Isu rasuah dan salah guna kuasa seringkali menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan masyarakat mutakhir ini. Banyak sekali kes dilaporkan berlaku membabitkan individu yang mengkhianati tanggungjawab atau amanah diberi.
Di media juga kerap kali dipaparkan mengenai tangkapan demi tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat rasuah dan salah guna kuasa.
Ironinya, ia bukan hanya membabitkan kakitangan di peringkat bawahan, malah juga mereka yang berada di puncak kuasa. Kes juga berleluasa dalam kalangan penjawat awam atau penguat kuasa yang sepatutnya menegakkan undang-undang.
Lantas, persoalan besar berlegar di minda – mengapakah begitu ramai sekali yang terjebak rasuah dan salah guna kuasa? Apakah nilai amanah dan integriti dalam diri masing-masing semakin terhakis?
Dalam Islam, konsep amanah dan integriti sangat ditekankan sebagai acuan hidup bermasyarakat dan negara. Konsep ini jelas terpakai bukan hanya untuk mereka yang beragama Islam, malah meliputi sesiapa saja dengan apa pun anutan dan fahaman.
Realiti harus diterima bahawasanya amanah dan integriti adalah dua perkara penting yang menjadi cerminan kepada keimanan seseorang Muslim.
Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata kedua-dua perkara ini harus menjadi inti pati serta pegangan hidup setiap insan dalam memastikan keindahan kehidupan baik di dunia mahu pun akhirat.
Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan melalui hadis yang bermaksud, “Tiada iman bagi orang yang tidak amanah dan tak beragama orang yang tidak menunaikan janji” (HR Ahmad).
Umum sedia tahu, dewasa ini sering dipaparkan mengenai isu tercalarnya integriti dalam masyarakat negara kita.
Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 sendiri meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, jatuh enam anak iaitu berbanding ke-51 pada tahun sebelumnya.
Kamarudin mengakui, statistik kes rasuah dan salah guna guna kuasa serta penurunan penarafan Malaysia melalui CPI memberi cerminan buruk kepada tahap integriti masyarakat kita.
“Rasuah dan salah guna kuasa perlu dihindar dan disisihkan daripada menjadi amalan serta kebiasaan yang berterusan.
“kita tidak mahu amalan yang meruntuhkan integriti serta sikap tidak amanah ini menjangkiti generasi muda yang bakal menjadi pelapis dan meneruskan kepimpinan keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Ditanya mengenai punca kerosakan ini berlaku, beliau percaya keinginan menjalani gaya kehidupan yang mewah, sehingga menanggung bebanan hutang yang banyak, selain berusaha mengejar pangkat dan kedudukan antara punca hilangnya jati diri individu Muslim.
Situasi berkenaan, katanya akhirnya menyebabkan ramai yang mudah terjebak ke lembah kehinaan seperti rasuah dan sogokan wang haram yang meruntuhkan institusi masyarakat.
“Impak keruntuhan integriti ini bukan sekadar mendatangkan kesan negatif kepada individu, malah turut menjejaskan institusi.
“Sebagai contoh jika berlaku dalam perkhidmatan awam, ia akan menyebabkan kehilangan pendapatan besar kepada negeri serta negara. Ini sekali gus membantutkan keperluan dan sumbangan serta faedahnya kepada pembangunan komuniti secara menyeluruh,” katanya.
Kamarudin berkata, Islam secara hakiki tidak pernah melarang untuk seseorang atau sesiapa sahaja hidup mewah, namun syaratnya biarlah dengan cara dan jalan yang betul iaitu menerusi sumber pendapatan yang dianggap syarie.
“Berhutang juga diharuskan, tetapi perlulah berusaha untuk membayarnya daripada sumber pendapatan yang halal meskipun memerlukan jangka masa yang lama.
“Jangan sesekali mengambil jalan pintas untuk melangsaikan hutang dengan rasuah dan melakukan kes pecah amanah,” katanya.
“Islam juga membolehkan seseorang itu memiliki jawatan tinggi atau naik pangkat, tetapi biar ia mengikut saluran yang betul dan atas kemampuan serta kelayakan sendiri. Elakkan naik pangkat dengan saluran salah, melalui rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Menjelaskan pandangan Islam, beliau mengakui agama memandang serius isu integriti dan atas sebab itu, kerajaan diberi hak (takzir) dalam melaksanakan hukuman ke atas pesalah rasuah.
Katanya, ini termasuklah melaksanakan hukuman seperti didenda, penjara, sebatan mengikut had, merampas harta dan buang negeri.
Abdullah bin Amru meriwayatkan bahawa Nabi SAW melaknati pemberi dan pemakan rasuah.
Justeru, bagi memastikan integriti dijulang dan konsep kejujuran dipertahankan, setiap daripada kita perlu kepada penekanan beberapa perkara.
Benteng paling ampuh dalam menegakkan integriti dan amanah ialah dengan benar-benar memahami serta berpegang teguh kepada ajaran agama.
“Masyarakat juga perlu berusaha membina akhlak dan komuniti dengan mengamalkan konsep ‘At Tanasuh’ iaitu tegur-menegur demi kebaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata mewujudkan ‘biah solehah’ iaitu suasana masyarakat sekeliling yang suka kepada agama dan kebaikan serta penguatkuasaan undang-udang bagi mencegah pecah amanah dan korupsi, antara usaha penyelesaian ketirisan integriti.
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Akan tiba pada manusia tahun yang penuh dengan pembohongan, saat itu orang yang berbohong dianggap jujur, orang jujur dianggapnya bohong, pengkhianat dianggapnya amanah dan orang yang amanah dianggapnya khianat.
Ketika itu Ruwaibidhah pun berbicara, lantas seorang bertanya: siapakah Ruwaibidhah? Nabi menjawab: Iaitu orang bodoh yang menguruskan urusan umum.
Kesimpulannya, Kamarudin berkata, konsep kerja sebagai ibadah berteraskan keredaan Allah SWT amat penting kerana ia akan membentuk landasan pematuhan kepada halal dan haram, sekali gus menyedari balasan syurga atau neraka.
“Keadaan ini mendorong setiap Muslim mengamalkan budaya kerja cemerlang dan berintegriti.
“Dalam masa sama, ia membetulkan institusi keluarga dan masyarakat ke arah penghasilan akhlak mulia yang menyokong keberhasilan produktiviti tinggi, meningkatkan imej agama, bangsa dan sesebuah negara,” katanya.