≡ Menu

Islam Ke Hadapan Atau Ke Belakang?

Hendaknya kenyataan Syeikh Al-Azhar yang tersiar di dalam akhbar pada 19 Ogos, 1998 tentang kesederhanaan dalam Islam tidak pula menimbulkan salah faham dan dikelirukan pengertian serta konsepnya oleh mana-mana pihak, atau ditafsirkan sebagai satu kelonggaran terhadap ajaran Islam.
Hal ini sering dijadikan isu oleh sesetengah orang Islam sendiri tanpa mengkaji secara menyeluruh tentang konsep kesederhanaan Islam dan apakah yang dimaksudkan serta implikasi konsep kesederhanaan Islam terhadap ajaran dan hukum-hukum agama sendiri.

Sebab itulah saya fikir ketika menyatakan hal ini maka beliau juga menegaskan bahawa Islam ini haruslah difahami berasaskan penguasaan ilmu dan kerjasama ikhlas di kalangan anggota masyarakat dari segenap peringkat.

Di Malaysia sebenarnya konsep kesederhanaan itu merupakan amalan kita selama ini. Kita berjaya mengasas dan membentuk serta membangunkan masyarakat kita dengan aman makmur adalah berasaskan amalan bertolak ansur dan berbaik-baik antara satu sama lain yang diperintahkan oleh agama. Kita dapat mengelakkan pendirian dan sifat agresif di kalangan anggota masyarakat kita adalah juga berpandukan semangat hidup bersama dan tolong menolong yang dianjurkan oleh agama kita.

Corak pembangunan sosial, politik dan ekonomi kita amat banyak dipengaruhi oleh tradisi kelembutan dan tatasusila kita yang sebenarnya dipengaruhi oleh nilai-nilai agama kita yang diwarisi turun temurun mulai dari zaman kehadiran Islam di negara ini. Ketika para duta negara-negara Kesatuan Eropah mengemukakan cadangan mereka kepada saya untuk dianjurkan satu persidangan tentang Eropah dan Dunia Islam tidak lama dulu, maka mereka menjelaskan bahawa mereka mahukan IKIM menganjurkan persidangan tersebut ialah kerana amalan dan pembangunan Islam serta umatnya di Malaysia adalah amat unik dan merupakan satu contoh terbaik bagi sebuah negara berbilang etnik yang berjaya meletakkan Islam dalam arus perdana dan dalam masa yang sama mengekalkan kestabilan dan kerjasama secara produktif dari semua kaum di Malaysia.

Mereka juga mahu para perwakilan dari negara-negara Eropah datang melihat sendiri di Malaysia bagaimana amalan nilai-nilai sejagat Islam dapat memberi sumbangan yang positif ke arah perpaduan bangsa Malaysia berasaskan konsep kesederhanaan, toleransi dan kerjasama yang erat di antara mereka.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Elvin Toffler, penulis futureristic barat, yang baru-baru ini melawat Malaysia lagi, dalam lawatannya ke IKIM pada tahun 1993 menyatakan bahawa dari penelitian dan kajiannya ternyata bahawa wajah Islam di Malaysia amat berbeza sekali dari wajah Islam di sesetengah negara Islam yang lain. Malaysia mengalami kestabilan kaum, perdamaian, toleransi dan kebebasan beragama meskipun Islam merupakan agama rasmi negara. Beliau memberi contoh tentang kesederhanaan amalan Islam di Malaysia ketika rakyat Malaysia sering dapat menyelesaikan masalah dalaman dan luaran di meja perundingan dan musyawarah bukan secara kekerasan dan keganasan, kaum wanita secara bersopan dan bermaruah dapat menceburkan diri di dalam berbagai-bagai aktiviti pembangunan politik, ekonomi, sosial dan lain-lain tanpa sekatan yang amat ketara.

BACA:  Body Shaming Ni Dah Wujud Zaman Rasulullah. Dan Baginda Sangat Membencinya

Pendeknya dilihat dari berbagai-bagai kenyataan di atas, jelas sekali bahawa Islam di Malaysia dari segi konsep dan amalannya sedang berada di landasan yang betul dalam perjalanannya menuju ke arah kesempurnaan dan pembangunan yang lebih mantap, dan kita amat berbangga dengan pandangan dan penilaian-penilaian dari tetamu-tetamu kita itu.
Bagaimana menoleh ke belakang melihat kecemerlangan dan persepsi positif tentang Islam di Malaysia tidak memberi jaminan tentang persepsi Islam yang sama pada hari ini dari pandangan segelintir masyarakat Islam di negara kita sendiri.

