Pengampunan Allah Terhadap Dosa Masih Tersedia
وَمَن یَفۡعَلۡ ذَ ٰلِكَ یَلۡقَ أَثَامࣰا * یُضَـٰعَفۡ لَهُ ٱلۡعَذَابُ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَیَخۡلُدۡ فِیهِۦ مُهَانًا
“Dan sesiapa yang melakukan yang demikian (dosa-dosa itu), akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan” [Surah al-Furqan 68-69]
Setiap pendosa akan menerima pembalasannya daripada Allah swt di akhirat kelak. Jika dosa yang dilakukannya besar maka balasannya setimpal dan digandakan azab. Jika dosanya kecil maka azabnya setimpal dengan dosa dan kesalahannya.
Ketahuilah bahawa azab Allah itu tersangat keras.
أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُمۡ عَذَابࣰا شَدِیدًاۖ إِنَّهُمۡ سَاۤءَ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ
“Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan” [Surah al-Mujadilah 15]
فَیُعَذِّبُهُ ٱللَّهُ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَكۡبَرَ
“Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya” [Surah al-Ghashiyah 24]
Namun begitu, Allah swt masih memberi peluang dan membuka ruang taubat bagi mereka yang melakukan dosa. Dengan taubat yang sebenar-benar taubat mereka akan terlepas daripada ancaman azab dan seksaan yang disebutkan.
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلࣰا صَـٰلِحࣰا فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَیِّـَٔاتِهِمۡ حَسَنَـٰتࣲۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [Surah al-Furqan 70]
Ketahuilah bahawa sifat rahmat dan Maha Pengampun Allah melebihi kemurkaanNya.
وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَكِیمٌ
“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi)” [Surah an-Nur 10]
إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ
“Sesungguhnya Tuhanmu sangat luas pengampunannya” [Surah an-Najm 32]
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ
“RahmatKu amat luas meliputi segala sesuatu” [Surah al-A’raf 156]
Sabda Nabi saw: “Seandainya kalian berbuat dosa sehingga tompokan dosa itu setinggi langit kemudian kalian benar-benar bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubat kalian” (Sahih Ibnu Majah)
Ingatlah bahawa dosa penyebab kebinasaan dan taubat menjadi penyelamat daripada azab seksaan. Bertaubatlah selagi masih berpeluang!!