≡ Menu

Jadilah Warganet Yang Bertamadun, Hormat Sesama Manusia Didunia Nyata, Mahupun Dunia Maya

Baru-baru ini, dunia melihat keadaan netizen Malaysia atau mungkin dikenali sebagai “Tentera Bawang Malaysia” menyerang akaun Facebook Kedutaan Ukraine kerana pingat emas Paralimpik Malaysia, Ziyad Zolkifle ditarik balik. Isu ini dikaitkan dengan paralimpik Ukraine, iaitu Maksym Koval sebagai penyebab.

Serangan bertubi-tubi dibuat tanpa usul periksa, maki hamun dan berbagai-bagai lagi. Akaun peribadi media sosial atlet tersebut turut diserang. Kecacatannya dihina, fizikalnya pula turut dikecam sehingga Koval terpaksa menutup akaun tersebut dan membuka akaun media sosial yang baharu. Namun begitu, akaunnya yang baharu juga terus diserang bertubi-tubi dan akhirnya Koval terpaksa memohan maaf walaupun pada hakikatnya beliau tidak bersalah dalam hal ini. Akibat daripada peristiwa itu, Majlis Paralimpik  Dunia mengeluarkan kenyataan bahawa, Ukraine tidak pernah membuat bantahan.  Atlit Malaysia yang dikatakan lambat untuk hadir di “call room” seperti peraturan yang telah ditetapkan. Namun, atlet Malaysia masih dibenarkan bertanding atas dasar ihsan sementara menantikan keputusan rayuan.

Budaya maki hamun di alam maya kini seolah-olah menjadi trend di Malaysia. Mari kita merenung kembali situasi budaya maki hamun di media sosial ini bermula. Situasi ini bermula apabila lahirnya “keyboard warrior” parti politik.  Mereka biasanya diupah oleh mana-mana parti politik atau ada yang secara sukarela. Mereka menggunakan nama samaran tetapi terdapat juga yang menggunakan nama sebenar. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk menjatuhkan musuh politik.

Jadi, untuk menjatuhkan musuh politik mereka sanggup untuk terus menerus memfitnah, memaki hamun, mengaibkan atau menggunakan pelbagai cara  asalkan musuh politik itu jatuh. Kisah musuh politik mereka pada tahun 1950–1960-an misalnya terus digali semula.  Soal dosa, pahala, halal dan haram dilupakan terus asalkan orang yang menjadi sasaran mereka berjaya dijatuhkan. Rentetan daripada itu, orang yang kena fitnah atau kena maki itu tadi akan bertindak balas dengan menyerang mereka semula di media sosial. Lama kelamaan trend memfitnah serta maki hamun ini telah mempengaruhi golongan tua dan muda yang akhirnya menjadi trend di Malaysia. Maka, terhakislah sedikit demi sedikit jati diri Melayu Islam yang mementingkan adab, sopan dan santun serta dosa dan pahala.

Justeru, terdapat beberapa maklumat yang saya ingin kongsikan berkaitan dengan netizen di media sosial. Bagi pengguna biasa mereka akan menggunakan nama yang sebenar atau nama panggilan sendiri. Tujuannya adalah untuk merapatkan silaturahim antara saudara mara serta sahabat handai agar sentiasa dapat mengetahui perkembangan di alam maya. Sebaliknya, laskar siber atau cybertrooper mereka tidak menggunakan nama sebenar.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dalam Oxford Global Disinformation Report 2020 melaporkan bahawa Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang mempunyai akaun palsu di media sosial. Apakah tujuan akaun palsu ini diaktifkan? Tujuannya adalah  untuk menyerang sasaran mereka.

Cybertroopers menurut Cambridge Analytica merupakan penggunaan data besar untuk menggodam masyarakat, mengedarkan maklumat yang salah atau maklumat yang berat sebelah sehingga mampu memanipulasi pengundian keputusan pilihan raya sesebuah negara. Tahukah kita bahawa istilah “cybertroopers” atau tentera siber ini dikatakan berasal daripada Malaysia dan kini meluas digunakan di seluruh dunia?.

Tanpa disedari, mereka ini sebenarnya merupakan satu ancaman besar kepada sesebuah negara. Mereka sedang mengancam keamanan negara bermula di alam maya. Mereka ini terdiri daripada bloggertweeter atau medium media sosial yang lain. Mereka menggunakan media sosial untuk memberi komen-komen dalam talian yang cenderung ke arah menyesatkan pembaca dan ini akhirnya akan memberi kesan yang serius bagi kestabilan sesebuah negara terutama Malaysia. Komen-komen yang diberi sudah semestinya berpihak kepada pihak yang mereka sokong walaupun sudah jelas pihak yang disokong itu bersalah. Lama kelaman yang bersalah dianggap sebagai hero. Yang benar itu dianggap bersalah sekiranya tidak mempunyai banyak komen yang menyokongnya di alam maya.

Sebagai contoh, sekiranya sesuatu isu di dalam negara timbul, maka berpuluh-puluh ribu “pakar” yang sebenarnya bukan pakar pun akan memberi komen-komen ke arah menyesatkan. Katakanlah isu yang berkaitan dengan keselamatan negara maka kita akan terbaca di media sosial pelbagai komen serta maki hamun yang dilontarkan. Kadangkala saya terpikir juga adakah kita kini dalam proses untuk kembali kepada undang-undang rimba di alam maya?

Menurut laman analisis Comparitech, Malaysia berada pada kedudukan ke-6 daripada 28 buah negara dalam buli siber di peringkat global pada tahun 2018.    Kedudukan itu berdasarkan kepada peratusan buli siber yang dilaporkan oleh ibu bapa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Malaysia merekodkan sebanyak 23 peratus. Kedudukan ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara kedua yang paling banyak merekodkan kes buli siber di Asia. Amat malang bagi nasib anak-anak yang berada di era digital. Jika sebelum ini kita ada terbaca di dada akhbar bahawa kanak-kanak terdedah dengan isu seperti rogol, penderaan kanak-kanak, memperdagang kanak-kanak, menyiksa kanak-kanak tetapi kini kanak-kanak berdepan pula dengan buli siber.

Begitukah keperibadian kita sebagai orang Islam yang telah diajar berkenaan dengan adab, dosa dan pahala? Begitukah kita sebagai seorang Melayu yang telah diajar oleh ibu bapa kita tentang adab, sopan santun dan berbudi bahasa?

Kebebasan bersuara atau memberi pandangan di media sosial bukanlah bermakna kita bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa batas sempadan tetapi kita terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jadilah netizen yang bertamadun. Kita boleh berbeza pandangan dengan orang lain tetapi utarakanlah pandangan kita secara berhemah. Janganlah kita terpengaruh dengan bisikan syaitan supaya kita membodohkan orang lain, mengaibkan orang, menghina, memaki hamun sehingga ada yang sanggup memburukkan  keturunan orang lain.  Ingatlah bahawa dunia ini hanyalah kehidupan yang sementara. “…sesungguhnya janji Allah SWT itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan syaitan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah SWT (surah Luqman:33)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.