Kalau dalam satu dua dekad yang lalu pembangunan Islam amat positif di kalangan masyarakat yang lebih profesional dan yang memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam membentuk persepsi dan memahami agamanya, dan hal ini telah berjaya membuktikan bahawa perkembangan Islam telah dapat melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, maka pada hari ini kita tidak tahu apakah langkah ke hadapan itu benar-benar mara dan maju ke hadapan, atau kerana sebab-sebab yang tertentu dan tafsiran-tafsiran yang tertentu, maka perkembangan Islam hari ini kian mundur ke belakang dan kembali ke abad silam.

Untuk lebih mudah memahami isu ini dengan contoh yang mudah juga, Islam sekarang telah dipisahkan dari pemikiran oleh sesetengah pihak yang melihat Islam sebagai satu petua yang mengandungi hukum hakam, halal haram sahaja. Ada orang yang bertanya adakah boleh orang Islam yang tinggal di tingkat bawah di rumah pangsa menyimpan kitab suci al-Quran, kerana di tingkat atas terdapat penghuni lain, jadi pada setiap hari al-Quran itu “dipijak” atau “dilangkah” oleh orang-orang di tingkat atas? Pertanyaan ini membawa maksud bahawa orang-orang yang menghuni di tingkat paling atas sahaja yang boleh menyimpan al-Quran, tidak orang yang di tingkat bawahnya. Adakah persoalan ini perlu ditimbulkan, sedangkan fikiran kita sendiri dapat membezakan erti “melangkah” dan “memijak” al-Quran yang dalam persoalan ini tentulah tidak timbul soal melangkah atau memijak al-Quran.

Di samping itu terdapat kalangan yang amat ghairah untuk menyampaikan dakwah dengan berbagai-bagai cara yang membangkitkan emosi dan perasaan takut seperti yang berlaku ketika isu mayat menjadi khinzir yang diheboh-hebohkan dulu, atau memperalatkan mimpi yang kononnya dialami oleh ulamak tentang kejadian luar biasa yang akan berlaku kepada masyarakat dan negara akibat dari kelalaian dan “penyisihan” Islam seperti malapetaka yang akan berlaku kepada pemimpin negara dan perayaan-perayaan tertentu seperti hari pembukaan SUKOM yang dikatakan bahawa segala bunga api yang ditembak ke udara akan turun dalam bentuk peluru dan bom yang akan membinasakan orang ramai.

Malah baru-baru ini timbul isu yang kononnya dipetik dari seorang peguam tentang kepalsuan ayat-ayat al-Quran dari satu sindiket yang hendak menyelewengkan agama dan menimbulkan kekeliruan kepada orang-orang Islam, memurtadkan orang-orang Isalm dan sebagainya.

Isu-isu yang disebarkan dengan meluas ini, sedikit sebanyak telah memberi warna baru kepada wajah Islam di Malaysia pada hari ini, yang saya rasa bukan menambahkan kecantikannya, malahan mencemar dan memburukkannya lagi, dan sekaligus membuat kita berfikir apakah perkembangan Islam di Malaysia pada hari ini sedang menuju ke hadapan atau sedang mundur ke belakang? Apakah menyebar Islam itu perlu digunakan jalan-jalan ngeri dan takut yang tidak berasas? Apakah Islam dapat dikembangkan berdasarkan khayalan, cerita-cerita yang tidak masuk akal, berdialog dengan jin dan sebagainya? Apakah orang-orang profesional yang mengaku diri sebagai pendakwah harus memperalatkan ulamak untuk menjaja dan melariskan kaset ceramahnya yang mengandungi tuduhan dan kutukan terhadap orang lain semata-mata?

Hal inilah sebenarnya yang terpesong dari konsep kesederhanaan yang dimaksudkan itu dan yang membawa kita kembali ke abad silam dalam memahami agama kita.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.