Dalam kita beramal, ikhlas merupakan rukun yang menjadi pra syarat amal seseorang diterima. Firman Allah:
وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya (ikhlas) dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus. (Al-Bayyinah 5).
Ciri-ciri Ikhlas:
1. Sentiasa beramal dan bersungguh-sungguh dalam beramal, sama ada ketika bersendirian ataupun bersama orang ramai, baik ada pujian ataupun celaan.
Kata Saidina Ali bin Abi Thalib RA. : “Orang yang riya memiliki beberapa ciri; malas jika bersendirian dan rajin jika di hadapan banyak orang. Semakin berghairah dalam beramal jika dipuji dan semakin berkurang jika dicela.”
2. Terjaga dari segala yang diharamkan Allah, baik dalam keadaan bersama manusia lain atau jauh dari mereka.
Tsauban RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda;
لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا قَالَ ثَوْبَانُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ قَالَ أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنْ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا
“Sungguh saya telah mengetahui bahwa ada suatu kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih. Kemudian Allah menjadikannya debu yang berterbangan.” Tsauban bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka dan jelaskanlah perihal mereka agar kami tidak menjadi seperti mereka tanpa disedari.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka adalah saudara kalian dan dari golongan kalian, mereka solat malam sebagaimana kalian, tetapi mereka adalah kaum yang jika bersendirian mereka melanggar hal yang diharamkan Allah.” (HR. Ibnu Majah). Status Hadis Sahih
3. Seorang yang ikhlas akan merasa senang jika kebaikan dimiliki saudaranya, sebagaimana dia juga merasa senang jika dia memperolehinya.- (tak dengki dan khianat)
4. Orang yang ikhlas akan sedar kelemahan dan kekurangannya. Oleh kerana itu dia sentiasa beramal dan memperbaiki amal bukan untuk meraih populariti dan membesarkan diri.
Perlu juga diingat bahawa Ulama seperti Fudhail bin Iyadh memberikan batasan:
“Meninggalkan amal kerana manusia itu riya, takut dilihat orang sehingga tidak mahu beramal itu juga riya, sementara beramal kerana manusia itu syirik, dan ikhlaslah yang menjadi penyebab terlepas dari keduanya.”