketika menunaikan haji seperti berkelahi, berbalah, memaki hamun dan mencerca serta pelbagai perbuatan mungkar yang menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah lain. Sekiranya perbuatan tersebut tidak dijaga, dikhuatiri akan merencatkan usaha kita untuk memperoleh haji yang mabrur.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa).” (Riwayat Al-Bukhari)
Kemudian pulanglah ke tanah air dengan membawa keberkatan dalam amalan yang telah dilaksanakan di Makkah melalui hijrah dan perubahan diri kepada kebaikan. Perbanyakkan bersedekah, melazimi solat berjemaah dan mengimarahkan masjid, menjauhi perbuatan mungkar dan sia-sia serta beristiqamah melakukan kebaikan.
Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari)
Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam melaksanakan amalan sebagai bekalan akhirat.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan tersebut dan dikurniakan haji yang mabrur. Buat seluruh umat Islam di Malaysia, doakanlah keselamatan dan kesejahteraan semua para tetamu Allah.
Bagi yang belum berpeluang ke Tanah Suci, berdoalah agar diberikan peluang dan rezeki untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”