وَلَىِٕن سَأَلۡتَهُمۡ لَیَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَایَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ * لَا تَعۡتَذِرُوا۟ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِیمَـٰنِكُمۡۚ إِن نَّعۡفُ عَن طَاۤىِٕفَةࣲ مِّنكُمۡ نُعَذِّبۡ طَاۤىِٕفَةَۢ بِأَنَّهُمۡ كَانُوا۟ مُجۡرِمِینَ
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”. Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah” [Surah at-Taubah 65-66]
#Diriwayatkan daripada Hisyam bin Sa’ad, dari Zaid bin Aslam, disebutkan bahawa:
“Dalam perjalanan menuju ke medan perang Tabuk, ada seorang dari kalangan munafikin berkata kepada Sayidina ‘Auf bin Malik r.a: “Kami tidak pernah melihat seperti para ahli Al-Quran (yang dimaksudkan adalah Nabi saw dan para sahabatnya) kecuali mereka adalah orang yang paling buncit perutnya, yang paling dusta ucapannya dan yang paling pengecut tatkala berhadapan di medan perang”. Mendengar hal ini, Sayidina ‘Auf bin Malik r.a
berkata kepada orang tersebut: “Engkau dusta, engkau itu munafik. Sungguh aku akan melaporkan ucapanmu tadi kepada Rasulullah saw. Sayidina ‘Auf bin Malik r.a pun pergi menghadap Rasulullah saw. Namun sebelum Sayidina ‘Auf sampai, wahyu telah turun kepada baginda (tentang peristiwa itu).
Zaid berkata bahawa Ibnu Umar bercerita: “Sepertinya aku melihat ia (orang munafik itu) berpegangan pada tali pelana unta Rasulullah saw sedangkan kakinya tersandung-sandung batu sambil merayu-rayu kepada Nabi sambil berkata:
إِنَّمَا كُنَّا نَخُوْضُ وَنَلْعَبُ
“Kami tadi hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja”.
Kemudian Rasulullah saw berkata kepadanya (dengan membacakan firman Allah yang bermaksud: “Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok” [Surah at-Taubah 65-66]
Nabi saw tidak bersabda lebih dari itu” (HR Ibnu Jarir At-Thabari. Sanad hadis ini jayyid)

#Jangan sesekali berani memperolok-olokkan kekasih Allah dan para wali Allah swt. Hal ini boleh menyebabkan kehancuran dan keguguran akidah seseorang.
#Imam as-Syafi’i rahimahullah ditanya mengenai orang yang bersenda gurau dengan ayat-ayat Allah swt. Beliau mengatakan bahawa orang tersebut kafir dan beliau berdalil dengan firman Allah swt:
أَبِاللَّهِ وَآَيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ, لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ
“Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok?”. Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu telah kafir sesudah beriman” [Surah at-Taubah 65-66]
#Ini menunjukkan bahawa mengolok-olok Allah, Rasulullah saw dan ayat-ayat Allah termasuk kekafiran dan merosakkkannya iman.
♡Jagalah lidah, jangan mengucapkan sesuatu yang melampaui batas. Jangan sesekali menghina, memperolok dan memperlecehkan Allah, Rasulnya, sahabatnya dan orang-orang yang soleh kerana ia boleh merosakkan iman dan Islam seseorang♡
