≡ Menu

Integriti Itu Cerminan Ketaqwaan Seseorang Muslim. Jagalah Sebaiknya.

Salah satu daripada kualiti yang dituntut terhadap seseorang pemimpin ialah memiliki integriti yang tinggi. Integriti mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud “kejujuran”, “ketulusan”, “keadaan sempurna dan utuh atau keutuhan” dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. Dari segi etimologi, kalimah yang berasal daripada perkataan Inggeris “integriti” yang diserap ke dalam bahasa Melayu ini berasal daripada kalimah Latin “integer” yang membawa maksud “penuh” (whole) “utuh” (intact). Daripada “integer” ia berubah kepada “integritatem” (Latin) dan kemudiannya “integrité (French Lama) dan diserap ke dalam bahasa Inggeris sekitar 1400an sebagai “integrity” kata nama yang membawa maksud “tidak bersalah” (innocence), suci bersih (chastity and purity).

Dalam bidang matematik, kita juga menemui angka-angka yang dikategorikan sebagai angka “integer”. Angka integer ini membawa maksud angka yang sempurna, penuh tanpa ada pecahan atau perpuluhan sama ada daripada set angka positif atau pun negatif. Ia berbeza dengan angka-angka yang ada pecahan atau perpuluhan.

Adapun integriti yang diterima pakai dalam masyarakat hari sebagai sebuah konsep merujuk kepada “amalan yang jujur dan konsisten tanpa kompromi dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip etika dan nilai-nilai luhur”. Ternyata dalam konsep itu sudah terangkum dalamnya makna asal kalimah tersebut iaitu “penuh”, “utuh” dan “sempurna”. Dalam erti kata lain,  prinsip nilai dan etika seseorang itu kekal utuh, sempurna tidak berpecah mahupun tergores sedikit walau, di sebalik segala godaan yang cuba menggugat pegangan murni seseorang itu. Di antara sekian banyak kalimah yang membawa maksud berlawanan dengan “integriti” ialah “hipokrasi” iaitu berpura-pura baik, atau kemunafikan. Ini kerana orang munafik bukan orang yang tidak tahu nilai-nilai baik dan prinsip kejujuran tetapi mereka menepikannya dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai yang diketahui kebenarannya.

Tokoh Inggeris yang terkenal C.S. Lewis pernah mengungkapkan makna integriti ialah “melakukan sesuatu yang baik, walaupun tiada orang melihatnya”. Kata-kata sebegitu sudah cukup baik khususnya bagi mereka yang tidak berpegang kepada agama, dan tidak percaya kepada kewujudan Tuhan kerana ia menggambarkan berpegang teguh kepada prinsip kebaikan dan nilai diri yang kuat itu lebih mulia daripada melakukan sesuatu kebaikan demi kerana manusia. Namun, bagi orang Islam, melakukan kebaikan apabila tidak dilihat orang lain itu bukanlah sesuatu yang istimewa kerana pertamanya, umat Islam diajar sejak kecil lagi bahawa Allah SWT itu Maha Melihat (al-Basar) dan Maha Mengetahui (al-Alim) apa jua yang dilakukan oleh manusia sama ada di depan orang ramai atau sendirian, bahkan lintasan hati pun diketahui oleh Allah SWT. Kedua, setiap sesuatu yang dilakukan bukan kerana mengharapkan pujian atau mengelakkan daripada mendapat celaan manusia tetapi sebaliknya mencari keredaan Allah SWT.  Mencari keredaan Allah SWT itulah matlamat utama setiap umat Islam yang hidup di dunia ini. Jika melakukan kebaikan untuk mendapat pujian manusia atau ganjaran duniawi itu sudah termasuk dalam perlakuan riak yang diharamkan dalam Islam, bahkan dikira sebagai syirik kecil.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Umat Islam tidak memerlukan pemantauan orang lain atas perlakuan dirinya apatah lagi memerlukan CCTV agar tidak melakukan pengkhianatan, kerosakan atau kejahatan. Memadai baginya Allah SWT yang memantau dirinya di mana sahaja dia berada walaupun tiada orang lain bersamanya atau di tempat yang tiada CCTV sekalipun.

Ternyata jelas kepada kita di sini pertalian erat antara integriti dan takwa. Takwa bukan sekadar melakukan kebaikan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT, tetapi takwa itu termasuklah memiliki kesedaran ketuhanan yang tinggi bahawa Allah SWT sentiasa memerhati kita sepanjang masa sehingga kita tidak berani untuk lalai apatah lagi melakukan maksiat terhadapnya. Oleh sebab itulah takwa itu nilai paling utama setiap insan seperti mana disebut dalam al-Quran, Surah al-Hujurat ayat 13: “Orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa.”

Justeru itu, integriti yang termasuk dalam sebahagian daripada unsur-unsur ketakwaan menuntut kejujuran dalam segenap aspek kehidupan kita sama ada kita bersama khalayak ramai mahupun ketika bersendirian. Termasuklah kejujuran itu tidak mengambil sesuatu yang tidak pasti miliknya, apatah lagi mengambil rasuah yang jelas sekali haram dan bukan miliknya. Seseorang yang mengambil atau memberi rasuah jelas seorang yang tiada integriti dan malangnya ia semakin membarah dalam masyarakat kita hari ini dalam segenap sektor dan bidang, daripada rasuah yang beberapa puluh ringgit kerana kesalahan trafik, kepada jutaan dan bilion ringgit.

BACA:  Penemuan Terbaru, Covid-19 Memberi Kesan Buruk Terhadap Kesuburan Lelaki

Islam ajaran yang amat jelas mengharamkan rasuah dan menuntut integriti, namun umat Islam antara yang paling kuat terlibat dengan rasuah. Baginda SAW telah meninggalkan contoh tauladan yang tinggi dalam hal integriti ini namun malangnya tidak ramai yang mencontohi Baginda SAW. Pernah satu ketika Nabi SAW ternampak sebiji buah kurma di jalanan, lalu Baginda SAW bersabda: “andai kata aku tidak bimbang kurma tersebut adalah daripada harta zakat, nescaya aku mengambil dan makannya” Dalam Riwayat yang lain Baginda SAW ternampak cucunda tersayang, Sayidina Hasan memasukkan sebiji kurma ke dalam mulutnya, lantas Baginda bergegas dan mengeluarkan daripada mulut Hasan seraya bersabda “tidakkah kamu ketahui keturunan kita Bani Hashim (keturunan Baginda SAW) tidak boleh makan harta zakat?”

Apakah yang boleh dipelajari daripada kisah ini? Nabi SAW menunjukkan kepada kita bahawa kita perlu mempunyai integriti yang tinggi walaupun dalam hal sekecil dan seremeh buah kurma. Jika sekecil kurma itu pun tidak boleh mengambilnya atau dimasukkan ke dalam tubuh badan kita kerana ia bukan milik kita, apatah lagi rasuah yang jelas dan nyata bukan milik kita bahkan diharamkan Allah SWT.

Nabi SAW ialah manusia paling bertakwa dan paling tinggi integriti. Nilailah diri sendiri sejauh mana integriti kita kerana di situ jugalah cerminan ketakwaan kita.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.