إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلتَّوَّ ٰبِینَ وَیُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِینَ
“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri” [Surah al-Baqarah 222]
#Allah swt sangat kasih dan menyukai orang yang bersih zahir batin serta sentiasa bertaubat pada Allah swt. Kita diingatkan untuk sentiasa bersih dan suci kerana kebersihan zahir dan batin adalah sebahagian daripada tanda keimanan. Dengan mensucikan diri, bererti kita menunjukkan cinta dan pengabdian kepada Allah swt dengan semurninya.
#Antara hadis yang disabdakan baginda saw tentang kebersihan ialah:
خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai” (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Berkaitan galakan memotong kuku, secara khususnya, tidak ada nas hadis sahih yang menyebut berkenaan memotong kuku pada hari tertentu dan kelebihannya yang khusus.
#Berkata Imam as-Sakhawi rahimahullah: “Tidak ada satu pun hadis yang sahih daripada Nabi saw yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku”.
#Walaubagaimana pun, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:
1. Ibnu Umar r.huma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat: al-Al-Kubra oleh al-Baihaqi)
2. Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan: “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat” (Lihat: al-Musannaf Ibn Abi Syaibah)
3. Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata: “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat: al-Musanna Abdul Razzaq)
#Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulamak fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “As-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat” (Lihat al-Majmu’)
#Berkaitan larangan memotong kuku, dianjurkan untuk tidak memotong kuku pada 1 hingga 10 Zulhijjah bagi sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah korban.
Islam sangat mengambil berat dan mementingkan kebersihan diri zahir dan batin serta menyukai orang-orang yang bertaubat