≡ Menu

Ilmu Yang Tidak Bermanfaat. Awaslah, Sebaik-Baik Ilmu Itu Mendatangkan Kebaikan

“Iqra!”

Ia bermaksud “bacalah”. Inilah kalimah yang menjadi sandaran utama dalam Islam tentang pentingnya usaha mencari ilmu bagi seorang Muslim. Sekian banyak anjuran serta pemberitahuan tentang kelebihan menuntut ilmu yang boleh kita temui daripada nas Al-Quran dan hadis, antaranya malaikat akan mendoakan orang yang menuntut ilmu, malah mereka juga akan dimudahkan jalannya ke syurga.

Walau bagaimanapun, jangan kita lupa bahawa fitnah ilmu juga wujud.

Bagaimana?

Iaitu ilmu yang menjadikan seseorang itu ego, angkuh, atau ilmu yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri dan juga orang lain.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Memetik perkongsian Ustaz Hasrizal di laman web miliknya, beliau menukilkan kata-kata Sheikh Fadhl Hasan ‘Abbās (meninggal dunia 9 Februari 2011) di dalam Khumāsiyyāt Mukhtārah fī Tahdzīb al-Nafs al-Ammārah yang menyatakan bahawa ilmu yang terpisah daripada iman, menjadi sebab seseorang itu bersikap angkuh dan melampau.

Ini 4 Ciri Ilmu Yang Tidak Bermanfaat oleh Syeikh Abdurrahman bin Naasir al-Sa’di.:

#1- Ilmu Yang Jelas Membawa Keburukan

Pertama, ia dikira sebagai ilmu yang berbahaya dan mendatangkan keburukan contohnya ilmu sihir yang jelas diharamkan dalam Islam. Contoh lain adalah seseorang yang membaca buku yang mengandungi kesesatan namun dia masih belum memiliki ilmu aqidah yang benar sebagai senjata untuk melindungi dirinya.

BACA:  10 Pintu-Pintu Rezeki Yang Perlu Kita Tahu

#2- Ilmu Duniawi Yang Melalaikan Daripada Tanggungjawab

Kedua adalah keadaan di mana seseorang sibuk mencari ilmu duniawi sehingga akhirnya kesibukan tersebut menjadikan dia lalai daripada hal-hal yang utama.

Contohnya, kesibukan dia dalam mencari ilmu dunia telah menjadikan dia lalai daripada mendirikan solat tanpa sebarang keuzuran, atau lalai untuk menjalankan tanggungjawab kepada ibu bapa atau ahli keluarga. Dalam situasi ini, ilmu yang diperoleh juga dikira tidak bermanfaat di sisi Islam.

#3- Ilmu Agama Yang Tidak Diamalkan

Seterusnya ilmu agama juga dikira tidak bermanfaat bagi seseorang jika dia tidak mengamalkannya. Dia tahu yang mana yang baik dan yang mana buruk, yang mana benar, yang mana salah namun menolak serta tidak mengamalkannya.

#4- Ilmu Yang Menyebabkan Tidak Mahu Ambil Tahu Tentang Ilmu Agama

Yang terakhir, pengajian ilmu moden seperti fizik, sosiologi, ekonomi, bahasa asing dan lain-lain juga dikira tidak bermanfaat jika ia menyebabkan seseorang itu tidak mengendah tentang ilmu agama atau terus berpaling daripada ilmu agama.

Seseorang yang terperangkap dalam perkara ini boleh menjadi keliru serta semakin menolak perkara-perkara daripada nas Al-Quran dan sunnah kerana dianggap ketinggalan zaman dan tidak tidak seiring dengan ilmu moden.

BACA:  Fahami Al-Quran, Dalami Hadis. Barulah Betul Kita Ikut Sunnah

Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kita satu doa agar kita boleh berlindung daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ

(Allahumma inni a’udzubika min ilmin la yanfa’, wa min qolbin la yakhsya’, wa min nafsin la tasyba’, wa min du’a in la yusma’)

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari jiwa yang tidak merasa puas, dan dari doa yang tidak didengar (tidak dikabulkan).” (HR. Abu Dawud no. 1548, An-Nasa’i no. 5536, dan Ibnu Majah no. 3837 – Hadis ini sahih)

Setiap perkara akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak, termasuk dalam hal ilmu. Semoga kita berusaha memupuk taqwa dalam mencari ilmu, mengamalkan ilmu serta menyebarkan ilmu.

“Kemuliaan ilmu itu bukanlah pada sekadar mengetahuinya. Tetapi ia mestilah disertakan dengan niat yang baik, beramal dengannya dan menyebarkannya Lillahi Taala”(Imam Birgivi)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.