≡ Menu

Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman, Insya’Allah, Pintu Hati Akan Terbuka Ke Arah Kebaikan.

Bulan Ramadan adalah bulan sekalian orang Islam sibuk dalam memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT. Selain itu, bulan Ramadan juga merupakan masa yang digandakan pahala oleh Allah SWT kepada pelaku ibadat sebagaimana juga digandakan dosa seseorang apabila melakukannya kerana berada di bulan yang mulia.

Shaykh Ibn Alan al-Syafie menyatakan dalam Syarah Riyadh al-Solihin, dosa seseorang tidak akan digandakan melainkan dia berada di bulan-bulan haram dalam Islam, bulan Ramadan berada di Makkah dan dia seorang yang dekat dengan Allah SWT. Antara ibadah yang dituntut untuk memperbanyakkan amalannya di bulan Ramadan ialah membaca al-Quran.

Bukan itu sahaja, bahkan Shaykh Abu Bakr Shatha menyebutkan dalam Hashiyah I’anah al-Thalibin bahawa dituntut sebagai sunat muakkad juga untuk bertadarus al-Quran dalam bulan Ramadan dengan dibacakan ayat kepada orang lain dan orang lain membacakan ayat kepadanya.

Selain itu, Imam Abdullah al-Haddad dalam Nasa’ih al-Diniyyah menjelaskan bacaan al-Quran merupakan ibadah yang paling afdal, cara mendekatkan diri kepada Allah SWT yang paling agung, ketaatan yang paling besar, pahalanya cukup besar dan mulia.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Fatir ayat 29-30 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah SWT, mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi agar Allah SWT menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka daripada kurnia-Nya.  Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Qatadah dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim bahawa Mutharrif bin Abdullah apabila membaca ayat ini, beliau mengatakan ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang suka membaca al-Quran.

Selain itu, daripada Abdullah bin Mas’ud RA mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebajikan. Satu kebaikan digandakan kepada sepuluh kebajikan. Aku tidak berkata alif lam mim itu satu huruf akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” – (HR al-Tirmizi). Namun begitu, perlu diingat apabila seseorang membaca al-Quran maka hendaklah dia menjaga segala hukum tajwid dan perkara yang berkaitan dengan makhraj huruf supaya kalam Allah SWT yang dibaca mendapat pahala bukan sebaliknya.

BACA:  Suami, Hargailah Isteri Yang Menjadi Surirumah! Ini Cabaran Surirumah Yang Para Suami Tak Tahu

Hal ini kerana Shaykh Nuh al-Kelantani memberikan pandangan dalam Tuhfah al-Sibyan fi Tajwid al-Quran bahawa haram seseorang membaca al-Quran dengan lahn (salah) sama ada lahn al-jaliy (kesalahan yang jelas) ataupun lahn al-khafiy (kesalahan yang tersembunyi) sekalipun. Shaykh Zayn al-Din al-Malibari menyatakan dalam Fath al-Mu’in bahawa waktu bacaan al-Quran yang paling afdal di waktu siang adalah selepas Subuh sedangkan waktu bacaan paling afdal di waktu malam adalah pada waktu sahur.

Bacaan al-Quran dalam sembahyang merupakan bacaan yang paling afdal berbanding di luar sembahyang sehinggakan Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Azkar bahawa memanjangkan berdiri ketika sembahyang kerana membaca al-Quran lebih afdal berbanding memanjangkan sujud dan selainnya.

Adapun bacaan al-Quran di luar sembahyang maka waktu yang paling afdal untuk membacanya ialah waktu malam bahkan separuh akhir kedua malam lebih utama berbanding separuh awal malam. Imam al-Nawawi menyatakan lagi dalam al-Azkar bahawa jikalau bacaan al-Quran dilakukan pada waktu siang maka afdalnya selepas Subuh. Penetapan waktu sebegini tidak membawa maksud membaca al-Quran selain daripada waktu yang tersebut menjadi makruh bahkan boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja sebagaimana tidak juga menjadi makruh jikalau dibaca al-Quran pada waktu yang diharamkan sembahyang sunat.

