≡ Menu

Jangan Lupa Bayar Zakat Fitrah. Zaman Sekarang Lebih Mudah Nak Tunaikan Zakat. Subhanallah

Zakat merupakan salah satu daripada cabang rukun Islam. Selain zakat harta atau pendapatan, Zakat Fitrah merupakan satu ibadah yang besar peranannya. Perlu dibayar apabila tibanya bulan puasa, ia dilakukan bagi membantu untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan serta permintaan mereka pada hari raya nanti.

Menurut Pusat Pungutan Zakat, Zakat Fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajiban ke atas individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki.

Berdasarkan Mazhab Syafie, waktu wajib Zakat Fitrah pula bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan (malam Raya) dan makhruh jika dilewatkan sehingga selepas solat raya.

Bagaimanapun, kadang kala ada individu yang terlupa untuk membayar zakat tersebut sehingga habis waktu wajib. Jika keadaan begini berlaku, apa yang perlu dilakukan? Adakah zakat itu boleh diqadha?

Untuk mengetahui jawapannya, mari ikuti penjelasan dari Lembaga Zakat Selangor menerusi perkongsian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook di bawah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Jawapan

Zakat Fitrah amat besar kesannya dalam kehidupan kita, khususnya memenuhi keperluan jiwa seseorang yang berpuasa. Ibnu Abbas menyatakan:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah (dengan tujuan) untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberi makanan kepada orang miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Cuba lihat, apabila kita berpuasa, maka kita diwajibkan menahan makan dan minum selama berjam-jam. Maka kita dapat merasai sendiri betapa peritnya orang-orang fakir dan miskin menahan lapar. Maka, Zakat Fitrah yang difardukan adalah pelengkap kepada puasa tersebut. Ini kerana, andai kita insaf betapa deritanya para fakir miskin, maka berkongsilah sedikit harta dengan mereka agar terangkat sedikit derita. Inilah roh Zakat Fitrah di sisi Ramadhan.

Atas dasar itulah, dalam perbahasan fiqh, Zakat Fitrah itu boleh dilunasi lebih awal daripada waktu wajibnya. Memanglah masa wajib Zakat Fitrah, adalah selepas terbenamnya matahari akhir Ramadhan dan sebelum mendirikan solat aidilfitri, itulah waktu yang paling utama di sisi Allah; namun tidak pula menjadi kesalahan andai kita bertindak menyegerakannya.

Maka, dalam hal ini para fuqaha telah membahagikan waktu menunaikan Zakat Fitrah kepada empat fasa, iaitu fasa harus bermula satu Ramadhan, fasa wajib bermula terbenamnya matahari sehingga terdirinya solat sunat aidilfitri, fasa makruh selepas mendirikan solat aidilfitri dan fasa haram selepas terbenamnya matahari satu Syawal, yakni masuknya dua Syawal (Rujuk buku Zakat Terapi Kekayaan, hal. 395).

Andai kata saudara sudah terlupa, dan hanya teringat selepas terbenamnya matahari satu Syawal, maka kala itu saudara sudahpun melewati waktunya dan pastilah hukumnya haram dan berdosa. Samalah orang yang melewatkan solat fardu sehingga melewati batas waktunya tanpa uzur, maka jelaslah berdosa orang berkenaan.

Namun, itu tidak bermakna saudara tidak wajib mengqadakannya. Dalam hal ini, saudara hendaklah dengan segera mengeluarkan Zakat Fitrah tersebut, walaupun sudah masuk waktu haram. Kala itu, Zakat Fitrah saudara sudah dianggap sebagai qada di sisi Allah SWT.

Agihan zakat dapat dilakukan dengan berkesan kepada asnaf jika bayaran zakat diserahkan kepada para amil yang dilantik.

Inilah keindahan Islam, ibadat yang dianjurkan kepada kita adalah satu bentuk disiplin yang jika ditaati mampu membentuk keperibadian dan akhlak yang cantik di sisi manusia, apatah lagi di sisi Allah SWT. Ini kerana, setiap amalan ada batas waktunya yang tersendiri, sama ada solat, zakat, puasa dan haji.

Kita wajib solat bila masuk waktunya, wajib zakat bila sampai tempoh haulnya, wajib puasa hanya pada Ramadhan sahaja dan wajib haji hanya pada musim haji sahaja. Kita tidak boleh menukarkan waktunya, mengikut kalendar dan kehendak hati kita, dan inilah disiplin namanya.

Oleh itu, hendaklah saudara lebih berhati-hati pada hari muka. Jangan sampai terlepas lagi waktu berzakat ini. Bayangkan, andai saudara terlepas pesawat untuk terbang ke luar negara kerana kelalaian sendiri, sedangkan harga tiketnya ribuan ringgit, pasti sahaja saudara terasa betapa ruginya diri.

Demikianlah juga dalam hal ibadah, setiap kelalaian akan mengakibatkan kerugian. Lebih malang jika kita tidak sempat pula menggantikannya, kerana ia kelak akan menjadi hutang di sisi Allah SWT. Menurut fuqaha, hutang di akhirat hanya dapat dilunasi dengan pahala. Maka, banyak manakah pahala kita untuk melunasinya. Andai pahala sudah habis, maka apa lagi modalnya.

Maka, qadalah amalan yang terhutang di dunia, demi mengelakkan hutang akhirat yang melanda. Wallahua’lam.

Jawapan itu memperlihatkan betapa pentingnya membayar Zakat Fitrah dan ia wajib dilaksanakan walaupun sudah terlepas waktu yang wajib membayarnya. Seperti yang dinyatakan, anda sebenarnya boleh sahaja membayar Zakat Fitrah ketika awal Ramadhan bagi melancarkan urusan dan agar tidak terlupa di kemudian hari.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.