Hidup di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini, pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripadanya.
Kematian akan datang bila sampai ajalnya tanpa terlewat atau tercepat walau sesaat pun. Tidak ada sesiapa pun mengetahui bila dan di mana dia akan meninggal dunia. Ada yang diberikan alamat dengan didatangkan sakit namun tidak kurang yang mati ketika dia sihat dan tiada tanda sakit. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (Surah Ali Imran ayat 185).
Kita diingatkan tentang kehidupan di dunia yang sementara. Di hari akhirat adalah penentu sama ada kita dimasukkan ke Syurga atau ke Neraka. Jangan terpedaya dengan kehidupan di dunia sehingga melupakan akhirat. Dunia adalah tempat mencari bekalan untuk kehidupan di hari akhirat yang kekal abadi, bukan tempat bersuka ria.
Qatadah ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan: dunia ialah kesenangan yang pasti akan ditinggalkan. Jika kalian mampu, ambillah dari kesenangan itu untuk melakukan ketaatan.
Dr Wahbah al-Zuhaili menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:
Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.
Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberikan sesuatu melainkan penyesalan.
Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.
Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizik, dan lain-lain.
Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/353)
Kematian bukan penyudah kehidupan insan. Setiap yang kita lakukan semasa hidup di dunia sama ada baik mahupun buruk akan menerima ganjaran dan balasan yang seadilnya di hari kiamat nanti.
Marilah kita menjadikan kehidupan di dunia untuk menyediakan bekalan kehidupan yang abadi di akhirat dengan memperbanyakan amal soleh sebelum kematian menjemput kita.