Adapun pandangan Shaykh Ibn Abi Dawud yang menukilkan daripada guru-gurunya bahawasanya makruh membaca al-Quran selepas Asar kerana ia merupakan waktu pembelajaran orang Yahudi itu dikritik oleh Imam al-Nawawi bahawa pandangan tersebut tiada asalnya. Shaykh Abu Bakr Shatha menyebutkan dalam Hashiyah I’anah al-Thalibin bahawa ulama menyatakan afdal membaca al-Quran pada waktu malam berbanding siang kerana dapat menghasilkan khusyuk dan tadabbur yang tidak didapati keduanya pada waktu siang.

Hal ini kerana dituntut bagi pembaca al-Quran untuk memahami dan mentadabburi al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Sad ayat 29 yang bermaksud: “Kitab yang diberkati Kami turunkan kepada engkau supaya mereka dapat bertadabbur ayat-ayat-Nya.” Di samping itu, syarak menuntut juga setiap orang dapat mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh yang tertentu. Shaykh al-Malibari menukilkan dalam Fath al-Mu’in pandangan Abu al-Laith yang menyatakan dalam al-Bustan bahawa dituntut orang yang membaca al-Quran untuk mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali dalam setahun jikalau tidak mampu mengkhatamkan lebih daripada kadar tersebut.

BACA:  Berbuat Baik Terhadap Jiran Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman

Bukan itu sahaja, bahkan Imam al-Nawawi menerangkan dalam al-Azkar bahawasanya dituntut pada seseorang itu menjaga bacaan al-Quran sama ada pada waktu siang atau malam dan sama ada waktu mukim atau musafir kerana menjadi adat zaman salaf memeliharanya. Beliau menyatakan bahawa zaman salaf ada yang mengkhatamkan al-Quran dua bulan sekali, sebulan sekali, 10 hari sekali, 8 hari sekali, 7 hari sekali, 4 hari sekali, 3 hari sekali, 1 hari sekali, 2 kali sehari semalam, 3 kali sehari semalam dan paling banyak sekali ialah 8 kali sehari semalam iaitu 4 kali khatam sebelah siang dan 4 kali khatam sebelah malam. Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa sewajarnya seseorang mengkhatamkan dua kali dalam setahun untuk menunaikan haknya terhadap al-Quran sedangkan Imam Ahmad menghukumkan makruh orang yang tidak mengkhatamkan al-Quran bahkan melewatkannya lebih 40 hari. Imam al-Ghazali menjelaskan dalam Ihya’ Ulum al-Din bahawa afdal seseorang mengkhatamkan al-Quran dalam dua rakaat Subuh atau selepas sembahyang Subuh pada waktu siang ataupun dalam sembahyang Maghrib atau selepasnya pada waktu malam.

Kesemua pandangan ulama ini supaya umat Islam dapat menggalakkan dirinya membaca al-Quran sehingga khatam sepertimana amalan salaf al-soleh dahulu. Tambahan lagi, makin bertambah dan reda Allah SWT kepada seseorang apabila membaca kalam-Nya yang mulia dengan tepat sehinggakan sebahagian ulama menyatakan doa yang diminta selepas khatam al-Quran itu akan dikabulkan dengan izin Allah SWT kerana ia merupakan waktu mustajab. Shaykh Abu Bakr Shatha menukilkan pandangan Thalhah al-Tabi’e daripada al-‘Araj dalam Hashiyah I’anah al-Thalibin bahawa sangat dituntut seseorang berdoa selepas khatam al-Quran kerana doa yang diminta selepasnya akan diaminkan oleh malaikat. Oleh itu, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, perbanyakkanlah membaca al-Quran al-Karim bagi mereka yang mahir dalam membaca al-Quran.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.