Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, media sosial menjadi jaringan utama untuk masyarakat dunia berkongsi maklumat, bersosial dan aktiviti-aktiviti yang lain. Media sosial dan masyarakat sudah tidak asing lagi samada yang muda atau pun warga emas. Kesemuanya ini membentuk warga jaringan di alam maya atau “netizen”. Tidak dinafikan dengan adanya media sosial komunikasi menjadi semakin mudah namun di sebalik kemudahan itu kita perlu menjaga kesopanan dan keselamatan di media sosial.
Dalam memperkatakan mengenai kesopanan ini, eloklah kita merujuk kembali kepada Rukun Negara. Rukun Negara ini dibentuk bertujuan membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia. Rukun Negara telah menggariskan 5 prinsip dan antaranya ialah kesopanan dan kesusilaan. Prinsip inilah yang perlu kita junjung dan di terapkan kepada pengguna media sosial pada hari ini.
Namun, pada hari ini kita dapat lihat bagaimana media sosial dijadikan medan untuk bertempur antara pihak-pihak yang berbeza ideologi. Segala maki hamun, cacian, hinaan dan mereka berlumba-lumba untuk membuka aib siapa yang menjadi seteru mereka. Malah, tidak ada satu hari pun apabila kita membuka FaceBook hari yang harmoni bebas dari kata-kata keji ini. Seperkara lagi, kalau kita perhatian di bahagian komen apa sahaja isu yang diutarakan pasti dipenuhi oleh kritikan. Inilah sebenarnya polemik yang berlaku dalam masyarakat kita.
Adakah ajaran-ajaran ini diajar oleh agama Islam? tentu sekali jawapannya tidak. Islam mengajar kita dengan nilai-nilai murni yang baik-baik sahaja dan tidak ada satu pun yang tidak baik. Jika dipegang kukuh nilai-nilai murni yang diajar oleh al-Quran maka inilah jalan yang lurus yang membawa kita kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Islam telah mengajar umatnya tentang perkara ini. Di dalam Surah al-Hujuraat iaitu Surah ini diturunkan di Madinah dan mengandungi 18 ayat. Pada ayat ke-6 Allah SWT memerintahkan kita supaya “tabayyun” atau sahkan terlebih dahulu sesuatu berita itu. Di sini sebenarnya telah melatih kita berfikiran secara saintifik supaya setiap perkara atau berita mesti berlandaskan data dan fakta. Ini kerana di media sosial kita boleh menulis apa sahaja tanpa disunting oleh penyunting. Seterusnya pada ayat ke-11 mengingatkan kita supaya tidak mencemuh, merendah-rendahkan, jangan membuka aib, jangan menggelar atau memanggil dengan panggilan yang buruk dan seterusnya pada ayat ke-12 janganlah kita bersangka buruk, kita cuba mengintip atau mencari-cari kesalahan orang lain serta janganlah kita mengumpat. Kesemua yang disebutkan di dalam al-Quran ini dapat kita jumpa di media sosial pada hari yang kini menjadi medan pertarungan untuk tuduh menuduh, memaki hamun, mengumpat atau lebih dikenali sebagai ‘membawang’.
Jika kita rujuk pula di dalam Surah al-Asr surah yang diturunkan di Mekah mengandungi 3 ayat mafhumnya “Demi masa! sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar“
Manusia itu tidak terlepas dari kerugian jika tiap-tiap detik umur yang berlalu dalam hidupnya digunakan hanya untuk melakukan dosa seperti memfitnah, mengumpat, mengeji bercakaran dan sebagainya kerana ini semua tidak dapat menolongnya ketika kita mati kelak.
Ayat ini jelas menerangkan kepada kita bahawa manusia sentiasa berada di dalam kerugian jika setiap detik umur yang berlalu kita gunakan untuk melakukan dosa-dosa samada kepada Allah atau sesama manusia.
Berikut adalah panduan yang ingin dikongsikan supaya kita menjadi pengguna media sosial yang betul dan bijak. Fikir dulu sebelum menulis apa-apa status di media sosial. Jika dirasakan ianya tidak memberi manfaat kepada pembaca atau ada unsur negatif ada baiknya tidak diteruskan niat tersebut. Jangan berkongsi apa-apa gambar yang boleh menimbulkan fitnah. Sesuatu berita yang kita terima jangan cepat percaya berita tersebut lihat pada sumber berita itu dari mana. Jangan kita memberi komen pada berita yang kita tidak tahu hujung pangkal mungkin ada cerita sebenar yang kita tidak tahu. Jangan kongsikan sesuatu yang tidak pasti. Jangan luahkan pandangan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Niat untuk berkongsi ilmu dan bukannya berkongsi berita palsu. Jangan berlebih-lebih berkongsi sesuatu perkara sehingga orang lain rasa meluat. Hormat privasi orang lain dan jangan suka mencari dan membuka aib orang lain.
Jika kita memperkatakan mengenai keselamatan siber pula sebenarnya banyak yang telah menjadi mangsa tetapi mungkin tidak dilaporkan atas beberapa sebab-sebab tertentu. Jenayah siber ini semakin berkembang dari masa ke semasa. Antaranya ialah seperti penipuan, judi siber, pengintipan, pornografi, skim cepat kaya, kecurian maklumat, penyebaran virus, penggodam atau hacker, menyalin perisian secara tidak sah, capaian secara tidak sah, menyalurkan maklumat palsu, merosakkan atau ubahsuai perisian dan banyak lagi.
Punca jenayah siber ini juga adalah berkaitan dengan sikap-sikap buruk sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran. Antaranya ialah mereka ingin kaya cepat maka mereka inilah yang akan jadi magsa skim cepat kaya. Bagi remaja pula kebayakan mereka suka main-main atau mencuba ilmu yang baru mereka pelajari maka mereka mencuba untuk menggodam sistem. Terdapat juga mereka yang iri hati dan hasad dengki terhadap pesaing maka mereka akan menyerang di ruang siber samada menyerang sistem atau mencari aib pesaing mereka. Begitu juga ramai yang tertipu oleh “love scam”. Ini adalah kerana mereka mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan cerita yang hebat-hebat dari orang yang mereka tidak kenali dan akhirnya mereka menyerahkan wang berjumlah ratusan ribu yang mereka kumpul bertahun-tahun lamanya.
Akhir sekali, teknologi itu memudahkan urusan manusia tetapi manusia yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan teknologi ini untuk mencari mangsa.